Sunday, July 31, 2011

Kita semua jadi mangsa Umno BN

Suhaizan Kaiat

Sudah dua kali hak saya sebagai warganegara Malaysia dihalang untuk bebas bergerak dan bersuara.

Pertama pada 9hb Julai 2011 saya dihalang untuk berada di beberapa lokasi di Kuala Lumpur dan semalam saya pula dihalang untuk mengajukan soalan kepada Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Bin Wan Omar kononnya atas arahan orang atasan.

Walaubagaimana pun saya mengucapkan tahniah kepada Sinar yang telah menganjurkan “Dialog Apa selepas 9 Julai?” dengan mempertemukan Bersih 2.0 dan SPR. Bersih 2.0 telah dianggap sebuah pertubuhan haram oleh Menteri Dalam Negeri.

Secara tidak langsung Sinar sudah berani menyangah pandangan Menteri Dalam Negeri dan lebih mirip kepada pandangan Timbalan Menteri Pendidikan YB Saifuddin Abdullah yang menggangap Bersih 2.0 bukan sejenis pertubuhan tetapi sejenis aktiviti NGO yang berdaftar.

Sebenarnya saya mahu mengajukan beberapa soalan kepada Datuk Wan Ahmad iaitu berkaitan dengan Double Voting, Daftar Pemilih, Pengundi Pos dan Advance Voting.

Pada 7hb Oktober 2009 telah diadakan pertemuan antara SPR dan pemimpin PAS yang dianggotai oleh Dato Mustafa Ali , Dato Abdul Halim Abd Rahman, Tuan Hj Mohzit bin Mohid dan saya sendiri.

Pemuda PAS telah mengemukakan senarai 253 pengundi pos yang bertindan.

Mereka mempunyai nama sebagai pengundi pos di Bagan Pinang tetapi mempunyai nama yang sama di tempat lain. Pertindanan ini telah berlaku dalam pilihanraya umum 2008.

Dalam perbincangan itu SPR telah berjanji untuk menghapuskan pertindanan ini. Malangnya pertindanan ini masih lagi berlaku pada tahun 2011. Pertindanan ini bertentangan dengan perkara 119 Perlembagaan Malaysia.

Saya mempunyai terlalu banyak bukti pertindanan ini.

Dalam kenyataan Dato Wan Ahmad kepada The Star pada 24hb Julai 2011, bahawa beliau bersetuju bahawa terhadap kad pengenalan klon dalam daftar pemilih SPR yang sah. Secara tidak lansung juga SPR telah mendaftarkan pengundi yang tidak sah. Itulah yang dinamakan pengundi hantu.

Persoalannya mengapa SPR menafikan pengundi hantu?

Walaupun saya tidak dapat mengajukan soalan tetapi soalan ini dapat disampaikan oleh Tuan Hj Mohzit Bin Mohid.

Malangnya Dato Wan Ahmad menjawab bahawa soalan itu hanya sesuai untuk kerani sahaja bukan ahli suruhanjaya diraja sepertinya. Beliau hanya bertanggungjawab terhadap dasar-dasar dalam SPR bukan membuat kerja kerani.

Sepatutnya Dato Wan Ahmad tidak memberi jawapan seperti itu. Terbukti jawapanya telah di “boo” oleh penonton. Persoalannya apakah dasar yang dipakai oleh SPR jika masih terdapat pertindaan pengundi walaupun telah ditegur pada tahun 2009?

Apakah dasar SPR membenarkan nombor kad pengenalan yang diklon dibenarkan masuk dalam daftar pemilih SPR yang sah?

Saya berpendapat bahawa SPR sebenarnya terperangkap dalam kerangka politik sempit Umno, Barisan Nasional. Pembaharuan yang mahu dibuat oleh mereka tidak mendapat sokongan pemerintah.

Contohnya apabila SPR memperkenalkan pengunaan dakwat kekal pada tahun 2008 maka Pengerusi SPR di ajukan dengan persoalan keselamatan negara yang tidak masuk akal.

Inilah bukti bahawa SPR sebenarnya bukan badan bebas untuk melaksanakan pilihanraya yang bebas dan adil. Sampai bilakah SPR mampu melepaskan ikatan daripada pemerintah yang zalim? Yang menjadi mangsa adalah kakitangan SPR seperti Dato Wan Ahmad yang terpaksa menjawab segala persoalan yang tidak mempunyai jawapan. Beliau sendiri pun tidak boleh menerima jawapan yang beliau sendiri berikan.

Itulah hakikat kerajaan zalim Umno Barisan Nasional yang wajib ditumbangkan dalam pilihanraya akan datang. Bantahan saya kepada SPR selama ini adalah umpama pukul anak sindir menantu sahamnja. Kita semua rakyat Malaysia menjadi mangsa kepada kezaliman kerajaan Umno Barisan Nasional.

SUHAIZAN BIN KAIAT,
PENGERUSI PEMULIHAN DEMOKRASI DAN MOBILISASI, PEMUDA PAS MALAYSIA

KETUA PEMUDA PAS NEGERI JOHOR

Hayat Najib sebagai PM bakal berakhir

Ismail Hashim / Harakah Daily

SHAH ALAM, 31 Julai: Perkembangan politik yang berlaku mutakhir menampakkan usia Najib sebagai Perdana Menteri dari BN bakal berakhir dalam masa terdekat.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, antara faktor paling ketara adalah bagaimana Najib dibiarkan menerima kesan negatif ekoran kegagalan beliau menangani isu Bersih 2.0 dengan baik.

Salahuddin menyatakan bacaan politik ini melalui ucapan dalam Majlis Ceramah Istiqbal Ramadhan di Markas PAS Seksyen 18, dekat sini malam tadi.

Pada sebelah siang, program menjual 500 batang lemang diketuai Ketua PAS cawangan, Haji Halim Omar telah berjaya mengisi dana Ramadhan sebanyak RM6000.

Menjelaskan isu Najib, Salahuddin berkata, amat malang sebagai seorang perdana menteri apabila beliau gagal menunjukkan sikap negarawannya berhubung isu demontrasi dan tuntutan Bersih.

Katanya, sewajarnya sebagai seorang perdana menteri, beliau boleh mengatasi isu ini dengan mudah sahaja kerana tuntutan Bersih hanya lapan sahaja, bukan lapan ratus atau lapan ribu.

Namun Najib mengambil sikap untuk berhadapan dengan rakyat sendiri menerusi cara keganasan seperti mana yang dirakamkan oleh berbagai media alternatif.

"Malah saya beranggapan isu tidak perlu tunaikan tuntutan Bersih ini sengaja dicipta oleh pihak dalaman Umno sendiri yang ingin menjatuhkan Najib sebagai perdana menteri kerana mereka sudah bosan dengan tingkah laku beliau mutakhir.

"Apatah lagi dengan sikap isteri beliau yang sangat berlawanan dengan apa yang ditunjukkan oleh semua isteri perdana menteri sebelum ini.

"Jika Muhyiddin pernah sebutkan agar Pak Lah berhenti sebagai perdana menteri dalam mesyuarat tertinggi Umno, tidak mustahil sekali lagi beliau akan berbuat demikian kepada Najib," tegas Salahuddin.

Menurutnya, terdapat banyak pihak di dalam Umno yang tidak berpuas hati dengan tingkah laku pasangan itu dalam membawa diri sebagai perdana menteri dan isteri.

Lebih-lebih lagi, bila munculnya isu cincin berharga RM24 juta, beg tangan RM1 juta dan sikap isterinya dalam membeli belah ketika di luar negara, meskipun diragui kebenarannya, tetapi ramai orang Umno yang tidak suka.

Meskipun perkara ini dinafikan oleh Najib, persoalan yang timbul sekarang, kenapa beliau terus melakukan lawatan ke negeri-negeri yang didahuluikan dengan membatalkan cuti di luar negara.

"Saya melihat ada sesuatu yang sedang dibimbangi Najib sehingga beliau terpaksa turun ke negeri-negeri sekarang bagi melihat dan memastikan tahap sokongan kepadanya kembali pulih.

"Jika beliau sendiri menghadapi masalah dalaman dalam parti sendiri, bagaimana mungkin beliau akan terus mampu menjadi seorang pemimpin negara yang baik dan berkesan," soal Salahuddin.

Tuesday, July 26, 2011

Shamsul Amri: Sudah 54 tahun merdeka, kita masih dikongkong

Oleh Syed Mu’az Syed Putra
July 26, 2011

SHAH ALAM, 26 Julai — Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin menegaskan walaupun Malaysia sudah mencapai kemerdekaan lebih daripada 50 tahun, namun rakyat negara ini masih dikongkong oleh sistem pentadbiran sedia ada.

Negara akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-54 akhir bulan depan.

Shamsul Amri ketika menjawab berhujah pada Wacana Apa Selepas 9 Julai di Shah Alam hari ini. Bercakap pada Wacana Apa Selepas 9 Julai anjuran Kumpulan Media Karangkraf di sini hari ini, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini menegaskan, rakyat negara ini masih belum mendapat kebebasan seperti mana yang sepatutnya.

“Kita sudah merdeka tapi kita tidak mendapat kebebasan sebab itu kita cuba untuk mendapatkan (kebebasan) dan keluar daripada kongkongan ini,” kata Pengarah Institut Kajian Etnik UKM ini.

“Empat tuntutan Bersih 2.0 (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil) iaitu membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal dan akses media yang bebas dan adil adalah sistem sosial yang masih dikongkong dan tidak mendapat kebebasan, ini adalah isu pokok yang belum dapat diselesaikan,” kata Shamsul Amri merujuk kepada tuntutan yang dikemukakan Bersih 2.0 kepada SPR.

Ekoran keengganan SPR melaksanakan lapan tuntutan itu, Bersih 2.0 telah mengadakan perhimpunan pada 9 Julai lalu yang menyaksikan ribuan rakyat termasuk pemimpin dan aktivis Pakatan Rakyat membanjiri ibu negara.

Lebih 1,600 orang telah ditahan pada perhimpunan itu.

Empat tuntutan Bersih 2.0 yang lain adalah tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Jelas Shamsul Amri, kerajaan sepatutnya memberi ruang kebebasan kepada rakyat agar amalan demokrasi dapat ditonjolkan.

“Apa yang saya dapat simpulkan adalah kita masih cuba untuk mendapatkan kebebasan. Adakah kebebasan ini semakin sempit atau ruang-ruang ini sudah tiada? Mungkin dengan adanya media baru kebebasan ini boleh dicapai.

“Kita juga masih mencari kebebasan tak kira apa isunya, adakah isu yang kita bangkitkan ini bukan untuk kawasan bandar sahaja tapi untuk semua,” katanya di hadapan kira-kira 300 orang.

Turut menjadi panel wacana kali ini ialah Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan dan Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah yang turut sama menghadiri wacana itu berkata, semua pemimpin parti politik harus bekerjasama untuk mematangkan sistem demokrasi negara.

Tegas beliau, keutamaan perlu diberikan terhadap masa depan negara bukan kepentingan politik.

“Kita perlu bersama-sama untuk mematangkan demokrasi negara, letakkan kepentingan negara bukan politik,” katanya yang mendapat tepukan gemuruh.

Shamsul Amri sebelum ini berkata pentadbiran Datuk Seri Najib Razak tidak lagi boleh menggunakan taktik era Perang Dingin dalam berhadapan dengan bangkangan dan menguruskan aspek sekuriti negara.

Kenyataan secara terbuka itu dilontakan Shamsul Amri dua hari selepas Himpunan Bersih 2.0 diadakan.

Beliau berkata musuh Barisan Nasional (BN) bukan lagi komunis yang bergerak dari hutan, tetapi pergerakan madani yang mempunyai kesedaran politik yang meningkat - The Malaysian Insider

Thursday, July 21, 2011

KES TEOH : Pegawai SPRM Angkuh, Pembuli dan salah guna kuasa

KUALA LUMPUR, 21 Julai — Suruhanjaya diraja siasatan yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock berkata bekas setiausaha politik itu ‘terganggu’ ekoran sikap tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malayisa (SPRM) yang dilabel sebagai “Arman yang membuli, Ashraf salah guna (kuasa) dan HH pemimpin yang angkuh.”
Malah, ia juga memutuskan bahawa pegawai-pegawai SPRM di Selangor sebagai terbuka kepada pembohongan.

Ketiga-tiga mereka yang dinamakan ialah bekas pengarah SPRM Selangor Hishammuddin Hashim, dua pegawainya Arman Alies dan Mohd Ashraf Mohd Yunus.

Ketiga-tiga mereka dinamakan sebagai pegawai soal siasat kes Teoh dalam laporan suruhanjaya itu, sebagai pihak yang ‘menundukkan’ Teoh ketika sesi soal siasat empat peringkat, yang bermula 15 Julai sehingga keesokan pagi.

Menurut laporan suruhanjaya itu, “Arman yang membuli” kemungkinan telah memanipulasikan saksi untuk mendapatkan bukti.

“Ashraf salah guna (kedudukan),” kata suruhanjaya merujuk kepada kaedah yang digunakannya mendapatkan bukti.

Elemen paling teruk dalam penilaian laporan itu mengenai kaedah-kaedah SPRM adalah gambaran suruhanjaya tentang Hishammuddin.

“HH merupakan seorang pemimpin angkuh, yang akan menggunakan apa sahaja selagi matlamatnya tercapai, tidak kira cara yang digunakan,” kata laporan tersebut.

Sebagai ketua, Hishammuddin dikatakan menyemai ketakutan di kalangan pegawainya.

Di bawah kepimpinan Hishammuddin, kata laporan suruhanjaya ini, kebanyakan pegawai ada tabiat berbohong.

Sunday, July 3, 2011

Aku bersedih ... — Dr Nasir Hashim

July 03, 2011— Bersendirian

Air mata sedih mengalir tanpa izin

Kerana ku lihat

Demokrasi dikebumikan dengan semboyan

keangkuhan

Keagamaan disandi-warakan untuk mencabul

kebenaran

Perkauman dibelai manja demi segumpal

keuntungan dan kemelesetan diri

Kemiskinan dilunak lunakkan dari sistem pemerintahan

Seribu janji dicurah halus untuk menderhaka

kepada prinsip

Senda gurauan diatur rapi untuk membentes

pemikiran

Negara yang harum dilacurkan dengan teladan

bangsat

Sungguh kaku Negara ku yang tercinta ini

Menjadi noktah di pertengahan jalan

Ku . . . . .

Ku . . . . . lihat

Ku lihat . . . . . demokrasi

Ku lihat demokrasi . . . . . tersungkur

Ku lihat demokrasi tersungkur . . . . . merah

Ku lihat demokrasi tersungkur merah

. . . . . di pinggir jalan

cuba melutut

cuba menyiku

cuba mendagu

enggang menutup matanya . . . . .

untuk kali terakhir

Ramai tak membantu

Ramai tak mengerti

Enggan sedar

Semangat ini

berpahatkan pada cinta

bernafaskan pada keadilan

berkorban untuk kebebasan

Selagi diri ini belum menemui lahad

Selagi itulah jiwa ini bertindak

mendedahkan sistem kapitalis

bersama konco-konco politik

yang pincang ini

(ditulis setelah penahanan 6 orang dibawah EO (ISA))

* Dr Nasir Hashim adalah pengerusi PSM dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Damansara