Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim nampaknya menjadikan Timbalan Pengurus Besar Yayasan Selangor (YS) Saifulruddin Sulaiman sebagai ‘kambing hitam’ dalam kes perbelanjaan membazir sempena sambutan ulangtahun ke-40 yayasan itu yang dijadualkan hari ini (Isnin).
Menurut Khalid, Shaifulfuddin diarah bercuti bergaji bagi memudahkan siasatan kerana siasatan awal mendapati pejabatnya terlibat dengan perbelanjaan yang mengakibatkan Sultan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka.
Timbul persoalan, setakat manakah bidang dan had kuasa Saifulruddin sehinggakan beliau dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap perbelanjaan besar bagi majlis makan tengahari itu dan beberapa program sambutan ulangtahun lain?
Dilaporkan sebelum ini bahawa Khalid tidak mengetahui mengenai sambutan dan perbelanjaan tersebut kerana beliau tidak dimaklumkan mengenainya. Timbul persoalan selanjutnya, bagaimanakah pengurusan dan pentadbiran YS dijalankan?
Bolehkah seorang Timbalan Pengurus Besar meluluskan peruntukan sebesar RM300,000 (atau RM800,000 seperti didedahkan oleh Timbalan Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar) tanpa pengetahuan Pengurus Besar selaku Ketua Pegawai Ekskutif badan pendidikan itu?
Banyak tanda tanya lagi yang boleh ditimbulkan! Jika benar seseorang Timbalan Pengurus Besar boleh membuat bajet dan dia sendiri meluluskannya, apakah pula peranan Pengurus Besar dalam institusi kebajikan anak-anak luar bandar yang perlu bantuan itu?
Di Yayasan Selangor, ada dua orang Timbalan Pengurus Besar dan seorang lagi ialah Datin Sabariah Ahmad. Bagaimana pulakah jika timbalan ini juga membuat dan meluluskan bajetnya sendiri. Dan apa pula halnya jika ada tiga orang timbalan….?
Sehingga kini, difahamkan Sabaraiah sedang bercuti seminggu gara-gara kemelut yang berlaku dalam YS. Sebelum ini beliau dikatakan telah diarahkan untuk melapor diri ke pejabat SUK kerana kehadirannya dilihat ‘menggundah-gelanakan Pengurus Besar ekoran berlegarnya surat-surat layang mengenai dirinya.
Mengenai kemelut RM520,000 melibatkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang menaja majlis perkahwinan angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muzafar, yang dijadikan sasaran di situ pula adalah Jabatan Perhubungan Awamnya. Jabatan tersebut tidak dibenarkan mengadakan sebarang aktiviti sehingga selesai siasatan.
Persoalan yang sama juga timbul di perbadanan itu - adakah pengurus jabatan berkenaan layak dan berkuasa meluluskan peruntukan sebesar itu, apatah lagi digunakan untuk kegiatan yang langsung tidak berkaitan dengan pemajuan hartanah.
Nampaknya di PKNS lagi hebat kerana gambaran yang diberikan ialah pegawainya (tak perlu timbalan pengurus besar seperti di YS) boleh buat keputusan dan kerana itulah keseluruhan jabatan perhubungan awam, jabatan yang menjadi penghubung dengan pihak luar dibekukan kegiatannya.
Dalam kedua-dua kes anak syarikat kerajaan negeri itu, apakah peranan lembaga pengarah dan lembaga pemegang amanahnya? Tidakkah kedua-dua lembaga ini mengetahui mengenai perbelanjaan yang luar biasa itu.
Ada dedas desus yang berlegar mendakwa di YS, lembaga pemegang amanahnya cukup cekap ‘menutup mulut’ pegawai rendah dan kakitangannya dengan menghadiahkan mereka dua bulan bonus berbanding dengan keputusan kerajaan yang memberi RM500 sahaja.
Untuk ahli-ahli lembaga pemegang amanah pula, mereka mengambil RM5,000 seorang termasuk Pengurus Besarnya Ilham Marzuki. Beliau juga dapat bonus selaku Pengurus Besar.
Jika ahli-ahli lembaga tidak mengetahui dan tidak terlibat dengan perancangan kegiatan dan perbelanjaan besar, apakah yang mereka lakukan.
Bukankah meluluskan kegiatan dan perbelanjaan besar adalah dasar institusi dan dasar hanya diluluskan oleh lembaga pengarah – bukan timbalan pengurus besar atau jauh sekali pengurus jabatan perhubungan awam!
Dalam hal kedua-dua YS dan PKNS, nampaknya CEO iaitu Pengurus Besar macam kebal.
Mungkinkah kekebalan mereka kerana kedua-dua Pengerusi YS dan PKNS adalah Khalid Ibrahim?
Semoga status kebal tidak diikuti oleh bebal.! - Agenda Daily
No comments:
Post a Comment