December 23, 2010KUALA LUMPUR, 23 Dis - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa pentadbiran Najib telah mengenakan tekanan ke atas firma perhubungan awam APCO Worldwide agar menafikan pembabitannya dalam kempen One Israel bekas perdana menteri Ehud Barak.
Malah komponen Pakatan Rakyat itu juga mempersoalkan kesahihan “bukti” yang ditunjukkan oleh Datuk Seri Nazri Aziz (gambar) semalam - dua dokumen penafian daripada APCO dan konsultan politik Amerika berhubung dakwaan pembabitan mereka dalam kempen One Israel.
Kedua-dua dokumen itu menafikan dakwaan bahawa APCO ada hubungan dengan One Israel, yang didakwa mirip gagasan 1 Malaysia, yang dibawa Datuk Seri Najib Razak. Barak memperkenalkan kempen One Israel 11 tahun lalu.
“Bukankah tidak mustahil bagi kerajaan (Malaysia) untuk mendapatkan APCO, yang dibayar (fi) RM77 juta, datang dengan penafian yang ia terlibat dalam kempen One Israel. Dan, mengapa lambat (keluarkan) respons?
“Anwar telah membawa isu APCO-One Israel sejak bulan Mac (lalu). Sudah lapan bulan. (Tempoh) lapan bulan masa yang terlalu lama, digunakan untuk menjawab dakwaan dibawa Anwar.
“Jika soal menyangkal dakwaan kaitan pentadbiran Najib dengan One Israel sesuatu yang perlu disegerakan, mengapa tunggu sehingga Disember untuk mendapatkan surat Robert Shrum?” kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Dalam responsnya, Saifuddin berkata, Nazri sewajarnya telah membentangkan bukti baru itu ketika sesi Parlimen yang berakhir minggu lalu, bukannya diedarkan menerusi media semalam.
Sesi Dewan Rakyat berakhir Khamis lalu, pada hari Anwar dan tiga ahli Parlimen Pakatan yang lain turut dikenakan hukuman penggantungan enam bulan.
“Cabaran Nazri kepada Anwar kini sudah jadi akademik. Saya tidak melihat apa-apa poin. Anwar sudah pun digantung daripada Parlimen,” katanya lagi.
“Saya cabar Nazri, daripada mencabar Anwar, tunjukkan dokumen-dokumen itu di Parlimen,” kata beliau lagi.
Malah Ahli Parlimen Machang ini juga menafikan dakwaan Nazri bahawa Anwar telah diberi peluang untuk mempertahankan dirinya. Sebaliknya menurut beliau, Anwar telah dinafikan hak untuk berbuat demikian.
“Benar, Anwar telah dibenar untuk membela diri, tetapi itu hanya di peringkat awal sebelum Nazri membawa usul untuk menggantung Anwar.
“Apa yang perlu ditekankan ialah beliau tidak pernah diberikan peluang untuk mempertahankan dirinya di hadapan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan,” katanya lagi.
“Jika Nazri serius mengenai soal ini, beliau seharusnya telah membentangkan bukti ini kepada jawatankuasa dan biarkan Anwar juga membuktikannya.
“Tetapi perkara ini tidak berlaku, adakah ia berlaku? Anwar ada bukti, percaya saya. Beliau menunggu sejak hari pertama untuk menunjukkan bukti itu,” kata Saifuddin.
Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen beliau.
Semalam Nazri dipetik sebagai berkata, kandungan surat yang dihantar oleh firma APCO Wolrdwide kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen dijadikan asas untuk menggantung Anwar daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan.
Katanya, dalam surat bertarikh 19 Ogos itu, firma berkenaan dengan jelas menafikan pembabitannya dalam mencipta slogan 1 Malaysia, sekali gus menafikan kenyataan Anwar yang mengaitkan slogan itu dengan firma berkenaan.
“Jadi jelaslah Anwar telah menipu di dalam Dewan, dan inilah bukti yang terpenting sekali untuk membuktikan Anwar menipu,” katanya.
Beliau mengulas mengenai penggantungan Anwar, yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan kerana memberi keterangan tidak benar kepada Dewan kerana mengaitkan konsep 1 Malaysia dengan “One Israel”.
Nazri berkata beliau menerima akuan bersumpah daripada Shrum, seorang warga negara Amerika Syarikat yang merupakan pakar strategi dan perunding dalam banyak kempen politik di pelbagai peringkat termasuk sebagai penasihat kanan pada 1999 dalam kempen Barak.
Nazri berkata, dalam akuan bersumpah itu, Shrum yang terlibat dalam kempen One Israel pada masa itu, menafikan penglibatan APCO sekali gus mengukuhkan lagi penafian firma berkenaan dalam suratnya itu mengenai sebarang pembabitan dalam kempen “One Israel”.
Nazri juga menafikan dakwaan kononnya Anwar tidak diberi hak untuk membela diri dan mengemukakan bukti bagi menyokong kenyataannya yang mengaitkan konsep 1 Malaysia dengan One Israel.
Katanya Anwar telah beberapa kali diberi peluang itu sejak beliau mengeluarkan kenyataan berkenaan pada persidangan Dewan
Rakyat pada Mac lepas, namun tidak menggunakan kesempatan itu, sebaliknya terus mengaitkan konsep 1 Malaysia dengan One Israel.
“Dia diberi hak untuk membela diri pada 22 April lalu iaitu hari yang saya bentang usul untuk merujuk dia ke jawatankuasa, sebelum kita mahu luluskan usul itu dia telah diberi hak untuk bela diri.
“Sebelum itu pun pada 17 Mac selepas dia buat kenyataan itu kita bagi dia seminggu untuk membela diri dan menarik balik kenyataan dia tapi dia pilih untuk serang kita lagi tanpa beri bukti-bukti,” katanya
No comments:
Post a Comment