Sunday, August 5, 2012

Seorang maut 8 cedera dalam nahas di Bukit Putus

SEREMBAN: Seorang wanita maut manakala lapan lagi cedera selepas terlibat dalam satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 14.3 Jalan Seremban-Kuala Pilah di Bukit Putus, hari ini.

Jurucakap polis berkata mangsa, Rohani Saidin, 52, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.


"Kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu kereta jenis Proton Saga, Proton Waja serta Honda CRV dan mangsa yang maut adalah penumpang kereta Proton Waja yang dinaiki bersama empat anggota keluarganya yang lain.

"Selain itu, semua mangsa yang cedera iaitu pemandu kereta Honda CRV, empat penumpang Proton Waja dan tiga sekeluarga yang menaiki Proton Saga dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar di sini untuk rawatan," katanya.



Dalam pada itu, Pegawai Turus Trafik negeri ASP Abd Halil Hamzah, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan berkata punca kemalangan masih disiasat.


Seorang saksi, Syed Azril Syed Zamri, 33, berkata ketika kejadian, beliau dan isteri serta seorang anaknya sedang melalui jalan itu dari arah Kuala Pilah menuju Seremban.

"Apabila sampai di lokasi kejadian, secara tiba-tiba saya nampak sebuah kereta jenis Honda CRV dari arah bertentangan terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Waja di hadapan saya.

"Saya terkejut apabila mendengar bunyi letupan yang kuat sebelum kereta Proton Waja itu dirempuh kereta Proton Saga pula dari arah belakang," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Syed Azril berkata beliau bernasib baik kerana sempat memberhentikan kenderaan dan mengelak daripada bertembung dengan kenderaan di depannya.

"Apabila keluar dari kenderaan, saya melihat seorang lelaki yang tersepit di tempat pemandu kereta Proton Waja, merayu meminta tolong manakala penumpang yang lain sedang mengerang kesakitan.

"Saya juga melihat seorang wanita berlumuran darah berada di bawah tempat duduk belakang, dihimpit seorang lagi wanita, dan seorang kanak-kanak berusia setahun yang sedang menangis," katanya yang kemudian menghubungi polis. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/05

No comments:

Post a Comment