SUBANG: Seorang gadis berusia 22 tahun ditahan bersekedudukan dengan seorang lelaki bukan Islam di sebuah bilik kecil yang disewanya di Kawasan Perindustrian Puchong Utama, di sini, malam kelmarin.
Gadis itu dicekup penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ketika berbaring bersama pasangannya dalam bilik berkenaan.
Dalam operasi bersepadu bermula kira-kira jam 11 malam itu, dua lagi wanita yang bersekedudukan dengan pasangan bukan Islam ditahan dalam bilik berasingan di kawasan sama.
Yang Dipertua MPSJ, Datuk Adnan Md Ikhsan ketika ditemui berkata, semua wanita itu dipercayai sudah dua tahun menginap di bilik berkenaan.
Katanya, mereka tinggal di bilik kecil yang diubah suai secara haram dari sebuah unit pangsapuri. “Setiap unit pangsapuri empat tingkat di Kawasan Perindustrian Puchong Utama itu memiliki tiga bilik tidur, namun pemiliknya mengubahsuai dengan meletakkan papan penghadang menjadikannya 10 bilik kecil.
“Kami mengesan taktik ini selepas mendapat maklumat jiran dan hasil pemeriksaan, tiga rumah di kawasan itu mengubah suai kediaman berkenaan kepada 10 bilik kecil setiap unit,” katanya.
Beliau berkata, tindakan pemilik rumah terbabit menyalahi Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan jika sabit kesalahan mereka boleh didenda maksimum RM25,000.
Menurutnya, tindakan pemilik terbabit juga membahayakan nyawa penyewa di bilik kecil berkenaan sekiranya berlaku kebakaran atau struktur papan berkenaan runtuh.
Adnan berkata, penyewa hanya membayar RM150 sehingga RM170 sebulan dan ia tidak sepadan dengan risiko yang dihadapi mereka.
Katanya, semua bilik berkenaan akan diruntuhkan segera dan pihaknya meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa tempatan jika ada unit kediaman di sekitar mereka yang diubah suai dengan cara sama.
Menurutnya, tiga gadis yang dicekup itu akan diserahkan kepada Jais untuk tindakan lanjut.- myMetro
No comments:
Post a Comment