SKUDAI - Sebuah masjid yang bakal dibina di Jalan Kolam Ayer-Nong Chik dan dijangka siap 2013 mengetengahkan konsep hijau yang pertama seumpamanya didirikan di negara ini.
Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Datuk Ir Dr Zaini Ujang berkata, pihak universiti akan membantu dari segi kepakaran bagi membangunkan masjid Kolam Ayer itu menerusi Institut Sultan Iskandar (ISI) untuk Habitat Perbandaran dan Bangunan Tinggi.
Manakala, syarikat pemaju hartanah, Mudra Tropika Sdn Bhd (Mudra Tropika) dan Dynac Sdn Bhd adalah pemaju projek pembangunan masjid yang akan meneroka satu usaha bersepadu dalam aspek seni bina hijau, perancangan dan perumahan lestari, pengurusan cekap tenaga, kesan karbon dan pelbagai bidang lain yang menelan kos RM9 juta.
“Usaha ini sebagai menyahut seruan kerajaan membudayakan kelestarian dan teknologi hijau dalam pembangunan di mana tenaga pakar dari UTM akan membantu mengenal pasti reka bentuk bangunan, persekitaran, landskap yang mampu membentuk selesa yang mengambil kira aspek kesejahteraan alam sekitar.
“ISI akan membantu pihak arkitek dalam penjanaan tenaga suria, penggunaan air hujan, mengoptimumkan pengudaraan semula jadi dan memaksimumkan pencahayaan semula jadi dan kecekapan akustik,” katanya selepas Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Institut Sultan Iskandar (UTM) dan Mudra Tropika Sdn Bhd serta Dynac Sdn Bhd.
Katanya, masjid yang bakal dibina akhir tahun ini dijangka akan menjadi contoh reka bentuk masjid yang beridentitikan Johor, moden, mesra alam dan jimat tenaga.
“Teknologi baru yang akan diperkenalkan ialah Building Integrated Photovoltaics iaitu sistem inovatif pada bangunan menghasilkan elektrik melalui tenaga solar pada panel penyerapan cahaya yang diletakkan pada bumbung bangunan.“Masjid itu juga akan memperkenalkan sistem pengumpulan air hujan untuk diguna pakai bagi pelbagai kegunaan termasuk berwuduk dan kerja pembersihan,” katanya.
Dijangka masjid baru ini bakal memuatkan 2,000 jemaah dalam satu masa yang mempunyai tiga tingkat yang turut dilengkapi kemudahan meletakkan kenderaan di bahagian bawah - SH
No comments:
Post a Comment