Showing posts with label PKR. Show all posts
Showing posts with label PKR. Show all posts

Wednesday, March 6, 2013

Anwar Perjelas Kunjungan Pemimpin PKR Ke Filipina



PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan dua pemimpin pembangkang terlibat sebagai perancang dalam insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu.
Menurut Anwar dakwaan terbabit muncul apabila Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat parti itu, R. Sivarasa pergi ke Filipina pada 7 Februari lalu iaitu dua hari sebelum penceroboh Sulu memasuki Kampung Tanduo di Lahad Datu Sabah.
Bagaimanapun Anwar berkata kedua-dua pemimpin itu pergi ke Manila bertujuan membincangkan isu membabitkan Manuel Amalilio yang dikehendaki pihak berkuasa Filipina kerana didakwa terlibat dalam kes penipuan kad pengenalan bernilai jutaan peso.
"Sivarasa dan Tian Chua ke sana untuk membincangkan mengenai kenapa dia (Amalilio) tidak dibenarkan diektradisi ke Filipina untuk dibicarakan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR pada Rabu.
Pada 22 Januari lalu, Amalilio ditangkap oleh Jabatan Imigresen pada 22 Januari lalu dan kemudiannya dikenakan hukuman penjara atas kesalahan menggunakan pasport Malaysia dan kad pengenalan palsu.
Sebelum ini, lawan web berita Filipina, ABS-CBN melaporkan Amalilio dikehendaki polis Filipina kerana didakwa menipu lebih 15,000 orang membabitkan 12 bilion peso (RM895 juta).
Menurut laporan itu, Amalilio dilaporkan mempunyai pasport dua negara iaitu Filipina dan mengaku sebagai warganegara Malaysia dengan menggunakan nama alias Mohammad Suffian Saaid.

Saturday, November 26, 2011

PAS, PKR, UMNO berwacana di Kelantan

11:09AM Nov 26, 2011

Beberapa tokoh sensasi PKR, PAS dan Umno dijadual berkongsi pentas dalam program wacana membincangkang tuntutan pilihan raya bersih dan adil serta prospek parti bertanding dalam pilihan raya umum.

Selain wakil Pakatan Rakyat, program berkonsepkan bual bicara anjuran kerajaan negeri itu dijadual melibatkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Turut terlibat sebagai ahli panel exco kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa, penceramah popular Prof Madya Dr Mohd RidhuanTee Abdullah, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dan pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa Dr Zaharuddin Abd Rahman

"Polemik berkaitan perjalanan pilihan raya terus menerus menjadi perbahasan yang tiada kesudahan.

"Mengambil kira kepada situasi inilah, wacana perdana yang berbentuk perbincangan atau perdebatan sekali lagi dianjurkan," kata jurucakap program.

Ia akan berlangsung dalam dua siri pada 8 dan 23 Disember, masing-masing di Balai Islam, Kota Bharu dan Kelantan Trade Centre (KTC), Kota Bharu.

Kedua-duanya sesi itu akan dipengerusikan oleh Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusof. - mkini

Sunday, November 28, 2010

Nurul Izzah mahu PKR muncul parti bermaruah

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

PETALING JAYA, 28 Nov — Nurul Izzah Anwar yang hari ini disahkan sebagai naib presiden baru PKR mahu parti berusia 11 tahun ini menjadi sebuah pertubuhan yang bermaruah, yang dapat membezakan antara personaliti dan prinsip perjuangan.
Puteri Reformasi ini berkata PKR adalah sebuah parti yang bermaruah seandainya kepimpinan parti jujur dan berjuangkan berdasarkan prinsip nilai murni yang tinggi.

“Kita telah pun memilih barisan kepimpinan tetapi yang lebih penting ialah apa yang akan menjadi pilihan rakyat? Rakyat akan memilih parti yang bermaruah, bersedia dan berkebolehan untuk diberikan amanah memerintah dan membangunkan negara.

“Oleh itu adakah Parti Keadilan Rakyat parti yang bermaruah? Parti yang bersedia? Parti yang berkebolehan? Kita adalah parti bermaruah, seandainya kita jujur dan berjuang berdasarkan prinsip nilai murni yang tinggi dan bukan berdasarkan personaliti sahaja.

“Kita mesti membezakan antara personaliti dan prinsip yang dibawa personaliti. Parti Keadilan Rakyat hanya prinsip dan bukannya personaliti yang mesti diinstitusikan dalam parti kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR di sini.

Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata amalan politik nilai murni secara jujur akan dapat diteruskan sekiranya PKR mampu menggamit harapan rakyat dan imaginasi rakyat untuk melahirkan Malaysia yang lebih baik.

“Parti Keadilan Rakyat adalah parti yang bersedia seandainya kita belajar daripada proses pemilihan yang baru berlangsung melalui pelaksanaan langkah-langkah susulan yang dapat meleraikan keresahan anggota.

“Parti Keadilan Rakyat adalah parti yang berkebolehan seandainya kita meremajakan dan menawarkan kepimpinan yang bukan sahaja mahir, beramanah tapi juga berpegang teguh kepada prinsip-prinsip dan asas perjuangan parti.

“Marilah kita berganding bahu, marilah kita bersatu, marilah kita bersama menjiwai politik harapan dan pembebasan demi melahirkan Malaysia yang lebih baik,” kata naib presiden paling muda ini.

Turut dipilih sebagai naib presiden ialah Tian Chua, Fuziah Salleh dan Datuk Dr Mansor Othman - TMI

Parti Keadilan Rakyat

keADILan = PKR
>> Ahad, November 28, 2010

PKR adalah parti yang menarik dengan wadah baru memecah mitos lama yang selalu mendendangkan lagu perkauman serta pecah dan perintah. Sejarah penubuhan Parti Keadilan Nasional (sebelum bercantum dengan Parti Rakyat Malaysia menjadi Parti Keadilan Rakyat) amat menarik. Ia terbina dari air mata, peluh dan darah rakyat. Ya, asasnya tak boleh lari dari faktor Anwar Ibrahim.

(tak payah tulis dengan bahasa yang susah dan ilmiahlah, leceh!!! Tapi depa ni kalau tak tulis dengan gunakan istilah hebat dan analogi-analogi mahu pun metafora penulis tu akan dianggap lokoih)

Hari ini krisis sudah menanah dan pimpinan atasan hanya menyumbatnya di bawah permaidani. Percayalah, jika tiada penyelesaian nanah ini akan menjadi barah dan menggunung lalu melibas ranap parti ini.

Kepincangan dalam sistem pemilihan ini amat jelas dengan fakta-fakta yang tak pernah disangkal pimpinan. Sistem ini sebenarnya baik - jangan salah sangka tetapi pembelit akan menyalahgunakannya apatah lagi anggota-anggota ada yang masih belum celik berpolitik dan hanya taksub dengan susuk-susuk yang mereka kagumi sahaja. Percaturannya mudah - aku undi dia sebab aku tak suka si anu. Bukan pasal apa-apa. Ada yang masih baru, usah ditanya dah baca perlembagaan parti atau tidak, lagu parti pun tak reti nyanyi - yang ni lebih senang diputar dan dibongokkan.

keADILan (asalnya ejaan dan fontnya begitu) telah melalui beberapa fasa 'pemimpin' keluar parti. Keluar parti tak salah, ia bukan agama - tak sesuai anda boleh murtad. Bermula dengan keluarnya Marina Yusof, Chandra Muzaffar dan geng-geng diikuti beberapa tahun kemudian dengan Ruslan Kassim, Zahid Mat Arip serta grup mereka.

Grup lama yang diketuai Ezam Md Noor, SD Johari, Ghani Haroon dan Nadzmi Rosli keluar amat mengejutkan. Pasti apa yang mereka dakwa ada asasnya juga seperti Azmin mengawal parti dan sebagainya. Tetapi masuk umno adalah bukan tindakan yang betul. Itu lubuk jahanam.

Habis.

Grup yang masuk selepas Anwar bebas juga sudah keluar parti. Mereka yang digelar Tukar Tiub sebagai 'susuk yang berperut gendut dan berbaju batik' masuk selepas hujan reda dan berlumba-lumba mengutip cendawan. Mereka mengaku pejuang tetapi selepas tak dapat cendawan emas mereka keluar. Zahrain, Sallehuddin, Nallakarupan adalah contoh golongan ini. Yang ada salah laku seperti menipu, rasuah sudah tentu cabut. (Zul Nordin, Fairus dan katak-katak lain).

Habis siapa lagi yang tinggal?

1) Orang lama yang turun memprotes ketika Anwar dizalimi. Mereka ada di jalanraya, di parti, di mahkamah, di hospital, di rumah untuk solat hajat. Mereka ini (yang wanitanya) akan menangis memeluk Nurul Izzah kerana sayang. Mereka ini yang tak pernah mengamuk sebab tak jadi ahli majlis atau apa-apa jawatan. Apa jadi mereka sekarang bila kekecohan baru ini timbul?

Aku lihat mereka terus setia di dalam parti tetapi tidak berminat bertanding apa jua jawatan. Mereka tidak perlu jawatan untuk berjuang. Akhirnya mereka semakin ke sudut dari segi populariti dan prioriti kerana mereka tak makan puji dan bodek. Pimpinan yang gila jawatan akan meminggirkan mereka (kalau boleh mencantas) kerana mereka ini tidak boleh disogok. Tumpuan diberikan kepada yang baru-baru untuk terus mereka kekal.

2) Orang lama yang taksub dengan tokoh pujaan mereka. Mereka mengagumi susuk pemimpin ini dan menganggap pemimpin ini sebagai 'guru'. Pemimpin ini mereka angkat, pilih dan julang. Salah benar sudah jadi bukan nombor wahid. Anwar, Azmin, Khalid Jaafar, Zuraida atau juga Shamsul Iskandar ada pemuja mereka sendiri dan mereka sangat menjaga pemuja ini. Orang yang bekerja dengan baik tetapi tak reti berpolitik dan bodoh dalam mengambil hati ikan-ikan akan dibenci dan cuba dijatuhkan. Contoh - Khalid Ibrahim. Ketika imej Menteri Besarnya begitu baik di mata rakyat Selangor, beliau amat dibenci di dalam parti.

3) Orang-orang baru yang masuk selepas kemenangan dalam PRU. Aku kagumi mereka dan tak berniat memperkecilkan keikhlasan mereka tetapi harus diakui juga ada di antara mereka yang bengong masuk melulu mengharapkan akan dapat 'sesuatu'. India-india estet misalnya masuk berbondong-bondong dan diajar mengundi mengikut 'chai' yang diatur ketua mereka. Puak ni bukan tahu apa. Esok dekat PRU percayalah, mereka ini akan berbondong-bondong keluar merungut kononnya diabaikan. Tengoklah nanti!

Kesimpulannya - dalam PKR sekarang sedang berlaku 'pertembungan' yang lama dan baru dan mereka ini menjadi mangsa diperalatkan oleh pemimpin yang mahu terus mencari makan dalam parti. Yang berprinsip tak akan mudah terpedaya tetapi risikonya mereka akan disudutkan. Keluarnya Zaid Ibrahim adalah persoalan lain, sama ada dia kuda trojan itu pun bukan halnya.

Cuma apa yang didakwanya jangan anggap semuanya salah. Percaturan itu ini di pihak atasan benar-benar berlaku dan gagal disangkal oleh pimpinan. Ini harus dipandang serius bagi mereka yang sayangkan parti. Jangan sokong sembrono. Berpolitik jangan sampai tergigit kelentit. Jadi pejuang jangan jadi bangang. Mengkritik pemimpin atasan bukanlah satu dosa.

Konon tuduh umno taksub dan tak boleh pemimpinnya dikritik, sebenarnya lu orang pun sama. Apa salah kritik Anwar? Dalam soal kes liwat tak perlu kita bahaskan lagi. Itu jelas Anwar dizalimi dan wajib untuk kita membela beliau. Tetapi soal kelemahan mengawal parti jika perlu dikritik, kritiklah. Jangan asyik main slogan "PKR sudah bawa masuk budaya umno" untuk tutup kelemahan tetapi bagi aku "PKR sudah cipta budaya mengampu dalam partinya".

Kata seorang reformis veteran - "Kadang-kadang aku jadi jahat bila mengharapkan Anwar masuk penjara semula sebab nak tengok puak-puak ni sanggup turun menggoncang kerajaan atau tidak seperti yang pernah kita buat"

Ya, 2011 adalah tahun penting kerana PRU semakin hampir. Oh! Mereka masih percayakan PRU. Tugas Pakatan Rakyat makin mencabar bukan saja menangkis serangan BN tetapi bergerak meyakini rakyat agar BN sendiri terhumban bukan kerana apa-apa tetapi kerana kesedaran rakyat itu sendiri.

Tugas berat dan mencabar ini harus dipikul oleh anak muda dan Angkatan Muda Keadilan dengan ketua barunya (sebenarnya ketua yang lama juga melakukan pusingan U) selepas berjaya menang pemilihan kali ini harus merangka seterusnya bergerak konsisten memasuki lubuk-lubuk rakyat dan sarang-sarang anak muda untuk menumbangkan kerajaan korup.

Anak muda jika ketuanya lembab, sembab, lembab akan pasti membuat Pakatan Rajyat gagal dan jatuh tersembam.

Jika 2011 ini mereka hanya leka berpolitik dan terus berkelakuan elit, aku akan tembak mereka tanpa belas kasihan.

Amma Ba'du

- ISA

Saturday, November 27, 2010

Surat Terbuka kepada YB Saifuddin dan rakan Reformis

Hakikat tidak boleh diselindung lagi. Nampaknya memang ada pertembungan serius para bangsawan PKR dengan ahli-ahli akar umbi. Ahli mendesak, pemimpin bertahan dengan penafian. Ahli dakwa pemilihan PKR tipu, Pemimpin kata tidak, semuanya sempurna, hebat, adil lagi bersih; kita menempa sejarah, semua parti di Malaysia ini tidak segagah kita.

Saya mengutuk sikap dan mempersoalkan kewibawaan Setiausaha Agung, YB Saifuddin Nasution. Saya berpendirian YB Saifuddin adalah ‘mangsa’, daripada seorang pemimpin yang disegani kini menjadi pemimpin paling dibenci gara-gara pemilihan PKR. YB Saifuddin adalah mangsa kepada ketamakan aliran politik merajakan Azmin Ali dan mendewakan Anwar Ibrahim.

YB Saifuddin,

Ingin saya beritahu YB dan sahabat-sahabat perjuangan sekalian, huru-hara PKR ini adalah ciptaan pimpinan parti. Tidak ada penyakit tetapi cari penyakit. Dulu orang tidak tahu kita ada pekong, kurap dan kusta. Sekarang semua orang dah tahu. Ini kerana pemimpin tidak sedar diri – nak petik bintang tapi kail panjang sejengkal.

YB Saifuddin dan teman-teman reformasi sekalian.

Keadilan tidak ada pada Parti Keadilan.

Asas kepada undang-undang adalah keadilan dan keadilan mesti dilihat pelaksanaannya – Justice must be seen to have been done.

Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) tidak wajar menjadi badan penyiasat bagi segala aduan yang diterima kerana timbul percanggahan kepentingan (conflict of interest) memandangkan ada aduan yang mempersoalkan tata kerja JPP sendiri. Kita minta JPP menyiasat kesalahan yang JPP sendiri buat, mana mungkin JPP akan mengeluarkan kenyataan mengatakan “Selepas kami menyiasat diri kami sendiri, kami mendapati kami telah melakukan kesalahan”.

JPP dan juga Biro Politik dianggotai oleh calon-calon yang sedang bertanding dalam pemilihan, seperti Azmin Ali, Shamsul Iskandar, Zuraida Kamaruddin, Tian Chua, Manikavasagam, Johari Abdul dan lain-lain. Mereka adalah orang yang sama yang dikaitkan dalam aduan dan mesti dikecualikan, akan tetapi Biro Politik berperanan sebagai penyiasat dan kadang-kadang hakim. Mana mungkin pimpinan Biro Politik Parti akan menyatakan “selepas kami menyiasat aduan terhadap salah laku kami, kami dapati kami memang salah dan patut dihukum”.

YB Saifuddin,

Saya tidak jelas apakah definisi ‘bukti kukuh’ bagi JPP dan Biro Politik? Laman web FreeMalaysiaToday memaparkan gambar yang jelas menunjukkan daftar pengundi tidak bersih dan banyak duplikasi. Laman yang sama memaparkan jelas gambar pengawas pemilihan sedang manipulasi undi. Gambar tersebut pula baru didedahkan semalam. Tidak sampai 24 jam selepas gambar tersebut disiarkan, YB Saifuddin dalam sidang media menafikan bahawa pengawas itu tidak mungkin buat salah. Mana YB Saifuddin tahu? Apa piawai prosedur penyiasatan? Apa mekanisma penyiasatan yang dibuat? Semuanya tidak jelas dan tidak dijelaskan. Tiba-tiba muncul Setiausaha Agung dengan keputusan yang sangat meragukan.

Jangan berpura-pura dengan kebenaran demi merajakan Azmin dan mendewakan Anwar.

Hari ini, sempena Kongres Keadilan yang ke-7, saya juga mempersoalkan kewibawaan YB Saifuddin sebagai Setiausaha Agung dalam menangani isu dakwaan bekas Setiausaha Agung sebelumnya, bahawa Sekretariat Ibu Pejabat mengeluarkan satu surat palsu dengan memalsukan tandatangan bekas Setiausaha Agung itu bagi tujuan mencipta bukti bagi menghalang S. Jenapala dari bertanding.

YB Saifuddin,

Sebagai Setiausaha Agung, kenyataan “saya tidak tahu, buka fail ada surat, jadi kira jalanlah…” yang diucapkan dalam sidang media semalam adalah satu kenyataan yang sangat tidak bertanggungjawab oleh saudara.

YB Saifuddin,

Dakwaan bekas Setiausaha Agung itu mengikut pendedahan MalaysiaToday sangat panjang lebar beserta fakta, affidavit dan bukti. Isu ini menggusarkan anggota dan jika benar dakwaan tersebut, pihak ibu pejabat memang sekali mengecewakan anggota dan tentu sekali mengaibkan parti.

Teman-teman Reformis yang dihormati,

Keadilan semacam hanya pada nama sahaja.

Abdul Aziz Anon

- ureka asia

Apa sangkut paut nya Adi Putra dengan AMK?

Apa kena-mengena dengan perjuangan parti? Tiada kaitan langsung! Persembahannya tidak mengandungi unsur perjuangan, malah tidak menyuntik semangat untuk perjuangan parti!"

Segelintir anggota terpinga-pinga dengan penampilan Adi Putra (gambar kiri, tengah), genius matematik berusia 11 tahun di Kongres Angkatan Muda Keadilan, pagi tadi. Adi Putra tampil selepas Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd. Akin menyampaikan ucapan dasar beliau, diberi sambutan yang meriah sebermulanya.

Setelah memperkenalkan diri, Adi Putra mempersembahkan bakatnya kepada perwakilan AMK, iaitu keupayaannya untuk menghafal sekumpulan angka digit, dan kemudian diulangi mengikut tertib songsang.

Bagaimanapun, penampilan ini menimbulkan keraguan di kalangan anggotanya, yang tidak faham mengapa ia dimasukkan ke dalam aturcara kongres. "Ia tidak memberi apa-apa makna..." ulas seorang pemimpin AMK ketika berkata kepada MerdekaReview.

Lebih UMNO daripada KeADILan

Mungkin pertimbangan politik di sebaliknya adalah untuk menunjukkan bahawa genius anak Melayu ini turut bersama PKR. Namun, kemungkinan ini disangkal oleh pemimpin AMK yang ditemuramah MerdekaReview, "Beliau (Adi Putra) bukan datang untuk menyatakan sokongan kepada PKR, beliau datang sekadar untuk membuat pertunjukan (show)."

"Malah, jikalau anda mengikuti sajaknya tadi, masih ada ayat-ayat seperti 'Takkan Melayu hilang di dunia ini', 'Wawasan 2020'... Ini lebih UMNO daripada KeADILan-lah!" katanya secara terus-terang.

Seorang lagi pemimpin peringkat cabang menambah, "Apa yang membingungkan, persembahan power point menunjukkan gambar Adi Putra bersama pemimpin seperti Mahathir Mohamad, malah isteri Perdana Menteri Rosmah Mansor! Lebih-lebih lagi, ada orang yang melaungkan 'Reformasi' selepas persembahan Adi Putra!"

"Apa kaitan Adi Putra dengan Reformasi? Dengan sajaknya yang berbau perkauman...apa kaitan Adi Putra dengan Reformasi?" beliau tertanya-tanya.

Penghargaan terhadap remaja

MerdekaReview cuba mendapatkan maklum balas daripada Ketua Penerangan AMK, Lee Khai Loon. Beliau bagaimanapun gagal memberi apa-apa respon kerana tidak tahu-mengetahui dengan "slot Adi Putra" yang diselitkan ke dalam aturcara kongres AMK.

Naib Ketua AMK Khairul Anuar Ahmad Zainudin (gambar kanan) ketika dihubungi MerdekaReview berkata, beliau melihat slot tersebut dirancang untuk memberi penghargaan kepada seorang remaja yang berbakat, tetapi tidak diberi peluang yang sewajarnya dalam ruang arus perdana.

Khairul Anuar menyedari beberapa kenyataan Adi Putra yang berbau perkauman, namun beliau menganggap itu persoalan lain. "Yang penting, beliau pada usia yang begitu muda, berani tampil ke depan untuk bersuara. Soal kita setuju atau tidak dengan pandangannya, itu soal kedua. Kita boleh debat kemudian. Yang penting, beliau bukan sahaja berbakat, tetapi berani untuk tampil dan bercakap, malah lebih berani daripada banyak profesor universiti (yang berdiam diri)."

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia

Sunday, November 21, 2010

Aminah akan dedah tindak-tanduk Penasihat Parti Keadilan Rakyat

PULAU PINANG 20 Nov. - Bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Aminah Abdullah menunggu masa dan keadaan yang paling sesuai untuk mendedahkan bukti rakaman percakapan Datuk Seri Anwar Ibrahim menghentam rakan sekutunya, DAP dan Pas.

Beliau tidak menolak kemungkinan pendedahan mengenai percakapan Penasihat PKR itu akan dilakukan dalam masa terdekat tetapi belum menetapkan tarikh dan masanya.

Menurut Aminah, pendedahan itu akan dibuat setelah mendapat persetujuan beberapa rakan yang turut sama berjuang dengannya dalam membuka mata masyarakat mengenai siapa sebenarnya Anwar.

"Saya bersedia menyahut cabaran beliau (Zamil Ibrahim). Buat apa saya takut kerana saya memang mempunyai rakaman berkenaan yang kini berada dalam simpanan beberapa rakan baik.

"Apabila tiba masa yang sesuai kita akan dedahkan supaya masyarakat di luar sana tahu siapa sebenarnya Anwar yang mereka sanjung. Saya akan berbincang dengan beberapa rakan untuk berbuat demikian," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Zamil Ibrahim meminta Aminah serta mereka yang sebelum ini mendakwa mempunyai bukti mengenai Anwar yang menghentam rakan sekutunya, DAP dan Pas supaya mendedahkan semua bukti itu.

Zamil berkata, sekarang adalah masa paling sesuai untuk Aminah dan yang lain berbuat demikian untuk membuka mata masyarakat terutama penyokong yang taksub dengan Penasihat PKR itu yang kebanyakannya ahli PKR dan Pas.

Dalam pada itu, Aminah turut mengakui, rakaman berkenaan telah dibuat di Yayasan Aman dua tahun lalu semasa mesyuarat tentang pembahagian kerusi bagi kawasan utara.

Katanya, rakaman yang dibuat melalui telefon selama lebih kurang lima minit itu kemudiannya dibuat dalam bentuk cakera padat (CD) bagi tujuan simpanan.

"Jangan risau, saya memang mempunyai bukti itu dan saya akan dedahkan dalam waktu terdekat," katanya

Saturday, November 20, 2010

Godam Zaid untuk bersih parti dari "trojan horses"

Sat, Nov 20, 2010
IMG00458-20101119-2347Oleh Fazy Sahir dan Jamilah Kamarudin

SHAH ALAM: Perhimpunan suaikenal anjuran PKR Selangor di sini malam tadi bertukar menjadi medan menggodam Zaid Ibrahim dalam usaha untuk membersihkan parti dari "trojan horses".

Walaupun beberapa pemimpin parti tidak menyebut nama individu berkenaan secara spesifik namun jelas mereka menghentam setiap kenyataan negatif bekas pengerusi PKR Wilayah Persekutuan itu terhadap parti.

Zaid yang juga bekas menteri undang-undang mengambil keputusan keluar parti berkuatkuasa 16 Disember ini dalam satu sidang akhbar yang penuh sesak dengan wartawan dari berbagai media cetak dan elektronik di kediamannya semalam.

Pengerusi PKR Selangor Azmin Ali, pesaing terdekat Zaid dalam jawatan timbalan presiden sebelum ini, dalam ucapannya merayu kepada kepimpinan tertinggi parti agar bertindak tegas dan berani untuk membersihkan "trojan horses" ini kelak.

Menurut beliau, gesaan Zaid supaya Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim berundur dari parti disifatkan sebagai melampau.

Minta Anwar berundur tindakan melampau

Azmin berkata, "ada suara-suara sumbang……. jika suruh saya berundur saya terima.  Tapi kalau suruh Datuk Seri Anwar Ibrahim berundur itu tindakan melampau.

"Beliau umpama orang tiada rumah, kita jemput masuk dan beri segala kemewahan, beri segala makanan dan tilam empuk, permaidani hebat…setahun nikmati kemudahan itu," tambah beliau.

Ujar beliau, "maka saya rayu Anwar, (Presiden) Wan Azizah (Wan Ismail), Timbalan Presiden (Syed Husin Ali), Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat selesai kongres……. kita perlu tegas dan berani untuk membersihkan ‘trojan horses’ yang wujud dalam parti.

"Jangan tangguh…sebab kita bimbang dengan orang-orang seperti ini.

Kita bersama presiden, Anwar dan rakyat sudah bina parti ini 12 tahun lalu," katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 1,000 anggota PKR di Auditorium MBSA malam tadi.

Katanya, semakin banyak serangan diterima PKR beliau yakin parti itu akan bertambah kuat.

Penyandang timbalan presiden Dr Syed Husin Ali yang cukup lantang mengkritik Zaid mengalu-alukan pengunduran beliau daripada PKR.

"Apa hendak kita gelarkan kepada seseorang yang menafikan keputusan Pakatan Rakyat memboikot Utusan Malaysia dan memburukkan parti?," tanya Azmin.

‎​"Jika orang ini hendak keluar…sila keluar. Jika orang ini nak gunakan tali gantung untuk gantung diri pastikan biar sampai mati," katanya.

‘Fikir banyak kali, jangan nanti ‘gila bayang’

Sementara itu, Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan pemimpin yang keluar parti kelak agar tidak bertindak seperti orang ‘gila bayang’.

Beliau turut merujuk kepada kes bekas setiausaha agung PKR P Jenapala yang menyaman parti berhubung pemilihan ini sebagai tidak dapat menerima hakikat.

Saifuddin menyifatkan Jenapala sebagai ‘tidak dapat menerima hakikat’ ekoran pemecatan dalam PKR sehingga bertindak untuk saman parti.

"Pemimpin seperti ini memang kurang ajar, jangan kita biarkan mereka. Setuju atau tidak untuk bersama dengan dia?," soal Saifuddin sambil disahut ‘tidak’ oleh para mereka yang hadir.

"Beliau mahu keluar parti 16 Disember….sebab nak jelajah nak dapat sokongan," kata Ahli Parlimen Machang itu tanpa menyebut nama individu terbabit.

Dipecat kerana muflis

"Mereka hantar saman sedangkan sebelum saya jadi setiausaha Jenapala sudah dipecat sebab muflis. Dia tidak terima hakikat dan hantar surat. Saya ingatkan kembali sebelum mahu bercerai fikir banyak kali, jangan nanti gila bayang"," katanya.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim pula dilihat lebih tenang daripada pemimpin lain yang cukup agresif ketika mengkritik dan mempersoal kesetiaan Zaid terhadap parti.

Beliau menekankan semangat setia kawan serta semangat perjuangan dalam parti berusia 12 tahun itu.

Tegas beliau, "kita perlu ingat bahawa kejayaan PKR bersama-sama Pakatan Rakyat mesti mementingkan rakan pasukan bukan diri sendiri, itu kekuatan kita.

"Setiap ahli wajar pegang prinsip perjuangan dan semangat setia kawan maka rakan lain turut terasa apabila ‘cubit peha kiri peha kanan terasa sakit," katanya - FMT

Friday, November 19, 2010

PKR Tak Akan Berjaya Melakukan Perubahan Selagi Amal Politik Naungan - Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR: Bekas anggota PKR, Datuk Mohd Zaid Ibrahim berkata, bagaimana parti itu hendak berkata lawan mereka, Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah parti yang tidak demokratik sedangkan mereka (PKR) sendiri mengamalkan konsep politik naungan.

Malah katanya, agenda reformasi PKR akan menjurus ke arah kehancuran jika ia terus mengamalkan politik naungan sepertimana ia menuduh BN melakukannya.

"Jika kita kata BN tidak demokratik...maka parti kita mestilah menunjukkan sebaliknya tetapi jika kita mengamalkan politik naungan dalam usaha kita untuk terus berpegang kepada kuasa jadi di manakah perbezaan antara kita dengan BN? Bagaimanakah kita akan mendapat sokongan rakyat," ujarnya dalam program temubual Astro Awani pada Khamis.

Menurut Zaid lagi, PKR jangan harap akan dapat menumbangkan BN jika mereka juga mengamalkan pendekatan politik yang serupa.

Zaid menegaskan, inilah sebab mengapa beliau membangkitkan akan kepentingan proses pendemokrasian itu sendiri daripada keputusan hasil daripada proses tersebut sepanjang tempoh pemilihan pucuk pimpinan parti itu berlangsung sekarang.

Katanya, jika PKR mahu mengadakan pemilihan dan mereka menggunakan cara yang telah ditolak oleh rakyat pada tahun 2008, beliau tidak nampak bagaimanakah parti itu mampu melakukan perubahan.

Zaid menambah, seorang ahli politik yang efektif ialah sejauh mana dia mampu membawa perubahan, sejauh mana dia mampu menjadi katalis dalam konteks ketelusan, dalam konteks pentadbiran dan juga dalam konteks demokrasi.

"Orang khuatir kepada perubahan kerana ia adalah sesuatu yang baru... kita berasa selesa dengan apa yang telah ada jadi memang sukar untuk membuat perubahan. Tetapi bagi saya, pertumbuhan negara kita memerlukan kepada perubahan jadi jika saya dapat menyumbang sedikit kepada perubahan ini maka saya sudah boleh dianggap sebagai berjaya," ujarnya.

Apabila Zaid menyertai Keadilan lebih kurang 18 bulan yang lalu, dia telah dilihat sebagai salah seorang penganti Anwar Ibrahim malah dilihat sebagai seorang yang mampu menyatukan Pakatan Rakyat (PR) yang menganuti pelbagai ideologi politik sebagai satu unit yang kukuh dan bersatu.

Dan sebaik sahaja menyertai PKR, beliau langsung dilantik menganggotai Biro Politik parti itu dan kemudian dilantik sebagai kordinator PR dan menjadi katalis kepada Konvensyen PR yang pertama hujung tahun lalu dan juga penggerak utama kepada pendaftaran PR sebagai sebuah entiti politik yang sah dan berdaftar.

Bagaimanapun Zaid mula mencetuskan kontroversi apabila beliau mengambil keputusan untuk memohon cuti rehat daripada semua mesyuarat yang melibatkan Biro Politik pada awal tahun ini apabila hasratnya untuk menghadiri satu program di Sabah disekat oleh Anwar.

Sejak itu segala-galanya tidak kena untuk Zaid di dalam PKR termasuklah tewas sebagai calon PKR dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.- mStar

Tuesday, November 16, 2010

Saya bukan mengalah tapi muak dengan masalah dalaman PKR: Zaid

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Datuk Zaid Ibrahim berkata tindakannya keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan kerana beliau mudah mengalah dan suka melompat parti sebaliknya kerana telah muak dengan masalah dalaman parti itu.

Beliau berkata tindakan nekad meninggalkan parti yang dianggotainya kira-kira dua tahun lepas juga kerana berpegang kepada prinsip kebenaran.

Dalam kenyataan menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepada Bernama hari ini, Zaid, yang juga bekas penyelaras PKR berkata, tidak wajar bagi sesetengah pihak untuk menyamakan keadaan yang dihadapinya sekarang berbanding ketika beliau berada dalam Umno.

Menurutnya semasa dalam UMNO beliau dipecat keahliannya manakala di PKR, beliau secara sukarela menarik diri meninggalkan perjuangan parti yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada akhir 2008, Zaid, yang juga bekas Anggota Parlimen Kota Baharu, serta Ketua UMNO Bahagian Kota Baharu, dipecat daripada UMNO kerana tindakannya yang menyalahi Perlembagaan parti, khususnya kerana menghadiri Kongres Nasional PKR.

Ditanya mengenai kemungkinan rakyat mempunyai persepsi negatif terhadapnya berikutan tindakan terbarunya itu, Zaid berkata “tak apa masa akan menentukan” (kebenarannya).

Berhubung dakwaan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail semalam bahawa beliau sudah pun menubuhkan sebuah parti politik dengan keanggotaannya terdiri daripada orang kanannya, Zaid secara sinis meminta didedahkan nama parti itu dan siapa anggota parti baru itu.

“Tanyalah Saifuddin nama parti itu dan siapa orang saya (yang dikatakan telah berada dalam parti tersebut), baru saya komen,” katanya. – Bernama

Monday, November 15, 2010

PKR dakwa Umno terdesak, tak rasa malu kerana terus ajak PAS

Oleh Syed Mu’az Syed Putra
November 15, 2010
PETALING JAYA, 15 Nov – PKR menolak dakwaan bahawa parti itu membebankan PAS dalam Pakatan Rakyat, sebaliknya menyifatkan Umno sebagai “hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong” apabila terus-menerus mengajak parti Islam itu agar bersamanya dalam Barisan Nasional (BN).
Menurut Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail (gambar), tindakan Umno itu jelas menunjukkan mereka terdesak kerana sudah mula kehilangan kepercayaan rakyat, yang kini lebih cenderung kepada Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, PKR dan DAP.
“PAS sudah tutup kerjasama dengan Umno, tapi Umno secara terang masih lagi ajak PAS untuk menyertai BN.
“Umno macam hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. PAS sudah lama menutup kerjasama perpaduan antara Umno dan PAS.
“Ini jelas menunjukkan betapa terdesaknya Umno untuk mendapatkan sokongan PAS. Lagipun kepimpinan PAS telah bersepakat untuk tutup isu kerjasama perpaduan dengan Umno,” kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini petang ini.
Malah, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, kerjasama antara semua parti komponen Pakatan Rakyat begitu kuat kerana masing-masing berpegang pada prinsip yang sama.
“PAS dah tolak, Umno masih lagi nak minang PAS, jadi saya minta supaya Umno tidak lagi mengajak PAS untuk menyertai BN.
“Sekarang terbukti PAS lebih baik bersama Pakatan Rakyat, kerjasama PAS, PKR dan DAP berpegang kepada prinsip.
“Kerjasama yang berterusan ini kuat dan kita akan sentiasa berusaha untuk memperkukuhkannya,” katanya.
Saifuddin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan terus mengajak PAS agar bersama parti teras BN itu daripada hanya bercita-cita mahu menggantikannya atau memintanya supaya berundur secara terhormat jika kalah dalam pilihan raya umum ke-13.
Malah Umno juga mendakwa kedudukan PAS akan lebih baik jika komponen Pakatan Rakyat itu bersama BN daripada terus berganding dengan PKR dan DAP.
“PKR dan DAP itu hanya membebankan PAS.
“PAS akan lebih baik bersama Umno-BN bukan bersama PKR dan DAP yang tidak sehaluan dengan PAS,” kata Ahmad ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Kelmarin Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Umno perlu bersikap terbuka dalam menerima kekalahan dalam pilihan raya, bukan dengan berusaha mencari taktik untuk menang dan bertindak macam di Perak tahun lalu.
“Saya minta Umno undur diri secara terhormat sekiranya kalah, mengaku kalah sahaja. Jangan nak cari jalan menang. Macam di Perak dulu, sudah kalah terima sahajalah, begitu juga dengan undi Orang Asli.
“Parti yang memerintah kalau menghadapi masalah kenalah berundur, beri peluang kepada kita untuk memerintah.
“Kita tahu Umno ada masalah tapi masih cuba nak tutup tapi akhirnya akan terdedah juga,” kata beliau.
Saifuddin juga menyokong tindakan PAS yang menggunakan strategi “PAS Sedia Ganti Umno” kerana berpendapat parti Islam itu layak untuk bersaing seterusnya menggantikan Umno sebagai sebuah parti Melayu.
“Ini adalah strategi terbaru yang digunakan PAS, sebagai sebuah parti Melayu dan Islam PAS boleh menggantikan Umno yang juga parti memperjuangkan orang Melayu.
“Justeru saya melihat dalam landskap politik sekarang, PAS boleh menggantikan Umno,” katanya -

- The Malaysian Insider

Zaid masih dalam PKR

KUALA LUMPUR, Nov 15 — Datuk Zaid Ibrahim has now denied he has quit PKR but did not discount the possibility soon.

“Not yet, maybe soon,” he told Bernama in a text message today.

The maverick politician was quoted by The Star daily as saying that he was leaving the party.

- Malaysian Insider