HANYA berkeluasan 0.63 kilometer persegi, Pulau Danawan tidak sebesar mana. Kedudukannya jauh dari perairan Semporna di Timur Sabah. Malah ia kelihatan lebih menghampiri Filipina daripada Semporna. Yang pasti, pulau ini bukanlah destinasi pelancongan. Jika hendak melancong sekali pun tidak boleh kerana tidak ada perkhidmatan bot secara komersial atau feri dari tanah besar Sabah menuju ke pulau tersebut. Dan di atas pulau tersebut tidak ada hotel mahu pun rumah tumpangan. Tiada juga jalan mahupun kenderaan. Tidak ada elektrik dan bekalan air yang dirawat apatah lagi pasar raya besar seperti Giant, Carrefour, Tesco atau pusat membeli-belah seperti The Mall, Pavillion, The Curve, Plaza Bukit Bintang atau pawagam.
Apakah yang ada di situ? Di pulau itu hanya terdapat dua jenis penempatan sahaja - satu milik Markas Angkatan Tugas Bersama Malaysia dan satu lagi perkampungan nelayan yang didiami oleh sebahagian besarnya kaum dari etnik Bajau Laut dan selebihnya keturunan Melayu Filipina dan Indonesia yang telah berhijrah ke situ sejak turun-temurun lagi. Mereka kini berjumlah lebih kurang 1,400 orang. Dan majoriti mereka tidak bernegara - dalam perkataan yang lain tidak memiliki kerakyatan - sama ada Malaysia, Filipina mahupun Indonesia.
Ada yang berhijrah dari Filipina dan Indonesia, ada yang dilahirkan serta dibesarkan di Pulau Danawan atau Semporna malah ada yang tidak tahu asal-usul keturunan mereka dari mana. Difahamkan, hanya sekitar 300 orang penduduk sahaja yang memiliki kad pengenalan atau taraf kewarganegaraan Malaysia. Anak-anak mereka inilah yang berpeluang ke sekolah di pulau berkenaan. Sekolah rendah itu adalah satu-satunya sekolah di situ dan memiliki tiga bilik darjah dengan 31 orang murid sepenuh masa sahaja.
Jadi bagaimanakah kami boleh berada di pulau terpencil yang terletak di Laut Sulu yang jauhnya adalah lebih kurang tiga jam perjalanan dengan bot dari Semporna? Kami bukanlah pengembara jalanan tetapi adalah tetamu kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membawa sekumpulan pengarang-pengarang kanan dan wartawan media tempatan untuk menyaksikan latihan gabungan tiga cabang - Laut, Udara dan Darat - dari Markas Angkatan Tugas Bersama yang berpangkalan di Tawau, Sabah dalam menangani situasi diancam oleh pengganas. Latihan tersebut dinamakan Op Pasir - iaitu akronim daripada Padanan And Sipadan Island Resort. Kedua-dua pulau tersebut terletak tidak jauh dari Pulau Danawan dan pernah menerima ancaman pengganas pada tahun 2000.
Latihan Op Pasir berlangsung di Pulau Danawan dan kembarnya yang lebih kecil iaitu Pulau Siamil yang terletak hanya kurang lebih 1.6km dari Danawan. Kami juga berpeluang menyaksikan pelaksanaan program apa yang dipanggil ‘Jiwa Murni’ iaitu program kemasyarakatan kelolaan ATM dalam membantu membaik pulih Balai Raya dan Surau Kampung Danawan dan perkhidmatan rawatan pergigian kelolaan Kor Perubatan ATM.
Dari Markas Pertahanan Hadapan ATM yang berpusat di permukaan paling tinggi di Pulau Danawan, kami dibawa menyusuri laluan masuk ke Kampung Danawan yang dipenuhi lalang dan pohon-pohon kelapa di kiri kanan. Menghampiri tepian pantai, kami melihat dari sayup, rumah-rumah yang kesemuanya didirikan di atas laut di persisiran pantai. Ia adalah satu pemandangan yang sangat aneh. Aneh kerana walaupun terdapat kawasan tanah lapang di pulau itu yang boleh didirikan rumah, tetapi tidak ada satu rumah pun yang dibina di atas tanah kecuali balai raya kampung, surau, bangunan sekolah dan kuarters guru juga bangsal-bangsal kecil yang kelihatan seperti kedai kecil minuman dan makanan ringan. Kami tidak menemui walau satu pun restoran atau kedai makan di pulau ini.
Lumrah kehidupan
Menurut salah seorang penduduk bernama Belny Wutu, 52, dia sendiri tidak dapat mengingati bilakah kali pertama dia menjejakkan kaki ke pulau itu bersama isterinya, Pallisa Amsirin, 40.
“Aku tidak ingat. Tapi aku tahu aku masih muda...(sewaktu datang ke sini),” katanya yang tidak fasih berbahasa Melayu. Perbualan dengan kami hanya terhenti setakat itu.
Bagaimanapun, menantu lelakinya, Ahad Linjal, 29, tampil mencelah, “Bapa (mertua) tidak pandai cakap (bahasa) Melayu. Dia boleh cakap bahasa Bajau saja,” katanya.
Wajahnya kelihatan bengis namun dia menampakkan sisi dirinya yang ramah apabila meneruskan bicara dan berkongsi cerita satu-persatu kepada penulis.
“Saya dan dia (bapa mertua) adalah nelayan. Hampir semua lelaki di Pulau Danawan juga begitu. Tangkap ikan bukan kerja, tapi itu yang kami buat setiap hari.
“Kami bukan tangkap ikan untuk dijual. Kami tangkap untuk makan. Beginilah kehidupan kami. Kalau tidak ada ikan, kami makan nasi atau ubi kayu saja,” katanya lagi.
Bagaimanapun Ahad memberitahu, ada juga yang menangkap ikan untuk dijual. Antara ikan-ikan yang sering ditangkap adalah ikan batu, ikan putih, ikan merah dan ikan tambak.
Dia yang mengetahui kunjungan kami ke Pulau Danawan atas jemputan ATM menyambung cerita tentang pengalamannya tinggal di atas laut.
“Dulu saya pernah tinggal di sana (atas laut),” katanya sambil menunjuk ke arah sebuah perkampungan di atas laut tidak jauh dari rumahnya.
Ahad bagaimanapun menjelaskan, walaupun tinggal di atas laut memudahkannya untuk keluar menangkap ikan namun kehidupannya sekeluarga berisiko tinggi.
“Tinggal di atas laut tidak selamat. Kami sekeluarga pernah didatangi perompak pada tahun 2008. Kami diugut dengan pisau. Kami tidak tahu siapa mereka. Semua pakai topeng.
“Mujur tiada yang dicederakan. Selepas itu, kami berpindah ke tepi pantai di pulau ini,” kata Ahad yang kini tinggal di rumah papan beratapkan zink bersama ahli keluarganya seramai 10 orang.
Tidak prejudis
Penulis turut menemui pasangan suami isteri, Rini Darmani, 57, dan Dibinah Nurkah, 45, yang menjalankan perniagaan kedai runcit secara kecil-kecilan di Pulau Danawan.
Bagaimanapun, sejak empat bulan lalu mereka mula berjinak-jinak untuk menjual kelapa kering di Pekan Semporna sebagai satu sumber pendapatan sampingan.
Dipanggil Darmani, dia berkata, buah kelapa diperoleh daripada budak-budak kampung yang mengutipnya di sekitar pulau tersebut dengan upah 10 sen sebiji.
“Tempoh mengeringkan biji kelapa antara tiga sehingga lima hari bergantung pada cuaca. Jualan bagi setiap 100 kilogram adalah RM50. Kebiasaannya kelapa kering yang dijual untuk dijadikan bahan ubat-ubatan dan manisan,” katanya.
Dalam perjalanan pulang ke jeti, kami turut menyaksikan bagaimana penduduk tempatan menjemur dan mengeringkan gamat atau timun laut untuk dijadikan ubatan tradisional. Kami juga melihat mereka mengumpul cengkerang siput yang sangat besar untuk dijual sebagai bahan perhiasan. Dan kami sempat bertemu dengan Bin Martin, 51, yang ketika itu sedang mengetam kayu untuk dijadikan sebahagian daripada kerangka perahu.
Dia yang menetap di Pulau Danawan sejak 1972 lagi bekerja sebagai nelayan di samping mengambil upah membuat perahu demi menyara keluarganya seramai 10 orang.
“Orang luar mengupah saya untuk buat perahu. Dari awal pagi lagi saya sudah keluar rumah untuk tangkap ikan. Saya pulang ke rumah selepas tengah hari dan ambil masa satu sehingga dua jam untuk berehat kemudian menyambung kerja membuat perahu.
“Upah buat perahu secara purata adalah RM250 sebuah. Di Pulau Danawan kena pandai buat macam-macam kerja. Bukan sekadar jadi nelayan saja,” katanya.
Begitulah coretan masyarakat di Pulau Danawan sama ada rakyat tempatan atau mereka yang tanpa negara - masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk meneruskan kehidupan di pulau terpencil itu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut menyertai rombongan media ke pulau itu berkata, ATM tidak bersikap prejudis apabila menyentuh tentang soal kemanusiaan dan juga isu keselamatan.
Atas dasar dan semangat inilah katanya, ATM menerusi Kor Pendidikannya akan menyalurkan tenaga pengajar tambahan dari semasa ke semasa ke Pulau Danawan untuk membantu mengajar anak-anak penduduk yang tidak bernegara membaca, mengeja dan mengira sebagai asas untuk mereka membesar kerana mereka tidak dapat mendaftarkan diri sebagai murid sekolah kerana tidak memiliki taraf kewarganegaraan.
Selepas beramah mesra dengan penduduk tempatan, Zahid Hamidi menyertai penduduk kampung untuk makan tengah hari di pekarangan Sekolah Rendah Kebangsaan Pulau Danawan. Masakan disediakan oleh anggota-anggota tentera yang berpangkalan di pulau berkenaan. Selepas itu kami bersama-sama Zahid menunaikan solat Jumaat bersama masyarakat tempatan di surau Kampung Danawan. Zahid sendiri mengimamkan sembahyang Jumaat di surau berkenaan dan sebelum berlepas pulang menyumbangkan sedikit peruntukan untuk pembinaan tandas di surau itu.
Dan menjelang jam 3.05 petang kami berlepas pulang meninggalkan Pulau Danawan membawa bersama kenangan yang tidak mungkin akan dapat dilupakan sepanjang hayat - mStar
apakah pulau ini berada didlm malaysia,memandangkan ada sekolah malaysia di sini.
ReplyDelete