KAMPAR : Seorang pegawai eksekutif di sebuah syarikat swasta rentung selepas tersepit dalam kemalangan ngeri membabitkan sebuah kereta dan lori di Kilometer 17, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur berhampiran RTC Gopeng, di sini, awal pagi semalam.
Sebelum kejadian, mangsa, P Srinivasan, 26, dikatakan dalam perjalanan dari bandar Ipoh ke rumah di Taman Timur, Kampar dan sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandu mangsa dikatakan hilang kawalan lalu masuk laluan bertentangan dan bertembung sebuah lori, jam 1.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, kemalangan membabitkan k Proton Saga BLM dipandu mangsa, manakala lori jenis Mitsubishi tiga tan membawa muatan tilam.
“Siasatan awal mendapati, kereta dipandu mangsa dari arah Ipoh dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung sebuah lori dari arah Kampar mengakibatkan kedua-dua kenderaan terbakar.
“Pemandu kereta Srinivasan tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori, Mohd Nordan Enoh, 50, dan seorang kelindan sempat menyelamatkan diri,” katanya.
Menurutnya, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng yang dibantu anggota Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai berjaya mengawal api sebaik tiba di tempat kejadian jam 1.30 pagi.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/06
No comments:
Post a Comment