Monday, February 6, 2012

Penglibatan Khir Toyo Dalam Penyerahan Konsesi Air Kepada Syabas

Kenyataan mantan Menteri Besar, Dr Khir Koyo bahawa beliau tidak terlibat dalam penyerahan konsesi air kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) membuktikan beliau sebenarnya tidak layak dan gagal selaku Menteri Besar Selangor.

Sesungguhnya Tun Dr Mahathir Mohamad yang memilih Khir turut bertanggungjawab di atas kegagalan ini. Sungguh memeranjatkan apabila seorang pemimpin yang diberi tanggungjawab menjaga kepentingan rakyat tiba-tiba menuding jari ke arah orang lain bagi melepaskan dirinya yang kini dianggap sebagai kera sumbang oleh partinya sendiri.

Kenyataan dan penafian Khir seolah-olah mahu membalas dendam kepada UMNO yang tidak mahu melindungi kesalahan beliau hingga tertuduh di mahkamah, sedangkan UMNO sentiasa melindungi pemimpin mereka yang melakukan kesalahan pecah amanah dan rasuah. Khir kecewa perkara yang sama tidak dilakukan ke atasnya sebagaimana keistimewaan yang diperolehi Datuk Seri Shahrizat Jalil dalam isu lembu- NFC.

Sebagai bekas pemimpin nombor satu di Negeri Selangor, Khir sepatutnya mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan SYABAS menguruskan perkhidmatan pembekalan air dengan baik seperti yang dipersetujui dalam perjanjian bersama.

Khir terlupa perjanjian yang ditandatangani pada 2004 adalah perjanjian tiga pihak dan Kerajaan Negeri turut terlibat dalam perjanjian tersebut bersama Kerajaan Pusat dan Puncak Niaga selaku syarikat induk kepada SYABAS. Khir tidak boleh menafikan hakikat bahawa Puncak Niaga mempunyai kaitan rapat dengan UMNO; Tan Sri Rozali Ismail yang merupakan Bendahari UMNO Selangor ketika itu.

SYABAS gagal mematuhi terma-terma perjanjian khususnya dalam meningkatkan mutu perkhidmatan bekalan air bersih kepada pengguna di Lembah Klang termasuk gagal mengurangkan peratusan air tidak berhasil (NRW) tetapi Kerajaan Negeri ketika itu di bawah pimpinan Khir, gagal bertindak sewajarnya.

Adakah Khir mahu mengatakan bahawa beliau tidakpun membaca isi kandungan perjanjian tersebut? Adakah Khir mahu mengakui bahawa beliau tidak ada pengetahuan bahawa di dalam perjanjian tersebut SYABAS boleh menaikkan tariff air sehingga 71% pada tahun 2020? Selaku MB tidakkah Khir tahu bahawa selama ini SYABAS menggunakan aset air rakyat Selangor bernilai RM12 bilion secara percuma?

Di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN), masalah-masalah perkhidmatan air yang gagal ditangani SYABAS amat jarang sekali diberi tumpuan biarpun rungutan serta aduan pengguna diterima setiap hari tetapi tidak endahkan hanya kerana SYABAS adalah syarikat kroni UMNO. Hal ini membuktikan kegagalan penswastaan; meskipun penswastaan asalnya untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dengan sedikit tanggungan kepada kerajaan negeri namun apabila penswastaan dikhianati dengan memberi kontrak kepada kroni dan syarikat yang tiada kepakaran maka inilah akibatnya. Rakyat terpaksa menanggung beban yang tinggi.

Khir tidak perlu berlagak naif kerana di bawah pentadbirannya, memberi kontrak kepada syarikat-syarikat kroni telah menjadi budaya dan kemestian; matlamatnya satu- untuk mengkayakan kaum kerabat dan sahabat handai bagi kesinambungan parti kononnya.

Khir tidak boleh menafikan, ketika zaman kegemilangannya sebagai Menteri Besar beliau telah memberikan kontrak-kontrak kepada syarikat yang berkait rapat dengan dirinya antaranya syarikat Lebar Daun Sdn Bhd (Lebar Daun); syarikat pembangunan hartanah yang kaya raya hasil pemberian kontrak secara terus, perjanjian usahasama dengan syarikat kerajaan negeri yang berat sebelah serta penganugerahan tanah berlokasi strategik. Kontrak pembinaan asrama Universiti Selangor (UNISEL) di Bestari Jaya adalah contoh nyata hinggakan UNISEL berhutang ratusan juta yang terpaksa ditanggung kerajaan hari ini. Lebih malang lagi, sehingga hari ini asrama tersebut masih mempunyai kecacatan akibat dari mutu binaan yang jelek dan tidak mengikut spesifikasi selamat.

Di bawah pentadbiran Khir yang merupakan Menteri Besar hasil produk Tun Dr Mahathir, banyak projek perumahan kos rendah terbengkalai kerana syarikat yang mendapat kontrak ini gagal menyiapkan projek dan telah menghilangkan diri.

Atas nama pembangunan banyak tanah peneroka diserahkan kepada syarikat yang kebanyakannya adalah milik kroni UMNO dan BN sedangkan hakikatnya tiada pengalaman dalam projek pembinaan. Akibatnya tanah-tanah tersebut tergadai kepada bank. Bukan sahaja peneroka kehilangan tanah, malah pembeli juga terpaksa menanggung hutang dan ramai di antara mereka telah diistiharkan muflis.

Beberapa projek sekadar contoh termasuklah projek Alam Perdana di Kuala Selangor, projek Bukit Botak di Selayang, Kampung Berembang di Ampang dan projek perumahan di PJS1 yang kesemuanya berjaya diselesaikan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Meskipun Khir telah mengangkat tangan kononnya serik menjadi MB Selangor dan tidak mahu bertanding di dalam PRU yang akan datang, namun rakyat Selangor khususnya dan Malaysia amnya masih menunggu apakah kesudahan kes Khir Toyo menggunakan dana Kerajaan Negeri untuk bercuti bersama keluarga termasuk orang gaji ke Disneyland yang masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mungkin menjadi amalan di dalam UMNO, tindakan hanya dikenakan ke atas seteru politik dan tindakan Khir menganggkat tangan adalah sebagai tanda tidak akan melawan lagi, namun bagi pembayar cukai dan seluruh rakyat Selangor, Khir harus bertanggungjawab ke atas dosanya yang mengkhianati amanah yang diberikan.

FAEKAH HUSIN
SETIAUSAHA POLITIK
KEPADA DATO' MENTERI BESAR SELANGOR

Maklumat | Bantuan Unt

Friday, February 3, 2012

Lim Guan Eng buat laporan polis terhadap 3 blog pro Umno

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng membuat laporan polis terhadap tiga lamanweb pro-Umno kerana didakwa telah memfitnah anaknya dengan dakwaan dia mencabul rakan sekelasnya.

Dakwaan tersebut, termasuk dakwaan bahawa anak Lim dipaksa berpindah ke sekolah lain, dan dakwaan bahawa ketua menteri itu telah membayar RM200,000 kepada pihak tertentu bagi menutup kes tersebut, di mana Lim telah menafikan sekeras-kerasnya.

Dakwaan yang dibuat pada bulan Oktober tahun lepas, telah
terbukti tidak benar apabila "mangsa' dakwaan tersebut - bekas pemain catur kelahiran Hong Kong, Anya Corke (kanan) - tampil menafikan tuduhan itu.

Anya didakwa menjadi mangsa dakwaan itu apabila gambarnya telah digunakan dalam lamanweb-lamanweb berkenaan yang menuduh anak Lim dengan dakwaan salah laku seksual.

Lim berkata, Timbalan Ketua CID negeri, Naser Salleh telah menasihatkan beliau supaya membuat laporan terhadap Umno-online, blogger Papagomo dan Pisau.net supaya tindakan selanjutnya boleh diambil terhadap ketiga-tiganya.

Menurut Lim lagi, Naser telah memaklumkan kepadanya bahawa arahan meminta Lim membuat laporan tersebut "datang dari atas".

"Beliau membuat temujanji untuk berjumpa dengan saya pada 12 Januari di pejabat saya. Jadi mengikuti nasihat beliau saya telah membuat laporan itu pada hari yang sama," kata Lim kepada pemberita di Komtar.

Menurut Lim, dakwaan-dakwaan tersebut masih ada di lamanweb-lamanweb berkenaan walaupun terbukti tidak benar.

"Mereka enggan memohon maaf atau menarik balik tuduhan mereka itu," katanya.

Menurut Lim, sehingga semalam, polis masih menyiasat perkara itu dan belum ada tangkapan dibuat setakat ini.

Beliau melahirkan harapannya supaya polis akan melakukan seperlunya dan menangkap mereka yang terbabit melakukan fitnah jenayah itu. - Malaysiakini

Thursday, February 2, 2012

Jamil Khir lagi ka? Dakwa salah guna duit .....

KUALA LUMPUR 2 Feb: PAS hari ini mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Datuk Seri Jamil Khir Baharom menggunakan peruntukan Yayasan Taqwa untuk membiayai program politik di bahagian Jerai, Kedah.

Yayasan Taqwa adalah agensi di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang mendapat peruntukan daripada majlis berkenaan.

Mohd Nasaie berkata beliau difahamkan Jamil sedang berusaha untuk menjadi calon di kawasan berkenaan pada pilihan raya umum akan datang.

“Kita dapat maklumat pengerusi MAIWP Datuk Seri Jamil Khir guna peruntukan Yayasan Taqwa untuk biayai program politik kawasan Jerai.

“Beliau bagi mesin rumput, pam racun… Hasil negeri Wilayah Persekutuan diberikan kepada penduduk miskin di negeri itu contohnya untuk penduduk setinggan, penduduk PPR, tetapi ambil pergi ke Jerai,” kata naib ketua pemuda PAS Wilayah Persekutuan Mohd Nasaie Ismail

Mohd Nasaie yang juga adalah setiausaha akhbar presiden PAS berkata pihaknya menyedari perkara ini berlaku pada tahun lalu, dan tidak pasti sama ada ia pernah berlaku sebelum itu.

“Kita sedar sejak 2011, sekurang-kurang lima program bawah menggunakan peruntukan Yayasan Taqwa,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Bagaimanapun, setakat ini pihaknya tidak dapat menentukan berapa jumlah yang digunakan oleh Jamil (kiri).
Menurut Nasaiei, beliau juga menerima laporan daripada penduduk dan pengundi Jerai bahawa hal ini “sudah masyhur” di kawasan Jerai dan kawasan sekitarnya seperti Yan dan Guar Chempedak.

Pada November tahun lalu, Ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar turut mendedahkan tindakan Jamil menyalahgunakan dana Yayasan Taqwa.

Berdasarkan satu surat, katanya, menteri itu didakwa mengarah Yayasan Taqwa membayar kepada sebuah syarikat yang membekal buku bertajuk ‘Bukti Pas bukan parti Islam’ kepada sekumpulan imam dan bilal.

Sementara itu, Semakan keadilandaily dalam laman web Yayasan Taqwa mendapati, selain bantuan diagihkan kepada penduduk luar wilayah persekutuan, pemimpin Umno turut dijemput merasmikan dan menyampaikan bantuan dalam program anjuran yayasan itu.

Antaranya, program dengan kerjasama Gerakan Belia 4B Kawasan Bukit Katil, Melaka pada Jun lalu untuk memberikan bantuan kepada anak yatim berjumlah RM80,300.

Sumbangan itu disampaikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam merangkap ADUN Bukit Baru, Melaka.

Selain itu, Yayasan Taqwa turut mengajurkan Majlis Penyampaian Sumbangan Persekolahan (SRA) 2011 peringkat Negeri Sembilan di Dewan Institut Tahfiz Al-Quran, Gemencheh dengan kerjasama Majlis Belia Daerah Tampin.

Majlis itu dirasmikan oleh ADUN Gemencheh, Dato’ Mohd Kamil Abd Aziz pada 23 Julai tahun lalu.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=26115