Oleh Latifah KasmuriMay 29, 2011
KUALA LUMPUR, 29 Mei — Pemerhatian di studio dan di luar studio selama beberapa hari membawa satu mesej — peserta dengan berperwatakan menarik dan bukan latar belakang pendidikan agama, program Imam Muda dapat mengubah persepsi masyarakat khususnya remaja agar tidak takut kepada anggota masyarakat bergelar ‘imam’ dan ‘ustaz’.
Seramai 10 peserta Imam Muda yang lebih kurang sebaya dengan remaja di luar studio mampu menarik minat golongan muda untuk mendekati agama atau memberi peluang kepada mereka bertanya mengenai sebarang kemusykilan tanpa segan-silu.
Imam Muda musim kedua ini menampilkan peserta-peserta berlainan latar belakang.
Program yang telah memecah tradisi program bercirikan keislaman mendapat tarikan orang ramai khusunya golongan muda. Kejayaan Imam Muda musim pertama telah menarik tiga juta penonton dan mempunyai 300,000 peminat di laman web sosial Facebook, di samping mencatat kira-kira 1.7 juta carian menerusi internet telah mendapat liputan meluas media tempatan dan antarabangsa.
Sepuluh peserta mencuba nasib pada musim kedua iaitu Ali Khairudin Abdul Marif, 26, dari Sabah, Mohd Hassan Adli Yahaya @ Yahuza, 26, (Perak), Nazrul Izwan Zolkiflee, 26, (Johor), Wan Najdi Wan Mohd Noh, 20, (Selangor), Mohd Fakhrurrazi Hussin, 27, (Terengganu), Ammar Wan Harun, 27, (Kedah), Mohd Azlan Zulkarnain, 25, (Kuala Lumpur), Abdul Fattah Riddzwan, 21, (Negeri Sembilan), Mujahid Suhaimi, 20, (Singapura) dan Zulfadli Awang, 24, dari Brunei.
Seiring bilangan peserta itu, sebanyak 10 episod mula ke udara sejak 25 April lalu. Program anjuran Astro Oasis dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan akan berakhir 1 Julai ini.
Peserta program ada yang merupakan pensyarah, jurutera, fasilitator dan ada juga yang menjadi ahli gimnastik ketika zaman persekolahan. Justeru, walaupun bukan berasal dari latar belakang agama yang kuat, namun ia bukan satu penghalang untuk menjadi Imam Muda terunggul.
Izelan BasarMenceritakan mengenai program ini, pengurus saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, siri ini cuba menghasilkan imam unggul, berbeza dengan imam di dunia sebenar.
“Siri pencarian Imam Muda mahu melahirkan pemuda yang berwibawa, berintegriti untuk memikul tanggungjawab bukan sahaja sebagai imam tetapi juga seorang pemimpin,” katanya.
Tambah beliau, peserta Imam Muda lebih tahu kekuatan dan kelemahan diri sendiri ekoran mereka terpaksa lalui banyak teori dan praktikal untuk mempelajari pendekatan berdakwah yang berbeza mengikut peringkat umur.
“Kami di sini mengasah peserta memiliki ciri-ciri imam yang terbaik supaya remaja lain tidak takut dengan golongan beragama, sekali gus mereka menerima dakwah yang disampaikan,” kata Izelan lagi.
Seorang penolong penerbit bahagian segmen Melayu Astro Oasis, Muhammad Adlan Shaharir menjelaskan, Imam Muda dilihat sebagai satu program yang bersifat santai dan menjadikan golongan muda tertarik mengikuti makna tersirat yang cuba disampaikan.
“Jadi, untuk remaja, mungkin lebih sesuai kami menggunakan golongan muda sendiri untuk mengajak remaja membuat perubahan lebih baik,” katanya.
Kali ini, peserta Imam Muda bukan sahaja bersaing dengan peserta tempatan, mereka juga bertemu dengan peserta negara jiran Singapura dan Brunei.
Persaingan sengit ini yang akan menentukan siapa bakal mengikut jejak langkah Imam Muda musim pertama, Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan.
Kesemua peserta diuji setiap minggu dengan latihan amali, praktikal, lunas agama, kemasyarakatan dan kepimpinan.
Izelan berkata, mereka terpaksa mengikuti jadual ketat, prinsip agama dan pemahaman mengenai tugas-tugas seorang imam, pemimpin keluarga sekali gus sebagai ketua komuniti.
Kini, program musim kedua sudah memasuki bulan kedua.
Pengetua program Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz menarik perhatian bahawa peserta berlainan tempat asal menyediakan persaingan sengit antara peserta.
Penguasaan bahasa kebangsaan menjadi faktor penting untuk mereka melayakkan diri ke pusingan seterusnya kerana kebanyakan tugasan diberikan dalam Bahasa Malaysia. Kata beliau, secara positifnya langkah ini dapat mengembangkan bahasa kebangsaan di peringkat antarabangsa.
Satu lagi aspek yang menarik di sebalik program ini ialah peranan mudir dan mursyid dalam membentuk imam muda terunggul.
Mereka merupakan tulang belakang membentuk imam unggul kerana mursyid bukan sahaja berperanan sebagai penasihat, tetapi sebagai tenaga pengajar.
Justeru, Ustaz Ikmal Zaidi, Ustaz Tuan Asmawi, Ustaz Izhar Ariff dan Ustaz Zulkefli Hamat mendidik para peserta agar bersedia dari segi mental dan fizikal.
Hassan sebagai mudir menegaskan, walaupun mereka mempunyai asas dalam bidang Islam, namun ia masih tidak mencukupi untuk menjadi imam berkualiti.
Oleh itu katanya, bantuan para mursyid diperlukan untuk membawa mereka ke arah yang diinginkan. Ini kerana bukan mudah untuk berhadapan dengan masyarakat luar, apatah lagi untuk berdakwah.
Imam Muda bukan rancangan seperti Hal Ehwal Perdana bahkan jauh sekali dengan rancangan realiti hiburan, Akademi Fantasia. Imam Muda, siri pencarian televisyen yang memberi kelainan dalam dunia penyiaran.
Kalau dilihat realiti hiburan lain, peserta meraih undian melalui juri awam, profesional dan SMS. Tetapi, Imam Muda hanya dinilai oleh juri-juri profesional kerana untuk memilih imam muda terunggul bukan sesuatu yang mudah.
Ketika ditanya mengenai pandangannya, Mohd Hassan dari peserta Imam Muda dari Perak berkata, rancangan ini memberi pengalaman baru untuk membentuk seorang imam yang versatil.
Peserta dari Sabah, Ali Khairuddin pula berkata, sebaik sahaja terpilih menyertai Iman Muda, dia telah menyimpan visi dan misi yang perlu disampaikan kepada masyarakat.
“Saya mahu berdakwah dan mengajar selok-belok agama kepada remaja masa kini,” katanya.
Seorang lagi peserta, Abdul Fattah memberitahu Imam Muda sangat berbeza dengan program realiti lain kerana lebih bersifat adil.
“Jadi, ini memberi cabaran kepada saya kerana pendekatan untuk berdakwah ada tahap tersendiri seperti dakwah kepada kanak-kanak ada caranya sendiri berbanding kepada remaja.
“Saya juga dapat menambah ilmu pengetahuan dan mendidik saya supaya memberi tunjuk ajar bukan kerana saya bertanding tetapi ilmu untuk kehidupan,” ujarnya.
Jawapan setiap peserta sendiri jelas menunjukkan mereka menyertai Imam Muda kerana mahu berbakti kepada masyarakat. Berkongsi, mendekati rapat dan berkomunikasi dengan pendekatan sesuai mampu menarik minat golongan muda mendekati agama.
Secara tidak langsung, mereka akan menukar persepsi terhadap imam.
Pemerhatian menunjukkan peserta Imam Muda tidak bertanding semata-mata di atas pentas, tetapi berusaha memahami kehidupan masyarakat.
Peserta Imam Muda telah dinilai melalui keperibadian mulia mereka dengan mendekati sendiri masyarakat yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Pada minggu kedua siri pencarian, peserta dibawa tinggal dengan keluarga yang serba kekurangan.
Penulis kreatif bahagian segmen Melayu, Mohd Najib Mohd Amin berkata, Imam Muda menguji peserta dengan apa yang dikatakan sebagai perjalanan kehidupan yang bermula dari kelahiran hingga kematian.
Sebahagian daripada latihan praktikal, para peserta juga dibawa untuk bersama keluarga angkat di beberapa kawasan di ibu negara.
Para peserta perlu tinggal dalam keadaan yang agak sempit dengan ahli keluarga yang ramai. Mereka adalah keluarga yang dipilih oleh Baitulmal di Kondo Rakyat, Pantai Dalam.
Cabaran demi cabaran yang terpaksa dilalui peserta Imam muda untuk menjadi Imam Muda terunggul. Akan ada yang tersingkir dan akan ada yang terus kekal meneruskan perjuangan di pentas sehingga berakhirnya program Imam Muda musim kedua.
Namun, menang kalah bukan soal penting kerana itu sudah menjadi adat pertandingan. Perjuangan berdakwah tetap diteruskan untuk membantu masyarakat khusunya golongan muda menjadi yang terbaik dalam kehidupan di samping berjaya menukar persepsi golongan muda takutkan ‘imam’ dan ‘ustaz’.
Bagaimana dengan pandangan penonton program ini?
Menceritakan penilaian mereka, pelakon dan pengacara Fahrin Ahmad berkata, siri pencarian Imam Muda ada tarikannya tersendiri kerana memberi inovasi baru dalam industri penyiaran.
“Imam Muda lebih menyeluruh merangkumi setiap aspek dalam kehidupan apatah lagi disampaikan oleh golongan muda sendiri.
“Rancangan realiti lain yang melibatkan hiburan semata-mata peroleh undian daripada penonton manakala Imam Muda tidak melibatkan undian secara SMS,” katanya sambil menambah, “setiap pemberian markah secara total oleh juri berpengalaman untuk lebih bersikap adil terhadap semua peserta.”
Faziah Ahmad Yassin, 45, yang telah mengikuti Imam Muda berpendapat bahawa beliau tertarik dengan Imam Muda kerana ia bantu masyarakat dekatkan diri dengan keagamaan. - TMI
No comments:
Post a Comment