Showing posts with label anti najib. Show all posts
Showing posts with label anti najib. Show all posts

Tuesday, August 30, 2011

Populariti Najib merudum : Rais kata kajian tak berasas

Rais: Kajian Merdeka Center tak berasas, Najib diterima majoriti rakyat

PUTRAJAYA, 30 Ogos – Kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diterima majoriti rakyat di negara ini, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata kajian yang dijalankan oleh Jabatan Penerangan Malaysia mendapati kepimpinan Perdana Menteri amat kukuh di kalangan rakyat di negara ini terutamanya daripada segi penerimaan program pembelaan rakyat.

Sehubungan itu, beliau (gambar) menganggap laporan kajian Merdeka Centre yang mengatakan populariti Perdana Menteri semakin menurun sebagai tidak berasas.

“Mereka hanya mengambil beberapa sampel yang tidak menyentuh komuniti luar bandar, masyarakat India yang tidak menyeluruh, masyarakat yang berada di sekitar kuala Lumpur yang mempunyai sokongan kuat dan padu kepada Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Seri Perdana di sini hari ini.

Kajian terbaru Merdeka Centre mendakwa aliran populariti Najib terus mengalami penurunan daripada 72 peratus pada Mei 2010 kepada 69 peratus November lalu, 67 peratus pada Mac tahun ini dan seterusnya ke paras 65 peratus Mei lalu dan yang terbaru 59 peratus.

Bagaimanapun, kajian Jabatan Penerangan Malaysia yang melibatkan 50,000 responden yang terdiri daripada pelbagai masyarakat di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak mendapati mereka amat menerima kepimpinan Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional (BN) secara ikhlas.

Sehubungan itu, Rais dipetik Bernama Online, meragui kajian Merdeka Research Centre dan menasihatkan pusat penyelidikan itu mengambil pendekatan yang menyeluruh apabila membuat sesuatu kajian sepertimana yang dilakukan di beberapa negara barat.

“Saluran penyelidikan mereka adalah terhad dan bagi pihak yang tertentu. Jadi ia tidak berasas kepada kenyataan dan keadaan sebenarnya,” katanya.

Rais berkata peningkatan berganda bilangan orang ramai yang mengunjungi rumah terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri pada hari ini berbanding tahun lepas juga jelas menunjukkan keyakinan rakyat negara ini terhadap kepimpinan Najib sebagai pemimpin nombor satu negara. - TMI

Sunday, July 31, 2011

Hayat Najib sebagai PM bakal berakhir

Ismail Hashim / Harakah Daily

SHAH ALAM, 31 Julai: Perkembangan politik yang berlaku mutakhir menampakkan usia Najib sebagai Perdana Menteri dari BN bakal berakhir dalam masa terdekat.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, antara faktor paling ketara adalah bagaimana Najib dibiarkan menerima kesan negatif ekoran kegagalan beliau menangani isu Bersih 2.0 dengan baik.

Salahuddin menyatakan bacaan politik ini melalui ucapan dalam Majlis Ceramah Istiqbal Ramadhan di Markas PAS Seksyen 18, dekat sini malam tadi.

Pada sebelah siang, program menjual 500 batang lemang diketuai Ketua PAS cawangan, Haji Halim Omar telah berjaya mengisi dana Ramadhan sebanyak RM6000.

Menjelaskan isu Najib, Salahuddin berkata, amat malang sebagai seorang perdana menteri apabila beliau gagal menunjukkan sikap negarawannya berhubung isu demontrasi dan tuntutan Bersih.

Katanya, sewajarnya sebagai seorang perdana menteri, beliau boleh mengatasi isu ini dengan mudah sahaja kerana tuntutan Bersih hanya lapan sahaja, bukan lapan ratus atau lapan ribu.

Namun Najib mengambil sikap untuk berhadapan dengan rakyat sendiri menerusi cara keganasan seperti mana yang dirakamkan oleh berbagai media alternatif.

"Malah saya beranggapan isu tidak perlu tunaikan tuntutan Bersih ini sengaja dicipta oleh pihak dalaman Umno sendiri yang ingin menjatuhkan Najib sebagai perdana menteri kerana mereka sudah bosan dengan tingkah laku beliau mutakhir.

"Apatah lagi dengan sikap isteri beliau yang sangat berlawanan dengan apa yang ditunjukkan oleh semua isteri perdana menteri sebelum ini.

"Jika Muhyiddin pernah sebutkan agar Pak Lah berhenti sebagai perdana menteri dalam mesyuarat tertinggi Umno, tidak mustahil sekali lagi beliau akan berbuat demikian kepada Najib," tegas Salahuddin.

Menurutnya, terdapat banyak pihak di dalam Umno yang tidak berpuas hati dengan tingkah laku pasangan itu dalam membawa diri sebagai perdana menteri dan isteri.

Lebih-lebih lagi, bila munculnya isu cincin berharga RM24 juta, beg tangan RM1 juta dan sikap isterinya dalam membeli belah ketika di luar negara, meskipun diragui kebenarannya, tetapi ramai orang Umno yang tidak suka.

Meskipun perkara ini dinafikan oleh Najib, persoalan yang timbul sekarang, kenapa beliau terus melakukan lawatan ke negeri-negeri yang didahuluikan dengan membatalkan cuti di luar negara.

"Saya melihat ada sesuatu yang sedang dibimbangi Najib sehingga beliau terpaksa turun ke negeri-negeri sekarang bagi melihat dan memastikan tahap sokongan kepadanya kembali pulih.

"Jika beliau sendiri menghadapi masalah dalaman dalam parti sendiri, bagaimana mungkin beliau akan terus mampu menjadi seorang pemimpin negara yang baik dan berkesan," soal Salahuddin.