PETALING JAYA, 28 Nov — Nurul Izzah Anwar yang hari ini disahkan sebagai naib presiden baru PKR mahu parti berusia 11 tahun ini menjadi sebuah pertubuhan yang bermaruah, yang dapat membezakan antara personaliti dan prinsip perjuangan.
Puteri Reformasi ini berkata PKR adalah sebuah parti yang bermaruah seandainya kepimpinan parti jujur dan berjuangkan berdasarkan prinsip nilai murni yang tinggi.
“Kita telah pun memilih barisan kepimpinan tetapi yang lebih penting ialah apa yang akan menjadi pilihan rakyat? Rakyat akan memilih parti yang bermaruah, bersedia dan berkebolehan untuk diberikan amanah memerintah dan membangunkan negara.
“Oleh itu adakah Parti Keadilan Rakyat parti yang bermaruah? Parti yang bersedia? Parti yang berkebolehan? Kita adalah parti bermaruah, seandainya kita jujur dan berjuang berdasarkan prinsip nilai murni yang tinggi dan bukan berdasarkan personaliti sahaja.
“Kita mesti membezakan antara personaliti dan prinsip yang dibawa personaliti. Parti Keadilan Rakyat hanya prinsip dan bukannya personaliti yang mesti diinstitusikan dalam parti kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR di sini.
Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata amalan politik nilai murni secara jujur akan dapat diteruskan sekiranya PKR mampu menggamit harapan rakyat dan imaginasi rakyat untuk melahirkan Malaysia yang lebih baik.
“Parti Keadilan Rakyat adalah parti yang bersedia seandainya kita belajar daripada proses pemilihan yang baru berlangsung melalui pelaksanaan langkah-langkah susulan yang dapat meleraikan keresahan anggota.
“Parti Keadilan Rakyat adalah parti yang berkebolehan seandainya kita meremajakan dan menawarkan kepimpinan yang bukan sahaja mahir, beramanah tapi juga berpegang teguh kepada prinsip-prinsip dan asas perjuangan parti.
“Marilah kita berganding bahu, marilah kita bersatu, marilah kita bersama menjiwai politik harapan dan pembebasan demi melahirkan Malaysia yang lebih baik,” kata naib presiden paling muda ini.
Turut dipilih sebagai naib presiden ialah Tian Chua, Fuziah Salleh dan Datuk Dr Mansor Othman - TMI
No comments:
Post a Comment