Tuesday, February 26, 2013

Sokongan terhadap Najib menurun, kaum Cina tetap menolak - Merdeka Center


OLEH MD IZWAN
FEBRUARY 26, 2013
KUALA LUMPUR, 26 Feb — Penyelidik bebas Merdeka Center dalam laporan terkini hari ini mendapati sokongan pengundi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak menurun daripada 65 peratus pada Mei 2012 kepada 61 peratus pada bulan Januari tahun ini.
Dalam kajian yang melibatkan 1,021 pengundi berdaftar tersebut juga mendapati kemarahan masyarakat Cina terhadap terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) masih tinggi iaitu pada kadar 68 peratus, petanda program dan kempen yang dilakukan oleh pimpinan Najib untuk menarik hati kumpulan tersebut masih lagi gagal.
Masyarakat Melayu juga mencatat peningkatan kemarahan keatas kerajaan apabila naik daripada 24 peratus pada Mei 2012 kepada 32 peratus pada Januari 2013, manakala masyarakat India juga naik daripada 41 kepada 43 peratus dalam tempoh sama. 
Menurut kajian itu lagi, walaupun sokongan kumpulan majoriti masyarakat Melayu masih kuat kepada kerajaan BN tetapi corak penurunan sokongan daripada 66 peratus pada Mei 2012 kepada 60 peratus pada Januari 2013 dilihat akan memberikan kesan yang besar kepada kerajaan menjelang Pilihan Raya 2013 tidak lama lagi.
“Kajian juga menemui penurunan sokongan dikalangan responden kaum Melayu terhadap kerajaan dan Barisan Nasional,” kata Merdeka Centre dalam satu kenyataan hari ini.
Daripada responden yang dipilih oleh Merdeka Centre, para pengundi memilih masalah rasuah sebagai isu utama yang kerajaan perlu titikberatkan dengan sebanyak 46 peratus perkara tersebut perlu ditangani oleh kerajaan, manakala isu polis dan keselamatan awam pula 28 peratus dan diikuti dengan masalah kenaikkan harga barang atau inflasi sebanyak 23 peratus.
Kajian yang dilakukan oleh Merdeka Center dijalankan bertujuan untuk mengenalpasti isu persepsi yang bakal memberikan kesan menjelang pilihan raya tidak lama lagi.
Kebanyakkan isu-isu yang dibangkitkan kepada responden antaranya seperti Perhimpunan Kebangkitan Rakyat pada 12 Januari lalu, laporan media semasa Suruhanjaya Diraja Sabah mengenai kad pengenalan, isu yang didedahkan oleh usahawan karpet Deepak Jaikishan, kenyataan kontroversi oleh bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan juga perbalahan dalam perebutan kalimah “Allah” kebelakangan ini yang ditiimbulkan semula oleh ahli politik.
Kajian tersebut melibatkan 59 peratus kaum Melayu, 32 peratus kaum Cina dan 9 peratus kaum India.
Pilihan Raya 2013 perlu diadakan selepas mandat kerajaan BN tamat pada penghujung April.
Sebanyak 222 kerusi Parlimen dipertandingkan manakala 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) menjadi rebutan dalam pilihan raya yang dianggap paling sengit dalam sejarah.
Setakat ini, hanya negeri Sarawak yang telah mengadakan pilihan raya negeri pada 2011.

No comments:

Post a Comment