21 Ogos 2012
Sebelum ini, Sinar Harian pada 16 Ogos lalu melaporkan kisah mengenai lima beradik yang menguruskan kehidupan mereka sendiri setelah ibu bapa mereka berhijrah mencari rezeki di Pulau Pinang.
Keadaan itu menyebabkan Nor Hisab Mohd Sharif, 14, terpaksa menggalas tanggungjawab bagi menjaga kebajikan adik-adiknya yang lain.
Setiausaha Umno Bahagian Baling, Mohamad Sani Mahmud berkata, pihaknya bersimpati dengan keadaan yang menimpa lima beradik terbabit.
“Kita sudah melawat keadaan rumah lima beradik ini yang berada dalam serba kekurangan. Justeru, kita menyediakan kemudahan perabot untuk mereka,” katanya ketika melawat lima beradik berkenaan baru-baru ini.
Hadir sama Pengerusi Biro Kebajikan Umno Bahagian Baling dan wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurutnya, kemudahan yang diberikan itu adalah bagi memberikan keselesaan kepada lima beradik terbabit yang menghuni rumah berkenaan.
“Kanak-kanak ini mempunyai rekod pembelajaran yang baik malah mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan mereka.
“Sehubungan itu, kita berharap kemudahan ini sedikit sebanyak dapat memberikan keselesaan kepada mereka ini,” katanya.
Keadaan Nor Hisab dan adik-beradiknya yang lain mendapat perhatian banyak pihak yang begitu tersentuh dengan keadaan nasib mereka.
Walaupun hidup tanpa ibu dan bapa, lima beradik ini berdikari dalam menguruskan kehidupan mereka.
Ayah mereka yang bekerja di Pulau Pinang tetap menghulurkan wang ringgit setiap bulan supaya lima beradik ini dapat meneruskan kehidupan mereka.
No comments:
Post a Comment