Sunday, May 20, 2012

Kenapa kerajaan Najib benarkan Parti Komunis Cina masuk Felda?

KUALA LUMPUR, 20 Mei: PAS mengesyaki ada agenda tersembunyi di sebalik tindakan kerajaan membenarkan ­kunjungan delegasi Parti Komunis China (PKC) ke Felda Lurah Bilut, Pahang, 12 Mei lalu.

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman berkata, sedangkan sebelum ini isu komunis sangat sensitif di kalangan masyarakat.

Malah, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dikecam hebat kerana dikatakan membela komunis.

"Difahamkan PKC membuat lawatan sambil belajar dan berminat dengan pelaburan Felda Global Ventures. Kita tak kisah yang itu, tapi perkara pokoknya kenapa lawatan dibuat atas nama parti? Adakah kerajaan mengiktiraf PKC?" katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Mazlan juga berkata, kerajaan  bersikap 'double standard' apabila menyambut kedatangan PKC sebaliknya menyekat Anak dan pemimpin Pakatan Rakyat bertemu masyarakat Felda.

"Pakatan Rakyat sering dihalang daripada masuk ke Felda, program disekat, tapi PKC senang-senang sahaja boleh masuk, menerima layanan baik daripada pihak pengurusan Felda," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Sehubungan itu, Pakatan Rakyat Parlimen Bentong membuat laporan polis berhubung perkara ini semalam.

Mereka bimbang wujud elemen negatif memandangkan di Felda Lurah Bilut terdapat peneroka kaum Cina.

Friday, May 11, 2012

BERSIH 4.0 Akan Datang - Kita Duduk Bantah Baca Yasin



Bersih 3.0 atau Duduk Bantah pada 28 April sudah berlalu. Biarlah apa pun mereka nak kata, kita memang telah berjaya. 250 ribu atau 300 ribu yang hadir, yang pastinya rakyat telah bangkit. Rakyat tidak boleh diugut atau ditakut-takutkan lagi. Beberapa orang kawan yang baru pertama kali hadir telah tertanya-tanya bila pula akan ada Bersih 4.0?

Pengalaman menghidu gas pemedih mata yang memang pedih itu telah bertukar menjadi suatu nikmat yang dinanti-nantikan lagi. Pengalaman berjumpa kawan-kawan baru pula, memang menyeronokkan, terasa keikhlasannya sewaktu bercerita, tak terasa pun perbezaan kaum.

Hingga ada yang berkata: Eh, kalau tiap-tiap bulan buat begini, bagus 'kan? Sebulan sekali Kuala Lumpur menjadi bandar tempat rakyat Malaysia dari pelbagai keturunan dan pelbagai golongan dan pelbagai peringkat bertemu dan bermesra. Aduhai! Pelancong pun mesti suka.

Inilah yang orang-orang di 'sebelah sana' itu tidak faham, dan tak akan faham. Mereka tak akan tergambarkan bagaimanakah perhimpunan yang tidak terjamin keselamatannya itu, ditembak gas dan disembur polis dan dibelasah dan sebagainya itu, menjadi sesuatu yang menyeronokkan, yang nikmat dan ditunggu-tunggu lagi. Mereka takkan faham.

Hanya orang-orang yang memahami betapa zalimnya kerajaan Umno-BN sekarang sahaja yang mungkin memahaminya. Betapa orang tidak sabar dan tak boleh tahan lagi melihat konco-konco bangsawan Umno-BN itu menipu dan merompak hak dan harta rakyat. Itulah yang membangkitkan rakyat. Dan dari semangat kebangkitan itulah lahirnya nikmat, walaupun dalam kepedihan.

Duduk di tengah-tengah terik matahari di atas jalan raya di depan menara Maybank dan persimpangan Pudu itu, peluh menitik dari dahi tak terasa pun panasnya. Bayangkan! Dan tiba-tiba ada orang memulakan Selawat Nabi. Yang lain pun mengikut beramai-ramai. Bergema. Padahal di kiri kanan itu ramai kawan-kawan Cina.

Kata sahabat saya. Waktu kita bertakbir, ada juga kawan Cina yang turut bertakbir sama. Aduhai. Apakah ini kalau bukan nikmat suatu kebangkitan!

Waktu itulah saya terfikir, kalaulah ada Bersih 4.0 nanti, dan kehadirannya makin bertambah ramailah tentunya -- cubalah bayangkan kalau kita semua yang muslim membawa surat Yasin dan kita duduk ramai-ramai membaca Yasin. Ya Allah! Bayangkanlah. Menggema surah Yasin dibaca. Dan dengan berkat ayat-ayat Allah itu kita memohon agar kemungkaran dikalahkan dan yang hak dimenangkan.

Kalaulah itu boleh dilakukan, barangkali perhimpunan itu akan menjadi lebih berkesan. Akan ada orang yang dengan sendirinya akan berasa gentar dengan kemungkinan kesannya sekiranya dia di pihak yang mungkar. Dan mungkin ... beberapa kemungkinan lagi, anda fikirkanlah.

Sejak petang 28 April itu saya menerima beberapa SMS yang mengemukakan cadangan begitu dan begini, supaya Bersih 4.0 diadakan pula, kerana mereka percaya pimpinan Najib-Rosmah tidak akan berlembut dan mendengar tuntutan Bersih 3.0 itu.

"Sementara rakyat menunjukkan tanda-tanda kebangkitan yang semakin ramai ini, kita mesti sambutnya dengan gerakan yang lebih tegas. Jangan biarkan Umno-BN menang dengan undi-undi dari pendatang asing itu. Kita mesti buat sesuatu yang berkesan. Rakyat sedang bangkit sekarang."

Dan macam-macam lagi cadangan mereka. Ada yang mencadangkan supaya duduk berkhemah beberapa hari, seperti yang dibuat oleh para mahasiswa yang berkhemah di Dataran Merdeka menuntut dihapuskan PTPTN itu.

Tak tahulah saya. Ada kemungkinankah itu boleh dilakukan? Berapa ramai yang sanggup duduk berkhemah dan bermalam hingga beberapa hari, dengan risiko akan ditangkap dan dibelasah oleh pihak polis?

"Mahasiswa itu boleh lakukan, kenapa orang dewasa tak boleh lakukan? Apakah semangat perjuangan mahasiswa itu lebih kental daripada semangat perjuangan orang dewasa?" Tanya seorang anak muda kepada saya.

Jawab saya, "Kenapa mahasiswa itu tidak mahu tampil memimpin? Kalau semangat perjuangan mereka lebih kental, tidak salah untuk mereka tampil mengambil teraju pimpinan."

Ya, apa pun, Bersih 3.0 sudah pun berlalu. Sejauh manakah tuntutannya akan didengar oleh pihak berkuasa, kita belum pasti. Atau sejauh manakah peristiwa 28 April itu akan memberi tekanan kepada pimpinan Najib-Rosmah, pun kita belum tahu.

Yang kita tahu, sekiranya pilihanraya umum diadakan dalam waktu terdekat, kemungkinan Umno-BN akan terus mengekalkan kuasanya melalui undi-undi pendatang asing yang diberi IC itu, memang ada.

Makanya, bagaimana?

Saya bukan orang politik dan bukan aktivis politik. Saya lebih memahami seni-budaya daripada politik. Maka eloklah saya tak usah mencuba memberi pandangan terhadap strategi politik yang perlu dibuat.

Namun kalau pimpinan Ambiga dan A Samad Said nak buat Bersih 4.0 dalam waktu terdekat, saya fikir orang akan lebih ramai turun. Kuala Lumpur akan berpesta lagi. Dan kali ini kita akan gemakan surah Yasin pula.

Dan kalau ada kumpulan mahasiswa yang nak berkhemah pula untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil -- wah, itu memang hebat!

Tapi sementara itu saya seperti tak sabar nak baca puisi-puisi yang menyertai sayembara menulis puisi Bersih 3.0. Pasti banyak yang menarik!

(Eh, ada orang beritahu Najib tersasul-sasul tak dapat sebut wabillaahi tafiq walhidayah di akhir suatu ucapannya yang disiar langsung di televisyen. Apa hal tu? Betul ke?).

detikdaily/-

Kebumikan PERKASA

Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang mengecam tindakan PERKASA mengadakan upacara pengebumian simbolik di hadapan rumah Ketua Menteri Lim Guan Eng semalam.

Setiausahanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata PERKASA sepatutnya mempertahankan hak-hak Melayu tetapi tindakan ahli-ahlinya itu tidak mencerminkan budaya atau kesopanan masyarakat tersebut.

NONEAfnan berkata tindakan PERKASA itu telah 'dinyalakan api perkauman'
yang bertentangan dengan semangat perlembagaan persekutuan dan bercanggah dengan ajaran Islam.

Oleh itu, kata beliau, pihaknya ingin menasihatkan ahli PERKASA supaya menggunakan otak dan bertindak secara rasional bagi mencerminkan identiti dan tingkah laku Melayu Muslim yang sebenarnya.

Jika tidak, tambahnya, PERKASA akan dikebumikan oleh rakyat.

Afnan merujuk kepada tindakan kira-kira 30 ahli PERKASA yang muncul di rumah Lim di Jalan Pinhorn dan di pejabat kerajaan negeri di Komtar untuk membantah kepimpinan Lim di Pulau Pinang sejak 2008.

Mereka mengadakan "upacara pengebumian" di depan rumah Lim sambil membawa gambarnya berkalung bunga, melambangkan "kematiannya" kepada masyarakat Melayu. - Malaysiakini