Showing posts with label Pakatan Rakyat. Show all posts
Showing posts with label Pakatan Rakyat. Show all posts

Tuesday, January 4, 2011

Isu SUK: BN Selangor tolak pindaan perlembagaan

Oleh G Manimaran January 04, 2011KUALA LUMPUR, 4 Jan –

Barisan Nasional (BN) Selangor menolak usaha kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang mahu meminda perlembagaan negeri berikutan isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri dengan mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri khas.

Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar (gambar) berkata, Undang-undang Tubuh Negeri Selangor tidak perlu dipinda kerana ia telah diamalkan sekian lama dan tidak timbul sebarang masalah kepada kerajaan terdahulu terhadap pelantikan pegawai tertinggi kerajaan negeri yang dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

“Apa yang berlaku sekarang adalah kerana kerajaan Pakatan Rakyat memainkan isu pelantikan Datuk Khusrin Munawi sebagai SUK Selangor yang baru demi survival politik mereka dan untuk memuaskan nafsu dan kehendak pentadbiran PR yang didalangi oleh DAP,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini.

Kata beliau, untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri tergempar, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sudah lupa daratan dan gila kuasa sehingga terlupa bahawa pindaan terhadap Undang-undang tubuh tersebut perlu mendapat sokongan dua pertiga yakni 38 undi sedangkan anggota mereka miliki cuma 35 orang.

“Maka dengan itu saya berpendapat cadangan tersebut adalah lebih kepada emosi dan tak dilakukan secara bijaksana.

“Saya melihat apa jua tindakan yang akan diambil oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor bersabit dengan isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor adalah mainan politik untuk meningkatkan populariti mereka menjelang pilihan raya umum ke-13.

Malah Noh berkata, tindakan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor campur tangan pelantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor adalah satu penghinaan terhadap institusi perkhidmatan awam Negara.

Malah katanya, tindakan kerajaan negeri Selangor itu jelas mencabar kewibaan Ketua Setiausaha Negara dan SPA dalam pelantikan pegawai tertinggi perkhidmatan negeri.

“Pelantikan tersebut adalah hak pusat dan KSN berhak menentukan pegawai yang sesuai untuk menduduki jawatan tersebut,” kata menteri pusat ini.

Noh juga menambah, tindakan Menteri Besar mewujudkan Jawatankuasa Pemilihan tanpa terlebih dahulu merujuk kepada Ketua Setiausaha Negara adalah tidak wajar dan kurang bijak.

“Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim menunjukkan kedegilan sehingga mengambil tindakan untuk memulau sebarang majlis dan keraian yang melibatkan SUK yang baru.

“Malah dalam sidang akhbarnya semalam Khalid juga memutuskan bahawa Datuk Khusrin selaku SUK tidak dibenarkan hadir mesyuarat Exco atau hadir pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” kata beliau yang menyifatkan langkah itu satu penghinaan kerajaan negeri Selangor tadbiran Pakatan Rakyat terhadap seluruh jentera pentadbiran awam di negeri Selangor.

“Dalam pada itu saya berpandangan bahawa cadangan kerajaan Pakatan Rakyat untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri tergempar bagi meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor untuk kembalikan kuasa pelantikan tiga pegawai eksekutif termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri kepada Menteri Besar dan Sultan Selangor adalah tidak perlu,” katanya.

Katanya, ia membuktikan bahawa Khalid mengakui pelantikan Khusrin adalah sah mengikut perlembagaan sedia ada.

“Maka dengan itu Tan Sri Khalid hendaklah akur dan menghormati perlembagaan negeri sedia ada, kalau beliau tidak dapat menerima pelantikan tersebut maka beliau tidak menghormati perlembagaan dan menderhaka kepada Sultan.

“Ini adalah kerana Sultan Selangor sudah memperkenankan pelantikan Datuk Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru,” katanya.

Semalam, Menteri Besar berkata kerajaan negeri akan mencadangkan sidang tergempar DUN untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor bagi mengembalikan kuasa pelantikan tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar.

Pada sidang media tengah hari tadi, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Datuk Teng Chang Khim hari ini berkata Khalid perlu mengemukakan representasi bertulis kepada beliau bagi mengadakan sidang DUN.

Beliau juga berkata sidang DUN yang dicadangkan oleh Khalid bukan sidang tergempar tetapi sambungan daripada sidang DUN yang ditangguhkan pada 15 November lepas.

Ketika ditanya sama ada kontroversi isu pelantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru dianggap berkepentingan awam sehingga sidang DUN perlu diadakan, Teng berkata: “Sehingga kini saya tidak tahu apa yang akan dibentangkan.”

“Jadi saya tidak tahu representasi mengenai apa yang akan dikemukakan oleh Menteri Besar,” katanya.

Oleh yang demikian Teng berkata beliau tidak boleh memberikan sebarang kenyataan sama ada sidang yang bakal diadakan itu menyentuh pelantikan Khusrin atau mengenai isu-isu lain.

Khusrin, 54, menggantikan Datuk Ramli Mahmud, 56, yang menamatkan perkhidmatan pada 31 Disember lepas manakala tempat Mohamad Khusrin sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor diambil alih oleh Pegawai Daerah Sabak Bernam Marzuki Hussin, 56, berkuat kuasa 1 Januari.

Bagaimanapun Khalid menolak pelantikan itu dan mendakwa Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah membelakangkan Kerajaan Negeri dalam proses pemilihan calon SUK berdasarkan kredibiliti, kemampuan dan pengalaman.

Mengenai keperluan majoriti dua pertiga bagi membolehkan sesuatu undang-undang itu dipinda dalam sidang DUN, Teng berkata walaupun kerajaan campuran pakatan pembangkang di Selangor tidak memiliki majoriti dua pertiga di dalam DUN, kemungkinan Menteri Besar boleh mempengaruhi anggota dewan daripada Barisan Nasional untuk menyokongnya.

DUN Selangor mempunyai 56 kerusi. Barisan Nasional menguasai 21 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (14), DAP (13) dan PAS (lapan). Jumlah bagi majoriti dua pertiga ialah 38

Tuesday, November 30, 2010

Pakatan Rakyat sepakat tubuh dana pelaburan

Wan Nik Wan Yussof

Menteri Besar dan Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat yang bersidang di Shah Alam pada 29 November 2010 telah berjaya membuat beberapa komitmen penting. Antaranya sepakat di dalam menyedari terhadap amalan Kerajaan Pusat yang semakin menghakis hak-hak negeri di sebalik pembuatan dasar-dasar yang tidak pro-rakyat; menyedari juga keterbatasan kuasa Negeri di sebalik amalan federalisme yang mendiskriminasikan Negeri, dan; menyedari ada beberapa kekangan kuasa dalam berhadapan dengan kuasa Pusat.

Demikian antara kandungan resolusi Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat yang bertemakan ‘Meneruskan Cita-cita Rakyat’ yang dibentangkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, malam tadi.

Pada persidangan yang diadakan sehari dari pagi hingga ke malam telah dihadiri oleh semua menteri besar (Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah), ahli exco dan pemimpin kanan parti-parti Pakatan Rakyat serta para pegawai kanan negeri dan GLC. Natijahnya amat positif di dalam mempertegaskan beberapa program dan amalan yang dikongsi bersama (common platform).

Menariknya persidangan kali ini ialah pengiktirafan masing-masing modal besar bagi Pakatan Rakyat iaitu memiliki kepemimpinan yang baik dari segi visi dan arah tuju dalam mentadbir Negeri. Bertolak daripada sini, dizahirkan kesepakatan untuk mewujudkan penyelarasan pelaksanaan dan perkongsian pengalaman serta pewujudan jawatankuasa bersama demi pembangunan negeri dan kemajuan rakyat.

Inilah titik keyakinan rakyat yang disebut oleh Ustaz Azizan, Menteri Besar Kedah yang menggesa pemimpin Pakatan Rakyat supaya mempertahankan keyakinan rakyat kepada kerajaan negeri yang diperintah. Ini kerana Umno BN sentiasa berusaha untuk memecahkan keyakinan itu dan perpaduan di kalangan komponen Pakatan Rakyat. Kemudian ditegas secara politik oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan, betapa hakikatnya kerja Umno atau BN selalu merangka pecah belah hubungan sesama Pakatan Rakyat yang kononnya PAS diperalat oleh DAP. Sedangkan muncul juga persoalan, adakah Umno alat MCA? Sebenarnya, bagi PAS yang membawa Islam telah dianggap berjaya memperkenalkan Islam kepada DAP!

Resolusi penting

Apa yang penting pada persidangan kali kedua itu, menjanjikan pembentukan sebuah pakatan ekonomi antara Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat, menyediakan persekitaran mesra pelaburan, tidak terlalu birokrasi dan tiada karenah pentadbiran, melaksana apa-apa dasar pembangunan yang boleh disepakati bersama terutama dalam bidang sosial, ekonomi dan politik dan meneruskan penambahbaikan pengurusan dan pentadbiran.

Justeru, Selangor atas sifat negeri yang maju bakal menjadi pemodal kepada rakan-rakan Negeri Pakatan Rakyat lain dalam aspek pelaburan projek ekonomi. Oleh itu suatu resolusi persidangan yang paling signifiken ialah memastikan pelaburan berlaku dalam projek-projek ekonomi, dengan cara Negeri Selangor menyediakan dana pemula (seed money) sebanyak RM10 juta dalam “dana kelab” (club deal).

Mengulas lanjut bagi pembentukan dana pelaburan ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid mengulas di dalam pembentangan bertajuk “Ekonomi, infrastruktur dan pelabuiran” telah membuka laluan bertindak ke arah memaju pelaburan ekonomi di Negeri Pakatan Rakyat. Dalam hal ini, Selangor sedia mengambil inisitif melalui GLC masing-masing negeri untuk mengumpul pelaburan luar menerusi “dana kelab” (club deal) untuk membiayai projek-projek di Negeri-negeri Pakatan Rakyat. Inisiatif pemulanya akan diuruskan oleh Syarikat Pelaburan Kerajaan Negeri Selangor (SSIC). Apa yang jelas, kekuatan persekitaran dimiliki Selangor dalam pelaburan ekonomi wajar dijadikan jambatan bagi mengalirkan pembangunan ekonomi yang selari ke Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang.

Atas kekuatan masing-masing Negeri (Selangor dan Pualau Pinang – sektor pembuatan dan pembinaan; Kedah dan Kelantan – sektor pertanian), maka rasionalnya dana pelaburan itu bagi memacu kerjasama ke arah mengoptimumkan kekuatan tersebut.

Semoga Negeri Selangor berupaya mencetus pembinaan rangkaian dan jaringan ekonomi utuh Negeri Pakatan Rakyat. Ambillah semangat dan misi Laksamana Cheng Ho yang berjaya merangkaikan Negara China dengan dunia antarabangsa dalam bidang ekonomi sejak kurun ke-14 lagi. Harapannya, keseimbangan pembangunan Negeri Pakatan Rakyat bakal meningkatkan keyakinan rakyat yang komited dengan akidah perjuangan untuk meneruskan cita-cita rakyat - [Harakah Daily]