Tuesday, November 16, 2010

Saya bukan mengalah tapi muak dengan masalah dalaman PKR: Zaid

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Datuk Zaid Ibrahim berkata tindakannya keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan kerana beliau mudah mengalah dan suka melompat parti sebaliknya kerana telah muak dengan masalah dalaman parti itu.

Beliau berkata tindakan nekad meninggalkan parti yang dianggotainya kira-kira dua tahun lepas juga kerana berpegang kepada prinsip kebenaran.

Dalam kenyataan menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepada Bernama hari ini, Zaid, yang juga bekas penyelaras PKR berkata, tidak wajar bagi sesetengah pihak untuk menyamakan keadaan yang dihadapinya sekarang berbanding ketika beliau berada dalam Umno.

Menurutnya semasa dalam UMNO beliau dipecat keahliannya manakala di PKR, beliau secara sukarela menarik diri meninggalkan perjuangan parti yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada akhir 2008, Zaid, yang juga bekas Anggota Parlimen Kota Baharu, serta Ketua UMNO Bahagian Kota Baharu, dipecat daripada UMNO kerana tindakannya yang menyalahi Perlembagaan parti, khususnya kerana menghadiri Kongres Nasional PKR.

Ditanya mengenai kemungkinan rakyat mempunyai persepsi negatif terhadapnya berikutan tindakan terbarunya itu, Zaid berkata “tak apa masa akan menentukan” (kebenarannya).

Berhubung dakwaan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail semalam bahawa beliau sudah pun menubuhkan sebuah parti politik dengan keanggotaannya terdiri daripada orang kanannya, Zaid secara sinis meminta didedahkan nama parti itu dan siapa anggota parti baru itu.

“Tanyalah Saifuddin nama parti itu dan siapa orang saya (yang dikatakan telah berada dalam parti tersebut), baru saya komen,” katanya. – Bernama

No comments:

Post a Comment