May 27, 201126 MEI — Gelombang perasaan, nurani, dan kesedaran rakyat Malaysia saat ini terlarut dalam duka, kepedihan dan keprihatinan mendalam akibat tanah runtuh yang melanda rumah anak yatim di Hulu Langat.
Ini kerana kita mempunyai pengalaman yang sama daripada peristiwa runtuhan Highlands Tower dan bencana tsunami. Duka dan air mata itu tidak hanya dirasakan rakyat Malaysia tetapi juga sudah menjadi sebahagian suasana kegawatan yang dipaparkan melalui berbagai bentuk pencitraan media.
Citra dari mayat-mayat yang mati tertimbus, ibu-ibu yang kepiluan, anak-anak yang panik, orang tua yang putus asa, anak-anak yang hilang, mayat bertindih, tubuh-tubuh yang tersayat, jerit tangis yang menyayat hati, kenderaan yang bertaburan dan rumah yang hancur telah menjadi kepedihan seluruh rakyat Malaysia.
Lewat berbagai teknologi pencitraan jarak jauh, realiti kedukaan di Hulu Langat menjadi imagologi kesedihan dalam apa yang disebutkan Yasraf Amir Piliang, pakar semiotika dari Indonesia sebagai “the imagology of suffering”.
Berbagai media cetak, elektronik, dan digital telah menonjokkan berbagai realiti mala petaka ke dalam wujud kehadiran jarak jauh sehingga pengalaman kepedihan mangsa menjadi kepedihan kita.
Televisyen menayangkan Hulu Langat menangis, pejuang alam sekitar melantunkan suara kepiluannya, penyanyi melantunkan balada air mata, pengusaha menayangkan iklan duka, para pemimpin agama memimpin doa bersama dan sukarelawan membantu tanpa mengira keletihan dan wang.
Duka itu telah menjadi duka negara sebagai dijelaskan Yasraf sebagai “ the collective melancholy.”
Bencana Hulu Langat menciptakan ruang kesedaran bersama akan bahaya pembangunan lereng bukit dan struktur tanah yang lemah yang di dalamnya tiada lagi kebongkakan dan kesombongan individu, ego, agama, politik, dan kelas sosial. Semua larut dalam kebersamaan menghadapi duka, menyatu dalam kepedihan dan bersama mencari jalan keluar.
Citra-citra bencana (melalui televisyen, video amatur, Youtube, kamera dan telefon bimbit) telah menciptakan dekonstruksi ruang-waktu. Pelbagai realiti bencana melalui keupayaan teknologi perakaman mampu melintasi ruang waktu hadir dalam minda dan indera setiap individu yang walaupun berada dalam citraan tetapi dapat menyentak nurani setiap orang untuk berkongsi duka.
Ia menjadi citra bencana di layar skrin, telefon bimbit, dan internet; realiti kepedihan menjelma menjadi “imagology of suffering”, iaitu berbagai citra tentang bencana di media yang muncul dalam kemampatan ruang-waktu, yang mampu mengetuk pintu kesedaran dan perhatian manusia, meninggalkan jejak kepedihan mendalam sekaligus membangkitkan rasa kebersamaan di sebaliknya.
Paul Virilio dalam Open Sky (1999) menyatakan dalam era maklumat digital, berbagai realiti seharian termasuk mala petaka dan bencana dapat dirasai kehadirannya dalam bentuk stereo-realiti. Maksudnya “kecepatan elektronik” mampu menghadirkan citra mala petaka di Malaysia, Singapura, Indonesia, Sri Lanka, India, dan Thailand dalam masa sebenar secara bersama.
Citraan elektronik atau digital dan kandungan maklumat di dalamnya dengan kecepatan tinggi dan kapasiti besar “mendatangi” manusia melalui proses peledakan maklumat ke dalam kerana semakin mudahnya capaian ke pelbagai gerbang maklumat melalui berbagai media.
Oleh itu geografi mala petaka kini mampu dihadirkan dalam bentuk “geografi citra mala petaka”.
Citra-citra tentang realiti mala petaka kini tidak hanya dapat dirakam tetapi juga dengan pantasnya dapat disebarluaskan melalui jaringan sehingga realiti itu berpindah dengan cepat seperti lalu lintas trafik yang sibuk, yang berupaya menciptakan semacam kejutan maklumat secara spontan atau berjadual serta meluaskan kesan-kesan psikologi seperti kesedihan, kepiluan dan kepanikan menjadi bersifat massa.
Namun, Virilio dalam The Lost Dimension mengatakan bahwa ledakan maklumat (hiburan, MTV) akan membawa manusia ke dalam keadaan kehilangan dimensi perenungan, spiritual dan akal sihat - tetapi citra mala petaka Jepun dan kesedaran mengenai bahaya penggunaan tenaga nuklear akan mengembalikan kembali haluan perenungan hakikat dan spiritual yang selama ini hancur diterpa keganasan (citra-citra) politik, ekonomi, gaya hidup kepenggunaan yang tanpa rasa malu dan nurani.
Citra mala petaka Jepun dan ancaman radiasi radioaktif menjadikan setiap orang mengenali kembali wajah Tuhan yang sebelumnya samar-samar, pudar, luntur ditelan banaliti gaya hidup kepenggunaan dan absurditi politik.
Mala petaka ini seakan suatu kejutan untuk menyedarkan manusia bahawa ada dimensi kedalaman hakikat, kerohanian kemanusiaan di balik banaliti politik, ekonomi dalam kehidupan seharian.
Tida keterlaluan jika dikatakan bencana Hulu Langat mampu mengajak setiap orang kembali menjadi “ahli kerohanian seharian” dan ahli falsafah kehidupan yang dalam setiap kesempatan mencuba menafsirkan banaliti kehidupan sehariannya secara berperingkat mencari makna hakikat paling mendalam bahawa terdapat pengajaran di sebalik mala petaka ini dan ia berkait dengan keberadaan manusia, bahawa ada “Yang Maha Kuasa” di sebalik mala petaka.
Namun, watak manusia mudah hanyut dalam pelupaan hakikat. mala petaka dahsyat menyentak kesedaran kemanusiaan, penyatuan, hakikat dan ketuhanan. Seiring berlalunya waktu, manusia kembali hanyut dalam banaliti seharian dan melupakan hikmah perenungannya.
Pembangunan di lereng bukit kembali seperti biasa. Tiada usaha mengurangkan malah pencapaian dan kejayaan dalam membendungnya menjadi inspirasi dan semangat untuk dicontohi modelnya dan membangunkan lebih banyak loji baru dengan lebih tersusun lagi.
Apabila ini terjadi mala petaka tidak dapat memberi makna. Menurut Yasraf lagi terdapat dua dimensi pelupaan. Pertama, pelupaan vertikal, iaitu pelupaan yang bersifat hakikat-spiritual. Dengan berlalunya waktu, kerohanian seharian yang disedarkan oleh mala petaka (seperti Fukushima, Aceh, Nias, Gunung Merati, banjir di Johor, Pulau Pinang dan Kedah) akan berlalu dan meredup. Setelah itu, orang kembali ke banaliti seharian: kembali rasuah, konflik, pepecahan, saling curang dan membunuh dan hidup mewah. Penyatuan sosial yang dibangun akibat mapaletaka Fukushima sekadar penyatuan dan kesedaran sementara.
Kedua, pelupaan horizontal iaitu pelupaan yang bersifat sosial-teknologi. Setelah mala petaka hampir setiap orang mengingatkan mengapa tidak ada peringatan sebelum ini, mengapa tidak dibangun teknologi mesra alam dan antinuklear, mengapa tidak ada sistem pembendungan alam semuja jadi dan mengapa itu dan ini.
Namun dengan berlalunya waktu, segala peringatan turut berlalu. Tiada ada tindakan, tiada ada penelitian dan tiada peruntukan dana.
Jika dibangun teknologi tenaga angin atau tenaga mesra alam, ia akan sengaja dilewatkan seolah-olah terdapat halangan dana dan berbagai kerenah dan alasan.
* Penulis adalah ketua program kewartawanan Fakulti Komunikasi dan Media, Universiti Selangor.
* This is the personal opinion of the writer. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified