Friday, August 31, 2012

Kerat mayat sebelum dibakar


Oleh Siti Azila Alias
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
CARI BUKTI...anggota Unit Forensik menjalankan siasatan di tempat kejadian.
CARI BUKTI...anggota Unit Forensik menjalankan siasatan di tempat kejadian.
USUNG...anggota polis mengangkat mayat mangsa.
USUNG...anggota polis mengangkat mayat mangsa.
NIBONG TEBAL: Kepulan asap di sebuah lorong kecil berhampiran ladang kelapa sawit membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki terbakar dalam keadaan tanpa kepala, kedua-dua tangan dikerat pada paras siku dan kaki dipotong di bahagian paha.
Mayat lelaki dipercayai mangsa pembunuhan kejam itu ditemui orang awam yang curiga selepas melihat kepulan asap dekat ladang kelapa sawit di Jalan Sungai Kechil, di sini, jam 9.45 pagi, semalam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mat Nasir Salleh berkata, ketika ditemui sebahagian mayat masih terbakar itu dan mangsa hanya berseluar dalam.

Menurutnya, siasatan anggota forensik yang bergegas ke tempat kejadian gagal menemui dokumen pengenalan diri pada mayat terbabit dan menganggarkan usia mangsa dalam 30-an.

Wednesday, August 29, 2012

Lelaki pecah masuk asrama mati dibelasah



290812 - Seorang lelaki berusia 35 tahun yang memecah masuk asrama sebuah sekolah agama swasta di Jalan Sultanah di Alor Setar hari ini, mati setelah dibelasah sekumpulan pelajar lelaki sekolah itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, suspek, seorang penagih dadah, dikatakan memecah masuk asrama itu dan mencuri telefon bimbit dan sebuah beg, tetapi disedari oleh sekumpulan pelajar yang kemudiannya bergelut dengan lelaki itu untuk menangkapnya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata pergelutan antara kumpulan pelajar berusia awal 20-an dengan suspek, menyebabkannya mengalami kecederaan dalaman dan patah tulang rusuk kiri.

Beliau berkata suspek yang dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk mendapatkan rawatan disahkan meninggal dunia kira-kira 2 petang.

"Satu laporan polis mengenai kejadian tersebut dibuat oleh pelajar terbabit dan masih menunggu laporan hasil bedah siasat terhadap suspek," katanya kepada pemberita di Alor Setar hari ini.

Adzaman berkata berdasarkan rekod, suspek mempunyai empat kes jenayah lampau iaitu pada tahun 2006 termasuk satu kes curi dalam kediaman.

Katanya setakat ini polis belum menahan mana-mana pelajar untuk memberi keterangan sehingga keputusan hasil bedah siasat ke atas suspek diperoleh.

-Bernama

Tuesday, August 28, 2012

Mahkamah batal saman MB Terengganu terhadap wakil rakyat PAS


28 Ogos 2012
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini membatalkan saman Menteri Besar Terengganu terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Batu Buruk dari PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan tiga yang lain berkaitan artikel berhubung pembelian uniform sekolah oleh kerajaan negeri.
Hakim Datin Yeoh Wee Siam membuat keputusan itu dalam kamarnya.
Peguam Abdullah Omar Bawadi mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan dua orang yang lain manakala Azhana Mohd Khairudin bertindak bagi pihak Syed Azman dan tiga defendan yang lain.
Azhana memberitahu pemberita bahawa hakim mendapati Menteri Besar tidak dapat mengekalkan tindakan saman malunya terhadap keempat-empat defendan berkenaan kerana beliau menyaman mereka berdasarkan kedudukan rasminya.
"Hakim juga mengarahkan plaintif kedua (Menteri Besar) membayar kos RM5,000 kepada semua defendan dalam tempoh 14 hari," katanya dan menambah kata bahawa mahkamah menetapkan 10 Sept bagi pengurusan kes untuk mengetahui sama ada dua plaintif yang lain yang kekal sebagai pihak dalam tuntutan itu mahu meneruskan atau menarik diri daripada tindakan tersebut.

Pada 15 Dis tahun lepas, kerajaan Terengganu, Menteri Besar Terengganu dan Mek Hawa Abdul Rahman serta Hamie Azreen Ami Nordin, yang diberikan kontrak membekalkan uniform dan alat tulis, mengemukakan saman terhadap keempat-empat defendan berkenaan.
Mereka menamakan Dr Syed Azman, pemilik permit Harakah, Datuk Mustafa Ali, ketua editornya Ahmad Lutfi Othman dan pencetak, Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd, sebagai defendan.
Pada 23 Julai, mahkamah membatalkan kerajaan Terengganu sebagai pihak dalam tuntutan setelah membenarkan bantahan awal pihak defendan dan memutuskan bahawa ia tidak mempunyai locus standi untuk meneruskan saman itu.
Dalam penyataan tuntutan mereka, pihak plaintif menyatakan bahawa Syed Azman memalukan mereka melalui satu artikel bertajuk 'Seleweng RM30 juta Bantuan Sekolah?' yang disiarkan oleh Harakah sebagai organ rasmi PAS, dalam keluaran pada 11-13 Nov.
Mereka mendakwa kesemua defendan telah dengan niat jahat mencetak dan menyiarkan artikel berkenaan yang menurut mereka (pihak plaintif) merujuk kepada mereka.
Pihak plaintif juga mendakwa artikel berkenaan memberi pengertian bahawa kerajaan negeri dan menteri besar tidak telus dalam memberi kontrak di bawah program bantuan uniform negeri itu.
Mereka memohon ganti rugi am, khas, teruk dan contoh, kos serta injunksi bagi menghalang defendan daripada terus menyiarkan artikel yang dikatakan memalukan itu.- Bernama

Thursday, August 23, 2012

Dendam pemuda Lombok



KAMUNTING: Keluarga arwah Nur Afifah Mohd Zuhari, 16, yang dilarikan lelaki warga Indonesia ke Lombok sebelum meninggal dunia pada 6 Mei lalu mendakwa diganggu penculik anaknya itu dengan menghantar pelbagai ugutan menerusi panggilan telefon dan SMS.
Ibu Allahyarham Nur Afifah, Hasliza Ismail, 45, mendakwa lelaki itu yang dikenali sebagai Mohamad Yani, 30-an, kerap menghantar SMS dan menelefonnya sejak sebulan lalu dengan menggugut untuk menculik seorang lagi anak perempuannya, Nur Amalina, 18.
“Dia mengugut saya dengan memberitahu, mahu menghantar empat rakannya bagi melarikan Nur Amalina ke Lombok untuk menggantikan arwah Nur Afifah. Saya tidak pasti apa motif mereka berbuat demikian.

“Mungkin mereka tidak puas hati kerana hajat mereka untuk memperdagangkan Nur Afifah dalam sindiket pelacuran tidak tercapai apabila anak saya itu meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Panglima, di sini, semalam.

Tuesday, August 21, 2012

Nasib 5 beradik terus dapat perhatian



Wartawan Sinar Harian
21 Ogos 2012
Nasib 5 beradik terus dapat perhatian
Mohamad Sani (empat, kanan) menyerahkan sumbangan kepada Nor Hisab.
BALING - Kisah lima beradik di Kampung Memali yang tinggal tanpa ibu bapa mereka sejak enam bulan lalu terus mendapat perhatian sewajarnya termasuk daripada Umno Bahagian Baling.
Sebelum ini, Sinar Harian pada 16 Ogos lalu melaporkan kisah mengenai lima beradik yang menguruskan kehidupan mereka sendiri setelah ibu bapa mereka berhijrah mencari rezeki di Pulau Pinang.
Keadaan itu menyebabkan Nor Hisab Mohd Sharif, 14, terpaksa menggalas tanggungjawab bagi menjaga kebajikan adik-adiknya yang lain.
Setiausaha Umno Bahagian Baling, Mohamad Sani Mahmud berkata, pihaknya bersimpati dengan keadaan yang menimpa lima beradik terbabit.
“Kita sudah melawat keadaan rumah lima beradik ini yang berada dalam serba kekurangan. Justeru, kita menyediakan kemudahan perabot untuk mereka,” katanya ketika melawat lima beradik berkenaan baru-baru ini.
Hadir sama Pengerusi Biro Kebajikan Umno Bahagian Baling dan wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurutnya, kemudahan yang diberikan itu adalah bagi memberikan keselesaan kepada lima beradik terbabit yang menghuni rumah berkenaan.
“Kanak-kanak ini mempunyai rekod pembelajaran yang baik malah mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan mereka.
“Sehubungan itu, kita berharap kemudahan ini sedikit sebanyak dapat memberikan keselesaan kepada mereka ini,” katanya.
Keadaan Nor Hisab dan adik-beradiknya yang lain mendapat perhatian banyak pihak yang begitu tersentuh dengan keadaan nasib mereka.
Walaupun hidup tanpa ibu dan bapa, lima beradik ini berdikari dalam menguruskan kehidupan mereka.
Ayah mereka yang bekerja di Pulau Pinang tetap menghulurkan wang ringgit setiap bulan supaya lima beradik ini dapat meneruskan kehidupan mereka.

Friday, August 17, 2012

Tak Perlu Takut Dengan Peruntukan Seksyen 114A Akta Keterangan - Rais



KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata tidak ada sebab untuk rakyat takut dengan peruntukan Sekyen 114A Akta Keterangan 1950 kerana ia dilaksanakan berdasarkan anggapan fakta dan bukannya anggapan bersalah.
Beliau berkata mana-mana pihak yang dituduh mengikut peruntukan Seksyen 114A mempunyai hak untuk menangkis dakwaan itu di mahkamah.
"Dan terserah kepada mahkamah akhirnya untuk memberikan justifikasi apa yang perlu dilakukan (putuskan)," katanya kepada pemberita selepas melancarkan iklan teksi bertujuan mempromosi Hari Kemerdekaan dan budi bahasa di sini, Khamis.
Beliau mengulas permintaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya Jemaah Menteri berbincang mengenai peruntukan seksyen itu yang telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat termasuk pengamal media dan ahli politik.
Rais berkata dalam perbincangan semalam, Kabinet memutuskan bahawa pewartaan undang-undang itu adalah wajar kerana telah melalui proses penggubalan yang sepatutnya.
Ditanya sama ada akta itu akan dipinda lagi, Rais berkata: "Kabinet tidak ada mencadangkan sedemikian."
"Penelitian seperti itu yang telah dilunaskan oleh Jabatan Peguam Negara, dan diluluskan oleh Parlimen seharusnya tidak dirungkai lagi sebab sudah cukup perbahasannya."
Seksyen 114A ialah satu daripada dua pindaan yang dibuat terhadap Akta Keterangan yang telah diwartakan Julai lepas.
Ia dikatakan berat sebelah kerana undang-undang boleh mendakwa mereka yang menyiar atau menyalin semula atau memaparkan kandungan seperti hasutan dan fitnah walaupun bukan mereka yang menghasilkan bahan itu.
Rais menjelaskan bahawa butiran Seksyen 114A yang memberi anggapan adalah biasa bagi undang-undang yang berasaskan kedaulatan undang-undang seperti undang-undang berkaitan hasutan, dadah, hubungan kontrak dan sebagainya.
"Ini menjadi isu bangkangan saja," katanya, sambil menambah kerajaan akan terus mendengar pelbagai sentimen yang dibangkitkan pihak-pihak tertentu.Beliau bagaimanapun berkata buat masa ini peruntukan Seksyen 114A itu kekal seperti yang ada sekarang.
"Parlimen telah secara rasmi meluluskan rang undang-undang ini dan ia sudah diwartakan sebagai undang-undang. Oleh itu, hanya baru sekarang untuk mengatakan yang anda perlu lakukan sesuatu yang lain, ia sebenarnya pandangan politik yang hanya difikirkan kemudian. Ia bukan sesuatu yang sebenarnya berdasarkan pada kesahihan atau ketidaksahihannya," katanya.
Beliau juga berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, yang bertanggungjawab menguruskan Parlimen dan hal ehwal undang-undang, dijangka membuat penjelasan terperinci berhubung pelaksanaan Seksyen 114A tersebut. - BERNAMA

Saturday, August 11, 2012

Shahrizat tidak tahu anaknya terlibat dalam projek NFC



10 Ogos 2012
Shahrizat Abdul Jalil bersama anak sulungnya, Wan Shahinur Izmir
Shahrizat Abdul Jalil bersama anak sulungnya, Wan Shahinur Izmir (kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi kes Pusat Fidlot Nasional. – Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau tidak mengetahui anak keduanya terlibat dalam projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) sehinggalah diberitahu pada 2007.

Shahrizat berkata sebelum itu beliau tidak mengetahui bahawa Wan Shahinur Izran Mohd Salleh, 28, telah menjadi pengarah syarikat National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) sejak Disember 2006.

Beliau mula mengetahui perkara itu apabila suami beliau, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Ismail memberitahu mahu anak-anak mereka pulang ke tanah air dari luar negara untuk membantu menguruskan projek tersebut.

"Saya tidak tahu mengenai bidaan projek tersebut. Saya hanya tahu pada sekitar 2007 selepas suami saya menyatakan hasrat mahu anak-anak pulang ke tanah air untuk membantunya dalam projek ini.

"Ia berlaku selepas beliau (Mohd Salleh) telahpun memperoleh projek itu," katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam Ranjit Singh dalam prosiding kes saman fitnah terhadap Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin dan pengarah strategi parti itu, Mohd Rafizi Ramli.

Ranjit mewakili kedua-dua defendan.

Shahrizat turut menafikan mengetahui projek NFC lebih awal dan perbincangan mengenai NFC bukanlah atas kapasiti sebagai seorang menteri sebaliknya perbualan antara suami isteri.

Ditanya bukankah Wan Shahinur Izran masih terlalu muda untuk dilantik sebagai pengarah syarikat kerana baru berusia 22 tahun ketika itu, Shahrizat berkata ia tidak salah kerana anaknya telah tamat pengajian ketika berusia 19 tahun di Amerika Syarikat serta antara pelajar terbaik.

Katanya Wan Shahinur Izran tinggal bersamanya sejak 2004 dan dua lagi iaitu Wan Shahinur Izmir, 32, dan Wan Izzana Fatimah Zabedah, 26, berada di luar negara dan kembali ke Malaysia pada 2007 untuk menyertai NFC.

Tambahnya walaupun beliau, suami dan Wan Shahinur Izran tinggal sebumbung tetapi mereka tidak ambil tahu urusan kerja masing-masing.

Shahrizat berkata beliau mula meneliti pembabitan ahli keluarganya dalam projek itu pada tahun lepas selepas tersiar di media dan meminta suaminya memberi penjelasan.
 
Ketika ditanya oleh Ranjit bahagian manakah di dalam kenyataan kedua-dua defendan sehingga memudaratkan dirinya, Shahrizat berkata:

"Kata-kata mereka membuatkan orang ramai menyalahkan saya."

Di awal prosiding, mahkamah ditunjukkan tayangan video mengenai sidang media melibatkan kedua-dua defendan di bangunan Parlimen.

Pada 19 Jan lalu, Shahrizat memfailkan saman terhadap Zuraida dan Mohd Rafizi berhubung kenyataan yang didakwa memfitnah beliau dalam isu NFC.

Shahrizat menuntut ganti rugi am RM50 juta dan RM50 juta lagi sebagai ganti rugi teladan dan teruk daripada defendan.

Beliau juga memohon injunksi bagi menghalang defendan daripada terus mengeluarkan kenyataan sama ada secara lisan atau penerbitan terhadap beliau berhubung NFC atau syarikat bersekutu.

Prosiding di depan Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera bersambung 18 Sept.- Bernama

Tuesday, August 7, 2012

Kerajaan Pulau Pinang Beri Insentif RM100,000 Kepada Chong Wei

Ketua Menterinya, Lim Guan Eng berkata, insentif tersebut turut diberikan bagi menghargai usaha gigih Chong Wei pada temasya empat tahun sekali itu dan sebagai galakan kepadanya untuk meraih pingat emas pada Sukan Olimpik 2016.
Katanya, insentif itu akan diberikan menerusi program ganjaran Perbadanan Bekalan Air Holdings Bhd (PBA) untuk olahragawan Pulau Pinang yang bertaraf dunia.
"Walaupun kecundang kepada Lin Dan dalam perlawanan akhir, beliau telah berusaha dengan gigih dan menimbulkan rasa bangga setiap rakyat Malaysia.
"Negeri Pulau Pinang berasa bangga dengan kejayaan juara badminton dari Bukit Mertajam ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pemain No.2 dunia itu tewas kepada musuh ketatnya dari China, Lin Dan dengan pungutan mata 21-15,10-21 dan 19-21 dalam masa 79 minit.
Dengan kekalahan itu, beliau memperoleh pingat perak kedua selepas kecundang kepada pemain sama dalam aksi akhir di temasya Beijing empat tahun lalu.
Terdahulu, Chong Wei mara ke final selepas menundukkan pemain muda China, Chen Long 21-19, 21-11 pada aksi separuh akhir.
Sementara itu, Guan Eng berkata, meskipun tewas, semangat perjuangan dan keupayaan pemain berusia 30 tahun itu memberi inspirasi dan menyatukan rakyat Malaysia sebagai satu bangsa, satu semangat dan satu jiwa.
"Kerajaan Pulau Pinang akan memberi sokongan penuh kepada beliau untuk meraih pingat emas pada Sukan Olimpik 2016 dan membantu mempersiapkan pengganti yang layak," katanya.

Monday, August 6, 2012

Saya nampak hantu dalam pesawat Air Asia

.MIRI: Lelaki yang terjun dari pesawat AirAsia malam Jumaat lalu mendakwa dia terlihat kelibat bayangan 'hantu' dalam pesawat tersebut sebelum nekad meninggalkan teman wanitanya dan terjun ke atas landasan Lapangan Terbang Miri di sini.
Lelaki tersebut yang dikenali sebagai Chong, 24, mendakwa, kehadiran bayangan 'hantu' yang mengganggunya itu menyebabkan dia ketakutan dan mengambil keputusan bertindak keluar dari pesawat berkenaan.

Menurut lelaki itu, tanpa mempedulikan keselamatan dirinya, dia terus membuka pintu kecemasan disebabkan permintaannya untuk turun daripada penerbangan itu tidak dibenarkan oleh anak kapal bertugas.

"Semasa pesawat bersedia untuk berlepas, tiba-tiba saya ternampak kelibat makhluk aneh seakan-akan hantu hadir mengambil tempat penumpang.

"Disebabkan bimbang sesuatu tidak diingini berlaku semasa penerbangan memandangkan permintaan saya tidak dipedulikan pramugari bertugas, saya tiada pilihan lain melainkan terjun dari pesawat," katanya ketika ditemui di Hospital Miri di sini semalam.

Menceritakan lebih lanjut, Chong yang merupakan seorang staf AirAsia memberitahu, ketika mula memasuki pesawat, keadaan adalah tenang sebelum dia mengambil tempat duduk bersama teman wanitanya.

Bagaimanapun, ketika sedang melalui lorong untuk mencari tempat duduknya, tiba-tiba dia berasa sesuatu yang tidak menyenangkan lalu menoleh ke belakang pesawat sebelum melihat suatu kelibat hitam yang menakutkan di situ.

Jelasnya, apabila dia sudah mendapat tempat duduk, perasaannya masih dihantui ketakutan hingga menyebabkan dia bertekad untuk keluar dari pesawat tersebut.

“Saya betul-betul berasa seram dan takut dengan kehadiran kelibat hitam itu dan saya tidak berfikir panjang apabila bertindak membuka pintu kecemasan dan terjun.

“Saya tidak sanggup meneruskan penerbangan kerana bimbang berlaku sesuatu musibah,” dakwanya.

Bagaimanapun, Chong yang menerima kecederaan ringan gagal memberi gambaran sebenar makhluk aneh berkenaan kerana fikirannya dipercayai belum stabil.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 malam pada Jumaat lalu, kira kira 200 penumpang pesawat AK587 AirAsia cemas apabila Chong secara mengejut membuka pintu kecemasan sebelum terjun ke atas landasan.

dipetik dari Kosmo!

Eksekutif rentong dalam nahas jalan raya

KAMPAR : Seorang pegawai eksekutif di sebuah syarikat swasta rentung selepas tersepit dalam kemalangan ngeri membabitkan sebuah kereta dan lori di Kilometer 17, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur berhampiran RTC Gopeng, di sini, awal pagi semalam.
Sebelum kejadian, mangsa, P Srinivasan, 26, dikatakan dalam perjalanan dari bandar Ipoh ke rumah di Taman Timur, Kampar dan sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandu mangsa dikatakan hilang kawalan lalu masuk laluan bertentangan dan bertembung sebuah lori, jam 1.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, kemalangan membabitkan k Proton Saga BLM dipandu mangsa, manakala lori jenis Mitsubishi tiga tan membawa muatan tilam.
“Siasatan awal mendapati, kereta dipandu mangsa dari arah Ipoh dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung sebuah lori dari arah Kampar mengakibatkan kedua-dua kenderaan terbakar.

“Pemandu kereta Srinivasan tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori, Mohd Nordan Enoh, 50, dan seorang kelindan sempat menyelamatkan diri,” katanya.

Menurutnya, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng yang dibantu anggota Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai berjaya mengawal api sebaik tiba di tempat kejadian jam 1.30 pagi.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/06

Sunday, August 5, 2012

Seorang maut 8 cedera dalam nahas di Bukit Putus

SEREMBAN: Seorang wanita maut manakala lapan lagi cedera selepas terlibat dalam satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 14.3 Jalan Seremban-Kuala Pilah di Bukit Putus, hari ini.

Jurucakap polis berkata mangsa, Rohani Saidin, 52, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.


"Kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu kereta jenis Proton Saga, Proton Waja serta Honda CRV dan mangsa yang maut adalah penumpang kereta Proton Waja yang dinaiki bersama empat anggota keluarganya yang lain.

"Selain itu, semua mangsa yang cedera iaitu pemandu kereta Honda CRV, empat penumpang Proton Waja dan tiga sekeluarga yang menaiki Proton Saga dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar di sini untuk rawatan," katanya.



Dalam pada itu, Pegawai Turus Trafik negeri ASP Abd Halil Hamzah, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan berkata punca kemalangan masih disiasat.


Seorang saksi, Syed Azril Syed Zamri, 33, berkata ketika kejadian, beliau dan isteri serta seorang anaknya sedang melalui jalan itu dari arah Kuala Pilah menuju Seremban.

"Apabila sampai di lokasi kejadian, secara tiba-tiba saya nampak sebuah kereta jenis Honda CRV dari arah bertentangan terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Waja di hadapan saya.

"Saya terkejut apabila mendengar bunyi letupan yang kuat sebelum kereta Proton Waja itu dirempuh kereta Proton Saga pula dari arah belakang," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Syed Azril berkata beliau bernasib baik kerana sempat memberhentikan kenderaan dan mengelak daripada bertembung dengan kenderaan di depannya.

"Apabila keluar dari kenderaan, saya melihat seorang lelaki yang tersepit di tempat pemandu kereta Proton Waja, merayu meminta tolong manakala penumpang yang lain sedang mengerang kesakitan.

"Saya juga melihat seorang wanita berlumuran darah berada di bawah tempat duduk belakang, dihimpit seorang lagi wanita, dan seorang kanak-kanak berusia setahun yang sedang menangis," katanya yang kemudian menghubungi polis. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/05