Saturday, November 26, 2011

Aliran muzik dakwah Irfan Makki

Kita pernah diperkenalkan dengan muzik berbentuk dakwah sebelum ini oleh beberapa orang seni yang punya kesedaran dan tanggungjawab terhadap agama. Hal ini bukan baru dalam industri muzik dunia mahu pun tempatan. Raihan, Yusuf Islam, Rabbani, Maher Zain sebagai contoh yang mudah. Terkini, kita diperkenalkan pula dengan Irfan Makki, seorang lagi penggiat seni yang bernaung di bawah Awakening Records serta merupakan rakan seangkatan dengan Maher Zain dan Mesut Kurtis.

Bertempat di Quality Hotel Kuala Lumpur baru-baru ini, Irfan Makki telah hadir untuk mempromosikan album terbaru beliau yang berjudul “I Believe”. Album ini dipersembahkan di dalam bahasa inggeris, urdu dan terselit sedikit lirik dalam bahasa melayu. Mengandungi 13 buah lagu iaitu Waiting For The Call, Mabrook, I Believe (feat Maher Zain), Lab Pae Aati, Mamma, Palestine, Allahu, You & I, Khayal, Al-Amin, I’m So Sorry, I Believe (akustik) dan Mabrook (versi urdu).

Antara lagu yang menjadi siulan dan kegemaran pendengar adalah Waiting For The Call, Mabrook, I Believe dan Mamma. I Believe menampilkan kolaborasi istimewa beliau bersama Maher Zain, rakan duet yang cukup serasi dan ditampilkan dengan video klip yang sangat indah serta cukup menarik untuk ditonton.

Bagi anda yang masih belum mengenali Irfan Makki, beliau dilahirkan di Pakistan dan kini menetap di Ontario, Kanada. Merupakan seorang penyanyi nashid yang berperwatakan tenang serta penulis lagu yang sensitif dari segi pandangan beliau terhadap isu semasa untuk diterjemahkan kepada setiap lagu yang dihasilkannya. Irfan memiliki gaya vokal R&B yang cukup merdu dan lembut, manakala muzik yang cuba ditonjolkan mempunyai gabungan rentak urban R&B, world beat percussion dan South Asian Rhythms.

Meski masih baru, kehadiran Irfan Makki sudah semakin diterima di kalangan masyarakat Malaysia. Albumnya sudah terjual hampir 10,000 unit dalam tempoh 3 bulan. Untuk mengenali Irfan Makki serta muzik yang dibawa oleh beliau, anda boleh lawati fan page artis muda ini di Facebook atau dapatkan terus album terbaru beliau di mana-mana kedai muzik berdekatan anda pada harga RM27.90. Juga boleh didapati melalui laman sesawang www.inteammobile.com.

No comments:

Post a Comment