Showing posts with label khalwat. Show all posts
Showing posts with label khalwat. Show all posts

Tuesday, January 3, 2012

Khalwat : Sepasang penuntut IPT ditahan di Pandan Indah

AMPANG, 3 Jan - Serbuan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah, awal pagi semalam berjaya memberkas sepasang remaja penuntut institut pengajian tinggi (IPT) menyewa sebuah bilik hotel murah untuk memadu asmara.

Semasa disoalsiasat, penuntut IPT wanita itu berkata mereka terpaksa menyewa sebuah bilik hotel murah akibat kehabisan tiket bas untuk pulang ke IPT Pahang.

Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Osman berkata “Gadis berkenaan memberi alasan kehabisan tiket bas ekspres untuk pulang ke IPT di Pahang, lalu menyewa bilik hotel itu,” katanya.

Ahmad Nawi berkata, pihaknya mendapati gadis berusia 21 tahun itu hanya membalut tubuhnya dengan tuala, manakala pasangannya yang berusia 33 tahun itu memakai seluar pendek tanpa baju.

Turut ditahan kerana berkhalwat adalah sepasang kekasih warga Indonesia. Wanita yang berusia 37 tahun itu bekerja sebagai pembantu rumah, manakala pasa-ngan­nya berusia 33 tahun, seorang kontraktor.

“Wanita berkenaan telah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia sembilan tahun yang tinggal bersama suaminya di Indonesia, manakala pasangannya itu masih bujang,” katanya. - KLPos

Wednesday, November 17, 2010

JAIS serbu bilik asmara

SUBANG: Seorang gadis berusia 22 tahun ditahan bersekedudukan dengan seorang lelaki bukan Islam di sebuah bilik kecil yang disewanya di Kawasan Perindustrian Puchong Utama, di sini, malam kelmarin.

Gadis itu dicekup penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ketika berbaring bersama pasangannya dalam bilik berkenaan.

Dalam operasi bersepadu bermula kira-kira jam 11 malam itu, dua lagi wanita yang bersekedudukan dengan pasangan bukan Islam ditahan dalam bilik berasingan di kawasan sama.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Adnan Md Ikhsan ketika ditemui berkata, semua wanita itu dipercayai sudah dua tahun menginap di bilik berkenaan.

Katanya, mereka tinggal di bilik kecil yang diubah suai secara haram dari sebuah unit pangsapuri. “Setiap unit pangsapuri empat tingkat di Kawasan Perindustrian Puchong Utama itu memiliki tiga bilik tidur, namun pemiliknya mengubahsuai dengan meletakkan papan penghadang menjadikannya 10 bilik kecil.

“Kami mengesan taktik ini selepas mendapat maklumat jiran dan hasil pemeriksaan, tiga rumah di kawasan itu mengubah suai kediaman berkenaan kepada 10 bilik kecil setiap unit,” katanya.

Beliau berkata, tindakan pemilik rumah terbabit menyalahi Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan jika sabit kesalahan mereka boleh didenda maksimum RM25,000.

Menurutnya, tindakan pemilik terbabit juga membahayakan nyawa penyewa di bilik kecil berkenaan sekiranya berlaku kebakaran atau struktur papan berkenaan runtuh.

Adnan berkata, penyewa hanya membayar RM150 sehingga RM170 sebulan dan ia tidak sepadan dengan risiko yang dihadapi mereka.

Katanya, semua bilik berkenaan akan diruntuhkan segera dan pihaknya meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa tempatan jika ada unit kediaman di sekitar mereka yang diubah suai dengan cara sama.

Menurutnya, tiga gadis yang dicekup itu akan diserahkan kepada Jais untuk tindakan lanjut.- myMetro

Tuesday, November 16, 2010

Khalwat : Penyanyi Aman Shah dihadap ke Mahkamah 12 Januari



Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad

PUTRAJAYA: Selepas mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan di Mahkamah Syariah pada 3 November lalu, penyanyi dan pelakon Aman Shah yang dituduh berkhalwat dengan janda beranak dua di kuarters kerajaan di Presint 15, di sini, pada 26 September lalu, bakal dibicarakan pada 12 Januari depan.

Sumber Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berkata, beliau yakin pihak pendakwaan bersedia mengemukakan fakta berkaitan pertuduhan yang dikenakan terhadap artis lingkungan 50-an terbabit.

Menurutnya, artis terbabit mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan mengikut Seksyen 27, Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 dibacakan terhadapnya.

“Mahkamah menetapkan 12 Januari bagi membolehkan perbicaraan dilakukan dan sudah pasti artis terbabit diminta membawa peguam untuk mewakilinya nanti,” katanya, semalam.

Muka depan Harian Metro 27 September lalu melaporkan mengenai penahanan seorang penyanyi veteran era 1980 dan awal 1990-an di rumah ‘kekasih gelapnya’ di kuarters kerajaan di Presint 15, di sini, selepas didapati berdua-duaan di rumah terbabit.

Artis terbabit dikatakan memasuki rumah kekasihnya yang juga kakitangan kerajaan kira-kira jam 10 malam sebelum sepasukan anggota penguat kuasa Jawi menyerbu rumah terbabit selepas mendapat aduan berlakunya perbuatan khalwat.

Walaupun memberikan alasan mengunjungi wanita beranak dua itu sempena Aidilfitri, alasan berkenaan tidak dipedulikan penguat kuasa Jawi, malah artis terbabit mengakui dia bukan mahram dengan wanita terbabit.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata, tidak wujud sikap pilih kasih terhadap artis terbabit walaupun hanya dihadapkan ke mahkamah selepas hampir 40 hari dicekup berkhalwat dengan janda terbabit.

Beliau berkata, pendakwaan terhadap mereka yang menghadapi pertuduhan syariah dijalankan tanpa mengambil kira latar belakang tertuduh.

Menurutnya, ia termasuk artis terbabit yang tetap dihadapkan ke mahkamah walaupun mengambil sedikit masa bagi membawanya ke mahkamah.

“Sebenarnya, masalah pilih kasih tidak berbangkit walaupun kes itu mengambil masa untuk dibawa ke mahkamah dan ia mungkin disebabkan beberapa masalah teknikal yang perlu diselesaikan, terutama apabila ia membabitkan pertuduhan jenayah syariah.

“Apa yang pasti, artis terbabit sudah dituduh di mahkamah syariah atas pertuduhan khalwat dengan janda beranak dua,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sama ada artis terbabit mengaku salah atau tidak, ia adalah haknya mempertahankan diri di mahkamah.

Menurutnya, apabila mengaku tidak bersalah mahkamah akan menetapkan tarikh bagi membolehkan artis terbabit membawa peguam bagi menghadapi perbicaraan di mahkamah.

Artis terbabit didakwa mengikut Seksyen 27, Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 kerana melakukan khalwat dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali - myMetro