KUALA LUMPUR: PAS mendakwa pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM)bersikap 'double standard' terhadap menjaga keselamatan melibatkan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) berbanding pemimpin kerajaan.
Sambil melontarkan cadangan sinis, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata jika polis tidak mahu mengawal keselamatan rakyat adalah lebih baik mereka panggil pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengawal keamanan negara.
"Kita lihat pihak polis seperti gagal menangani permasalahan ini. Bukan setakat serang ceramah-ceramah PR, pihak yang tidak bertanggungjawab ini turut menyerang pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), membakar rumah pemimpin PAS, hari ini sudah melarat kepada serangan ke atas masjid serta membaling selipar ke dalam masjid.
"Tetapi seperti biasa, polis bagaikan tidak mahu bertindak apabila kezaliman dan penganiyaan dilakukan ke atas rakyat yang berada dalam PR. Kalau begitu, lebih baik panggil pasukan pengaman PBB untuk mengawal keamanan negara ini dan menjaga keselamatan rakyat," katanya kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat PAS pada Jumaat.
Menurut Mahfuz, sebahagian besar rakyat kini bukan sahaja takut kepada penjenayah malah mereka juga semakin bimbang keselamatan mereka diancam oleh keganasan pihak yang tidak bertanggungjawab
"Lebih buruk lagi, polis seolah-olah memberikan perlindungan kepada 'pengganas-pengganas' itu.
"Memberi perlindungan kepada 'pengganas-pengganas' itu bermakna memberikan galakan kepada mereka untuk meningkatkan lagi keganasan mereka," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mendakwa polis melindungi pihak yang membuat kacau seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) yang melakukan serangan ke atas masjid di Kedah baru-baru ini.
"Kalau ada sedikit pun kesalahan dibuat oleh rakyat biasa ke atas kerajaan begitu pantas polis bertindak memburu, menangkap dan menggari mereka seperti penjenayah.
"Polis lebih sibuk memburu rakyat yang kerajaan ketika indeks jenayah terus mengancam dan membimbangkan rakyat,” katanya.
Terbaru dua kejadian berasingan berlaku minggu lalu apabila ibu pejabat PKR diserang oleh pihak tidak bertanggungjawab dan serangan Perkasa ke atas masjid kerana mereka cuba menghalang Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan tazkirah berunsur politik.
Mahfuz menyifatkan keengganan polis bertindak tegas terhadap keganasan-keganasan itu meningkatkan lagi indeks jenayah di negara ini.
"Indeks jenayah yang menjadi-jadi dan menakutkan itu bukan dakwaan kita tetapi dibangkitkan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sendiri baru-baru ini," kata beliau.
Sebelum ini, Musa dilaporkan berkata kadar jenayah di Malaysia sememangnya telah meningkat dan meminta agar pihak berkuasa tidak menyorokkan fakta sebenar kepada orang ramai.
Musa didakwa turut mengakui kadar jenayah di Malaysia pada hari ini berada di tahap yang membimbangkan.
No comments:
Post a Comment