APA sudah jadi? Shamimi Amalina Norhisham atau lebih dikenali sebagai Mimi, vokalis kumpulan One Nation Emcees khabarnya sudah berubah sikap menjadi perempuan yang amat ganas atau lebih tepat, psiko. Malah, disebabkan kegilaannya itu, dia sanggup membunuh!
Namun, itu sebenarnya adalah antara karakter lakonan sulung Mimi menerusi filem berjudul, Klip 3GP.
Ia merupakan suatu perkembangan terbaru buat Mimi yang sebelum ini lebih terhad dikenali hanya sebagai vokalis One Nation Emcees.
Pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimana Mimi boleh terjerumus untuk menjadi pelakon bagi watak yang boleh dikatakan agak mencabar itu.
Filem tersebut yang dilancarkan baru-baru ini di Damansara, Kuala Lumpur itu merupakan hasil arahan pengarah baru, Aidilfitri Mohamed Yunos yang merupakan salah sebuah penerbitan di bawah program Layar Baru yang diusahakan syarikat penerbitan Primeworks Studios Sdn. Bhd.
Skripnya pula adalah hasil nukilan pendatang baru, Sofea Aliza.
Filem tersebut menampilkan tiga buah kisah mengenai rakaman video yang sering disalah guna oleh masyarakat kini, dan wartawan jelita, Maya Akhtar adalah salah seorang mangsa yang terkena tempiasnya.
Tolak tawaran
Jelas sekali, sebagai pelakon yang baru terjun ke dalam bidang ini, watak yang dipegang Mimi itu sememangnya amat sukar untuk direalisasikan.
Apa yang menjadi persoalan setelah melihat sedutan yang ditayangkan, lakonan Mimi, 24, sebagai wanita psiko kelihatan seperti pelakon yang sudah lama menapak dalam bidang itu.
"Sebenarnya semasa mereka menawarkan kepada Mimi watak ini, kami (One Nation Emcees) baru sahaja selesai membuat pertunjukan di Kota Kinabalu, Sabah.
"Sebetulnya juga, Mimi pernah menolak tawaran (berlakon filem) ini sebanyak tiga kali kerana merasakan watak sebagai perempuan psiko ini terlalu berat kerana Mimi bukanlah seorang pelakon," ujarnya.
Bicaranya lagi, ketiga-tiga tawaran tersebut ditolak kerana masa yang diminta untuk melakukan penggambaran terlalu panjang.
Ini kerana menurut Mimi, dia tidak mahu tempoh penggambaran filem itu mengganggu jadual pertunjukan, rakaman atau segala persiapan yang sedang dilakukan bersama One Nation Emcees.
"Sebelum ini juga, kami baru sahaja pulang dari Kota Kinabalu, Sabah untuk mengadakan pertunjukan di sana. Sememangnya letih kerana sebelum ini pun jadual kami padat.
"Perancangan awal kami adalah mahu berehat di sana kerana kampung halaman (dua anggota One Nation Emcees) Zydee dan Jojoe juga di sana. Oleh kerana komitmen bersama Klip 3GP, kami terpaksa balik awal," ujar Mimi yang turut memberitahu Zydee atau nama sebenarnya Mohd. Norzaidi Edris, dan Jojoe (Nur Hasan Baias) turut membuat penampilan istimewa dalam filem itu.
Pelik juga mengapa pihak penerbitan Klip 3P masih mahukan Mimi biarpun selepas tiga kali dia menolak tawaran, padahal Mimi bukanlah pelakon profesional yang telah lama menceburkan diri dalam bidang lakonan ini.
"Maya Akhtar adalah seorang yang berani, liar dan sosial. Mungkin semasa sesi uji bakat dilakukan, pengarahnya dapat melihat karakter sebegitu dapat digalas oleh saya. Jika diteliti melalui skripnya, ia memang sesuai dilakonkan oleh pendatang baru," jelas Mimi yang mengakui dia hanya mencuba menjadi pelakon kerana apa yang menjadi keutamaannya ialah untuk bersama One Nation Emcees.
-------------------------------------------------------------------------------
Bercerita lanjut tentang cabaran membawa watak Maya, dia hanya mempunyai masa selama tujuh hari untuk bersiap sedia.
Malah, hal yang paling membimbangkan dirinya adalah aksi ranjang yang dilakonkannya itu. Ini kerana dia tahu tindakan beraninya itu pasti mengundang kontroversi di kalangan penonton dan peminat filem tempatan kelak.
Menjawab persoalan tersebut, Mimi mengakui hakikat sebegitu pastinya berlaku. Ujarnya lagi, jika ia hadir dalam bentuk negatif, dia terpaksa menerimanya kerana apa yang dilemparkan itu adalah perkara yang sudah dilakukannya.
Di samping itu juga Mimi menambah, lakonannya itu adalah perkara benar yang telah terjadi di kalangan masyarakat kini berhubung penyalahgunaan teknologi.
"Ia sebenarnya merupakan suatu bentuk kesedaran bagi masyarakat di luar sana mengenai perkara yang benar-benar telah berlaku. Mimi ambil itu sebagai suatu pegangan bagi melakonkan watak ini," jelasnya mengenai babak ranjangnya itu yang turut memperlihatkan dia kelihatan seolah-olah berbogel menerusi salah satu adegan dalam Klip 3GP.
Mimi malah menerima hakikat cabaran semestinya wujud bagi seorang pendatang baru tidak kira dalam apa jua bidang yang diceburi.
Menerusi filem tersebut, aksi bogel adalah cabaran terbesar dan agak sukar dilakukan bagi Mimi.
Dikecam
Mengamalkan prinsip tersendiri, secara jujurnya bicara Mimi, aksi berbogel tersebut bukan dilakukan oleh dirinya.
"Sebetulnya, Mimi tidak bogel. Ia hanya kelihatan seolah-olah Mimi seperti berbogel. Ada perkara yang Mimi tidak lakukan sendiri dan menggunakan pelakon pengganti yang kelihatan seperti Mimi," akuinya.
--------------------------------------------------------------------------------
Tambahnya, serius: "Perkara yang Mimi tidak boleh hindari, Mimi terpaksa berikan kepada pelakon pengganti. Itu kerana sememangnya Mimi tidak dapat melakukan babak tersebut."
Seringkali diperhatikan, apabila muncul pelakon yang berani melakonkan aksi kontroversi, pastinya dikecam oleh peminat seni tanah air.
Menurut Mimi, perkara itu turut dirasakan dirinya juga, tetapi mungkin impak ke atas dirinya sedikit kurang kerana dia bukanlah bercita-cita ingin menjadi seorang pelakon sepenuh masa.
"Mimi ialah seorang penyanyi yang hanya sekali sekala akan ambil tawaran lakonan. Jika mahu kecam, Mimi bukan seorang pelakon yang sememangnya aktif di bidang lakonan.
"Bukan mahu kata Mimi tidak kisah tetapi Mimi mahu orang tahu dalam filem ini, ia bukanlah Mimi yang sebenar. Ia semata-semata mengenai watak yang dilakonkan Mimi," jelasnya lantang menyuarakan pendapat yang datang daripada benak fikirannya mengenai perkara ini.
Selain itu, Mimi berpendapat, jika melakonkan watak-watak sebegitu, seseorang pelakon itu perlu meletakkan diri mereka ke dalam watak tersebut.
"Barulah ia menjadi lebih senang mahu jayakan watak itu," tegasnya.
No comments:
Post a Comment