Showing posts with label politik. Show all posts
Showing posts with label politik. Show all posts

Thursday, March 10, 2011

KEADILAN gesa LHDN siasat kewangan Gobala


Dari Harakah

PKR menggesa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyiasat kewangan ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan yang didakwa mampu membayar segala hutangnya secara tiba-tiba.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail yang merujuk kepada Gobalakrishnan yang bertindak keluar PKR Januari lalu mempersoal keupayaan kewangannya selepas keluar parti, sedangkan beliau sebelum ini diketahui mempunyai masalah kewangan.

Menurut Saifuddin yang juga ahli Parlimen Machang, Gobalakrishnan secara tiba-tiba dapat menjelaskan bayaran pajakan tanah di antara syarikat miliknya, Embun Megah Sdn Bhd beralamat 1525, Kulim Height 3, Kulim Golf and Country Resort, Kedah dengan Kumpulan Pertanian KElantan Bhd bernilai RM1,401,250,00.

Katanya, bayaran cek Hong Leong Bank masing-masing bernilai RM700,000 bertarikh 12 Januari 2011 dan RM701,250 bertarikh 15 Mac 2011 jelas menunjukkan kemampuan kewangan Gobalakrishnan yang secara berterusan menyerang PKR.

“PKR menggesa Lembaga hasil Dalam Negeri memulakan tugas ‘bertanya khabar’ keupayaan kewangan beliau yang membolehkan bayaran berjuta ringgit dibuat terhadap urusniaga ini. Dari mana sumbernya? Siapa yang ‘bermurah hati’ menolong? Urusniaga apa yang dilakukan beliau yang memungkinkan wang sebanyak ini diperoleh?

“Januari dan Mac 2011 adalah kemuncak tempoh serangan, kecaman dan fitnah ahli Parlimen Padang Serai terhadap PKR. Ketika ini jugalah beliau secara tidak semena-mena mampu membayar RM1,401,250 untuk bayaran tanah ini,” kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Gobalakrishnan pernah menjual rumahnya sendiri, kedai kek isterinya terpaksa ditutup dan kesukaran menjelaskan pelbagai bil-bil lain.

Beliau tabah dan sabar menghadapi situasi itu sehingga memenangi kerusi Padang Serai dengan tiket PKR.
Namun dakwa Saifuddin, Gobalakrishnan mula berubah apabila tiga tahun bersama PKR akibat masalah kewangan dan beliau mua tidak berpuas hati akibat tidak dilantik menduduki jawatan dalam anak-anak syarikat kerajaan negeri yang difikirkan menjanjikan pulangan lumayan.

PKR tegasnya mengulangi pendirian bahawa pengkhianatan keluar parti sejumlah ahli-ahli Parlimen PKR didorong habuan lumayan yang tidak mungkin diperoleh mereka jika kekal dalam PKR.

“Kerana dorongan inilah ramai tewas. Ralatnya mereka mencipta alasan-alasan yang tidak masuk akal untuk menjustifikasikan tindakan khianat mereka.

“Persoalannya ialah jika ahli Parlimen Padang Serai mampu menjelaskan bayaran tanah RM1.4 juta dalam masa tiga bulan, berapa agaknya habuan yang beliau terima sebagai harga pengkhianatan ini?

“Dan kalau ‘nilai’ ahli Parlimen Padang Serai sejumlah tersebut, berapa pula habuan yang diterima oleh ahli-ahli parlimen Wangsa Maju, Bagan Serai, Kulim Bandar Baharu, Bayan Baru dan Nibong Tebal, ‘rakyat hakim terbaik’,” katanya.

Sementara itu, ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam terkejut dengan kemampuan Gobalakrishnan membayar hutangnya dan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara itu.

“Saya terkejut dengan kemampuan Gobala. Saya yakin semua yang keluar parti itu dibeli dan seharusnya SPRM menyiasat bagaimana mereka ini boleh menjadi senang secara tiba-tiba,” katanya

Thursday, December 16, 2010

"Saya masih Presiden AKIM" - Hanafi

KUALA LUMPU 15 Desimber - Hanafi Hamat tetap menganggap dirinya sebagai presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) yang sah walaupun ada pihak lain mendakwa diri mereka presiden AKIM.

Sebelum ini Bernama melaporkan Pengarah ROS Kelantan, Wan Rahimah Wan Hamat mengesahkan Hanapi kekal menjadi presiden parti AKIM berikutan kemelut perebutan pihak lain terhadap jawatan itu sehingga menjejaskan penubuhan parti berkenaan.

Sehubungan itu, Hanafi (kanan) berkata beliau tidak mengiktiraf atau bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk penukaran nama baru bagi parti itu iaitu Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), seperti yang diputuskan dalam mesyuarat penubuhannya, di Kuala Lumpur hari ini.

AKIM merupakan sebuah parti politik yang ditubuhkan lebih 15 tahun lalu mempunyai prinsip perjuangannya yang tersendiri untuk menyatupadukan umat Islam di seluruh negara, katanya kepada Bernama di sini.

Hanafi mengulas laporan sebuah portal berita mengenai bekas pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim yang dilaporkan menerajui parti KITA yang ditukarkan namanya daripada AKIM dalam satu sidang akhbar selepas mesyuarat agung tahunan Akim di Kuala Lumpur.

Zaid (kiri), yang juga bekas ahli Parlimen Kota Bharu, juga dilaporkan sebagai berkata parti baru yang diterajuinya itu tidak akan menyertai pakatan
pembangkang.

Hanafi berkata mereka yang cuba menukar nama parti itu kepada nama baru, seolah-olah mencabul hak AKIM sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam.

“Ini sebagaimana terkandung dalam perlembagaan yang diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS). Mereka yang cuba menghidupkan AKIM dengan nama lain, seolah-olah melelong parti itu kepada pihak lain untuk kepentingan peribadi mereka,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak bertanggungjawab dengan tindak tanduk segelintir anggota AKIM yang terlibat dengan penubuhan parti KITA, bagi menggantikan nama asal AKIM serta berniat untuk menggulingkannya.

- Bernama

Tuesday, November 30, 2010

Khairy Jamaluddin selepas tsunami

November 30, 2010 — Khairy Jamaluddin suatu ketika boleh dikatakan antara orang yang paling dibenci dan dimusuhi dalam arena politik Malaysia. Dilihat sebagai anak menantu kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi Perdana Menteri Malaysia ke 5, Khairy menjadi sasaran utama pihak pembangkang yang mengambarkan bahawa dia merupakan individu yang mempengaruhi hampir kesemua keputusan kerajaan. Tidak cukup dengan itu Khairy juga mendapat tentangan sengit dari dalam Umno apabila persepsi umum ahli parti menganggap Khairy sebagai salah satu faktor utama kekalahan teruk Barisan Nasional pada pilihanraya umum yang ke 12.

Penulis diminta oleh penyunting untuk menulis sebuah analisis tentang perubahan suasana politik semenjak berlakunya tsunami 2008. Namun kali ini, sedikit luar dari kebiasaan, saya ingin melihat kembali dan merencana perjalanan ahli politik muda yang sering mendapat perhatian. Setelah dipukul teruk oleh gelombang perubahan politik tanah air kemana telah dia tuju dan berada sekarang. Inilah kisah perjalanan saudara Khairy Jamaluddin selepas tsunami dari sudut pandangan penulis.

Pemilihan Ketua Pemuda Umno

Ketika itu Pak Lah sudah mengumumkan bahawa dia tidak akan mempertahankan jawatanya di dalam Umno. Ramai menjangkakan yang ini menandakan tamatnya perjalanan politik Khairy Jamaluddin yang dilihat bergantung kepada bapa mertuanya. Namun, luar dari jangkaan dia telah memenangi dalam pertandingan tiga penjuru merebut jawatan Ketua Pemuda Umno. Keputusan pemilihan yang dianggap sebagai kontroversi sehingga Khairy Jamaluddin di herdik ketika namanya diumumkan dalam mesyuarat pehimpunan agung Umno sejurus selepas pemilihan sayap pemuda. Malah dilihat Khairy akan menghadapi masaalah memimpin sayap pemuda apabila jumlah undi yang diterimanya adalah kurang dari separuh dari jumlah keseluruhan perwakilan, bermakna majoriti pada ketika itu tidak menyokong beliau.

Berhadapan dengan masaalah percakaran dan perpecahan dalam Pemuda Umno setelah tamat pemilihan, Khairy juga terpaksa menghadapi soal persepsi umum apabila nama beliau tidak disenaraikan dalam kabinet manakala timbalan beliau Razali Ibrahim dan saingan dalam pemilihan Mukhriz Mahathir dilantik menjadi timbalan menteri. Berhadapan dengan pelbagai halangan dan tentangan dari dalam dan luar parti, ramai yang mula mempersoalkan tentang masa depan politik Khairy dan juga Pemuda Umno sendiri.

Selangkah demi selangkah

Walaupun pada awalnya nampak seolah semuanya telah berakhir bagi graduan dari Oxford ini, namun sedikit demi sedikit persepsi dan pandangan terhadap beliau ini berubah. Titik permulaan perubahan adalah apabila Khairy Jamaluddin telah pergi berdepan dengan Naib Presiden PAS ketika itu, Datuk Husam Musa di Balai Islam Kota Baru. Dikelilingi dengan ribuan penyokong tegar PAS dan tajuk perdebatan yang langsung tidak menyebelahi Umno Khairy telah berjaya mematahkan banyak hujah Husam Musa dan memerangkap Husam dengan beberapa kenyataanya yang boleh dikatakan memakan diri. Malah ada yang beranggap bahawa antara faktor kegagalan Husam merebut jawatan timbalan presiden PAS adalah kerana beberapa kenyataan yang dikeluarkan beliau dalam perdebatan ini.

Penulis adalah ahli Pemuda Umno bahagian Gombak. Ketika waktu pemilihan jangan dikatakan undi malah cadangan pencalonan pun tidak ada seorang berani mencadangkan nama Khairy. Akan tetapi selang beberapa minggu selepas perdebatan di Kota Bahru dihebohkan, timbul kenyataan yang dikeluarkan oleh salah seorang pemimpin tempatan yang menyatakan,

“Ye lah, kalau nak diikutkan aku pun tak berapa nak suka dengan KJ, tapi kalau suruh aku pilihlah siapa nak pergi jumpa debat dengan pembangkang, antara Mukhriz, Khir Toyo dengan KJ, aku pilih KJ.”

Dari disitu penulis dapat melihat perubahan pandangan akar umbi sudah bermula, malah dengan mengambil pendekatan yang lebih merendah diri seperti terbang menaiki kelas ekonomi, atau sama-sama turun padang bermain bola bersama pemuda kampung, berani dan selalu berhadapan dengan perbincangan dan forum dilihat watak dari Menantu Pak Lah sudah mula terhakis dan Khairy sebagai seorang pemimpin sudah mula muncul. Penulis menganggap penglibatan Khairy dalam filem pendek “Teksi” untuk siri 15 Malaysia merupakan salah satu faktor yang memerikan kesan yang sangat ketara dalam perubahan persepsi terhadap beliau terutama di kalangan anak muda. Boleh dikatakan sebagai sesuatu yang baik apabila Khairy tidak dilantik sebagai seorang menteri kabinet kerana tumpuan yang lebih diberikan dalam memperkukuhkan kembali sokongan Pemuda terhadapa Umno dan BN.

Penyatuan Pemuda Umno

Selepas pemilihan umum diketahui Pemuda Umno berpecah kepada tiga, malah dari segi kepimpinan exco pemuda, tidak ada mana-mana satu kem sekalipun yang berjaya menguasai barisan kepimpinan. Pada awalnya perpecahan ini memang jelas ketara, apabila sesetengah exco dan ketua pemuda bahagian memboikot acara tertentu kerana ianya dianjurkan oleh orang-orang tertentu.

Namun Umno mempunyai budaya pragmatiknya sendiri. Sebagaimana gambar Anwar Ibrahim masih lagi tergantung di ibu pejabat Pemuda Umno sebagai mantan Ketua Pemuda, sebagai itulah semangat “pragmatism” Umno itu sendiri. Hakikatnya adalah umur Mukhriz dan Khir Toyo telah melepasi had untuk bertanding semula jawatan Ketua Pemuda Umno dalam penggal berikutnya, atau dilihat sebagai tidak lagi sesuai oleh itu tidak timbul soal untuk kumpulan tertentu untuk mencabar kedudukan semula. Ditambah semula dengan cabaran dan tentangan yang dihadapi dengan kekalahan di 5 buah negeri melihat bahawa majoriti pemuda sudah penat untuk berperang sesama sendiri dan lebih berminat dalam bersatu untuk mendapatkan kembali tampuk pemerintahan di negeri-negeri yang telah tewas.

Ini dapat dilihat dengan jelas dalam beberapa siri kempen pilihanraya kecil bermula dengan Manik Urai dan Bagan Pinang apabila kerjasama antara kepimpinan Pemuda mempengaruhi kemenangan di kesemua saluran undi muda. Malah dapat kita lihat dari segi rombakan jawatan exco pemuda Umno bagi menghadapi suasana politik baru mula menampakan hasil terutama dari segi penceramahan dan propaganda di alam maya. Dapat kita melihat pemimpin-pemimpin pemuda yang dahulunya mati-mati menentang Khairy kini sudah mula berkerjasama dengan Khairy atas kedudukan beliau sebagai Ketua Pemuda.

Perkasa

Nampak seolah penentang utama Khairy bukan dari dalam Umno mahupun dari Pakatan Rakyat akan tetapi dari sebuah NGO iaitu Perkasa. Pergeseran terbuka antara pengerusi Perkasa Ibrahim Ali dan Khairy dalam media massa menggusarkan segelintir akar umbi dalam Umno yang menyokong sesetengah pendirian Perkasa. Namun sekiranya dilihat secara halus sebenarnya pertembungan dan pebezaan pendapat antara kedua-dua pihak ini member manafaat kepada kedua-dua belah pihak. Pertamanya Umno yang membuktikan kepada parti komponen yang ianya teguh bersama Barisan Nasional manakala Perkasa membuktikan bahawa ianya sememangnya sebuah NGO yang tidak mempunyai sebarang ikatan.

Ada yang mengatakan bahawa Khairy mungkin kehilangan sokongan dalam Pemuda atas pertembungan ini namun penulis bependapat bahawa perkara itu tidak semestnya belaku. Kerana sering berlaku pendirian paradoks dalam politik Umno dan politik Melayu. Jangan terkejut sekiranya seorang pemuda, yang menyokong pendirian Perkasa boleh pada masa yang sama mengundi Khairy Jamaluddin. Pendirian beliau dalam mempertahankan beberapa isu Melayu seperti diskaun Bumiputera membuatkan hasrat penentangan terus dari akar umbi Umno sebagaimana yang diharapkan sesetengah pihak tertentu tidak berlaku.

Kesimpulan

Untuk mengatakan Khairy sudah bejaya membebaskan dirinya dari persepsi dan belenggu pandangan sejarah adalah meleset sama sekali. Sehingga hari ini masih giat gerakan dari dalam dan luar Umno itu sendiri yang menentang kedudukannya sebagai Ketua Pemuda, ini jelas dapat dilihat dalam kempen di internet melobi untuk dia tidak dilantik menjadi menteri kabinet. Walaupun semakin ramai pemimpin pemuda yang sudah mula berkerjasama dengan beliau namun masih ramai yang gusar dilihat secara terus takut-takut dilabel dan diserang sekali kerana masuk kedalam kem Khairy. Malah penulis sendiri mungkin akan dilabel mahupun dikritik oleh kerana menulis mengenai Khairy. Namun suka atau tidak, kita perlu mengakui bahawa pandangan dan perspektif terhadap Khairy Jamaluddin adalah bebeza sekarang berbanding dahulu. Rata-rata akar umbi pemuda Umno merasakan penat dan bosan dengan peperangan dalaman, dari segi jentera pemuda sehinggalah ke exco-exco ebih berminat dalam menentang Pakatan Rakyat dari Ketua Pemuda Umno.

Dahulu mungkin boleh dikatakan yang kedudukan yang terdapat pada Khairy adalah ehsan dan bantuan dari bapa mertuanya namun tidak kali ini. Penulis secara peribadinya tidak pasti apa yang akan berlaku atau kemana akan Khairy pergi selepas ini, samaada terus kehadapan atau jatuh tersungkur dalam permainan politik. Namun apa yang pasti, apa yang telah berlaku semenjak pemilihan tempoh hari dan apa yang akan berlaku selepas ini adalah atas usaha dan bakat beliau sendiri. Suka atau tidak, sokong atau tentang, itu adalah pandangan dan pendirian peribadi, tapi anggaplah begini, bukan senang untuk mengorak langkah dari seseorang yang menjadi antara sasaran paling utama kepada di mana dia berada sekarang. Itu kita kena akui - TMI

Ketuanan Islam : Alternatif yang enggan difikirkan?

oleh Nasrudin Hassan
1. Seusai Kongres PKR , kini UMNO dan BN seperti mendapat peluru tembaga untuk dibidik tepat ke jantung PKR khasnya dan Pakatan Rakyat amnya. Biadab , kurang ajar , khianat , pelacur politik dan 1001 kata - kata kesat dihamburkan ekoran kenyataan dari presiden PKR Datin Seri Wan Azizah binti Dato' Wan Ismail .

2. Saya tidak sempat menghadhiri Kongres PKR kerana menerima undangan saat akhir sedang saya telah mempunyai komitmen untuk menghadhiri Hari keluarga DPP Malaysia di Pulau Pangkor . Walau bagaimana pun saya mengikuti perkembangan dan berita mengenainya . Terlebih dahulu saya ucapkan syabas kepada PKR dan AMK yang telah selesai berkongres semoga PKR dan AMK semakin utuh dan mantap selepas ini mendepani cabaran dan halangan perjuangan yang sukar ini .

3. Tidak puas - puas UMNO dan BN membelasah PKR . Sebelum dan selepas kongres , ada sahaja peluru baru yang dilepaskan oleh pelbagai agensi mereka untuk membunuh PKR dan sekaligus dilihat sebagai percubaan untuk melemahkan Pakatan rakyat. Terkini isu Ketuanan Melayu menjadi turning point UMNO dan BN untuk memperbaharui serangan ke atas Pakatan Rakyat .

4. Wartawan pula bertalli arus menghubungi saya untuk mendapatkan pandangan mengenai kenyataan tersebut dan saya tegaskan atas 3 point penting :

A. ] Sejak merdeka sehingga kini sudah lebih 50 tahun , Melayu belum menjadi tuan .

UMNO dan BN awal - awal lagi sebenarnya tidak layak pun hendak bercakap soal Ketuanan Melayu , apalagi bersilat untuk mempertahankannya . Keris panjang tidak bersarung milik UMNO selama ini tidak ubah seperti keris sisip di pinggang sang pengantin . Bukan sahaja tidak berfungsi malah sedikit pun tidak menambah keberanian sang pengantin selain hanya menurut sahaja apa yang disuruh . Disuruh bangun mereka bangun , disuruh duduk mereka duduk , disuruh senyum mereka senyum , disuruh suap mereka suap , disuruh makan mereka makan , disuruh basuh periuk belanga mereka basuh. Menurut saja apa yang disuruh walau keris tersisip dipinggang , bersampin dan bertanjak .

Sepanjang tempoh 50 tahun lebih inilah , menyaksikan melayu hilang maruah , hilang jati diri , hilang tanah , hilang kuasa , hilang upaya ekonomi dan hilang kehebatan . Malah fenomena ini diakui sendiri oleh pemimpin UMNO dan BN apabila sehari dua ini mereka selalu bertanya kemanakah hilangnya kuasa politik orang melayu ? . Walaupun soalan itu seperti mahu menyalahkan Pakatan Rakyat tetapi rakyat umumnya mengetahui bahawa Pakatan Rakyat belum sepenggal mengurus pemerintahan beberapa buah negeri yang dimandatkan oleh rakyat , sementara Kerajaan Persekutuan masih berada di bawah pemerintahan UMNO dan BN malah berkuasa penuh sejak lebih 50 tahun yang lalu . Pertanyaan itu seperti UMNO meludah ke langit dan akhirnya menimpa muka sendiri .

B. ] Tidak salah perjuangkan bangsa dan pertahankannya sebagaimana yang telah termaktub di dalam perlembagaan .

Melalui perlembagaan Malaysia yang sedia ada telah dimaktubkan hak keistemewaan orang melayu . Saya tidak prejudis mengenainya bahkan mempertahankan hak bangsa dan berbangga dengan bangsa kita melayu juga adalah adalah suatu yang tidak bertentangan dengan Islam . Sebagaimana nabi saw sendiri berbangga sebagai bangsa Arab Quraisy .Terutama majoriti penduduk negara ini ialah melayu dan mereka pula rata - ratanya masih perlu pembelaan kerana taraf hidup yang rendah angkara amalan kronisme dan dasar ekonomi yang korup oleh kerajaan UMNO dan BN sejak 53 tahun yang lalu .

[ Lantaran selama ini hanya segelintir melayu yang kaya raya dan harta negara berlegar dari kalangan pembesar dan kroni mereka. ]

Memperjuang dan mempertahankan hak bangsa yang saya maksudkan tidaklah menjadikan bangsa kita tuan dan bangsa lain pula hamba . Pertahankan hak bangsa kita malah berbangga menjadi bangsa melayu adalah suatu yang positif dan wajar namun jangan sekali - kali kita menzalimi bangsa lain serta tidak berlaku adil terhadap bangsa lain sekalipun berbeda agama justeru inilah yang dilarang.

C. ] Saya mencadangkan Ketuanan Islam menggantikan Ketuanan Melayu tajaan UMNO dan BN .

Justeru Islam adalah agama Allah tuhan yang mencipta manusia dan seluruh alam ini. Allah swt , tuhan yang namanya mahu digunakan oleh seluruh agama samawi dalam negara kita . Islam pula bukan hak orang melayu sahaja , bahkan bangsa India dan China jauh lebih awal menerima Islam . Islam adalah agama yang adil untuk semua .

Islam dirujuk kepada kitab suci al Quranul Karim yang rata - rata pemimpin Pakatan Rakyat termasuk non muslim mula memetiknya untuk berhujjah justeru ia satu pengiktirafan kepada kebenaran yang dibawa oleh Islam . Islam adalah satu agama yang lengkap merangkumi semua persoalan hidup termasuk perkara yang melibatkan hubungan sesama manusia seperti ekonomi , sosial , politik dan undang - undang , juga hubungan manusia dengan tuhan seperti ibadah .

5. Negara dan dunia serta seluruh isinya memerlukan Islam . Saya menegaskan demikian bukan bermakna Islam memaksa manusia menganutnya . Menerima bukan semestinya menganut Islam . Ahli zimmah [ non muslim yang tidak menentang Islam ] boleh menerima sistem dan dasar kepimpinan serta pemerintahan Islam sementara mereka kekal dengan agama dan kepercayaan mereka. Seperti kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menjadikan Khlaifah Umar bin Abdul Aziz sebagai idola dan contoh kepimpinannya , maka perlu difahami bahawa Khalifah umar bin Abdul Aziz menjadi hebat kerana Islam yang diyakininya - [Harakah Daily]