Thursday, June 16, 2011

TERKINI : SKMM: 41 Laman Web Kerajaan Digodam

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesahkan pada Khamis bahawa terdapat percubaan untuk menggodam beberapa laman web kerajaan termasuk laman webnya, www.skmm.gov.my .

"Mengenai ancaman daripada penggodam tidak dikenali untuk menggodam laman web dengan domain .gov.my , sememangnya terdapat percubaan untuk menggodam laman web kerajaan.

"Serangan itu bermula kira-kira 11.30 malam pada Rabu, 15 Jun. Kami dapat mengesahkan sebanyak 51 laman web berdomain .gov.my digodam dan terdapat gangguan di pelbagai peringkat pada sekurang-kurangnya 41 laman web tersebut.

"Bagaimanapun, kami menjangkakan kerja-kerja pemulihan laman web tersebut secara menyeluruh tidak mengambil masa yang lama kerana kebanyakan laman web sudah pulih daripada serangan penggodam.

"Pemantauan kami mendapati serangan telah mula berkurangan pada pukul 4 pagi Khamis. Menerusi penilaian lanjutan terhadap serangan itu, kami mendapati serangan tersebut mendatangkan impak yang kecil terhadap pengguna Malaysia.

"Pusat Rangkaian Keselamatan SKMM berusaha sepanjang masa untuk menangani serangan itu. Ia akan terus bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan dan pakar keselamatan malah penyedia perkhidmatan Internet (ISP) untuk memantau situasi.

"Orang ramai dinasihatkan untuk melaporkan sebarang maklumat mengenai identiti penggodam tersebut kerana tindakan mereka mengganggu perkhidmatan rangkaian ialah kesalahan yang berat dan boleh dihukum di bawah undang-undangm" kata SKMM dalam satu kenyataan di sini, Khamis.

Kenyataan itu menambah, serangan penggodam keatas laman web SKMM tidak berjaya.

Tuesday, June 7, 2011

Setiap patah perkataan papar peribadi individu

2011/06/07

TUTUR kata yang dikeluarkan seseorang dapat mengukur sejauh mana kemahiran, pengetahuan, buah fikiran, sopan santun, budi pekerti, pemarah, kasar, sombong atau kerendahan hatinya. Oleh itu, sewajarnya setiap insan memelihara lidah dan berbicara menurut pertimbangan akal waras.

Dalam kehidupan kita seharian, wadah pergaulan yang digunakan dapat dibahagikan kepada beberapa keadaan iaitu melalui perbualan, penulisan atau perdebatan. Sebagai manusia, kita mempunyai hak menyuarakan pendapat sama ada dalam percakapan, penulisan atau perdebatan. Walau bagaimanapun, ia mestilah tidak menimbulkan rasa marah, tidak puas hati, saling menyalahkan, menghina, memaki hamun, mencaci, mengeluarkan kata-kata kotor, mengutuk, menyumpah, mengaibkan hingga menyinggung perasaan orang lain. Ini boleh merenggangkan hubungan silaturahim, menimbulkan rasa marah, rasa benci, permusuhan dan jika keterlaluan mungkin menimbulkan kekacauan serta perbalahan.

Bijak bestari pernah berpesan, ‘berfikir itu pelita hati.’ Pepatah Melayu pula mengatakan, ‘kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.’ Jika direnung, kedua-duanya memberikan pengertian mendalam untuk kita jadikan panduan supaya sentiasa menjaga kesopanan dalam percakapan seharian.

Oleh itu, bagi mengelak berlakunya sebarang perselisihan dan suasana tidak menyenangkan maka kita perlu berwaspada dan berhati-hati sebelum berkata. Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW banyak mengingatkan kita supaya menjaga tutur kata.

Firman Allah yang bermaksud: “Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah membuat contoh ucapan yang baik (mengajak berbuat baik, menjauhi perbuatan salah) seperti sebatang pohon yang baik (subur) akar kuat (terjunam ke dalam tanah) dan cabangnya (menjulang tinggi) ke langit. Pohon itu berbuah terus dengan izin tuhannya. Allah menjadikan contoh itu untuk manusia supaya mereka ingat selalu. Dan contoh perkataan yang buruk (seperti memfitnah, berdusta, mengajak berbuat mungkar dan lain-lain) seperti pohon yang busuk (mati) yang tercabut akar-akarnya dari permukaan bumi tidak tegak berdiri lagi.” (Surah Ibrahim, ayat 24-26)
Firman Allah lagi yang bermaksud: “Dan orang yang menyakiti orang mukmin, lelaki atau perempuan, tanpa adanya sesuatu yang mereka lakukan, maka orang yang menyakiti itu menanggung kebohongan dan dosa yang nyata.” (Surah al-Ahzab, ayat 58)

Daripada Abu Zar, ia mendengar Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tidakkah seorang melemparkan kefasikan atau kekufuran kepada orang lain, melainkan akan kembalilah kefasikan atau kekufuran itu pada dirinya sendiri, jikalau yang dikatakan sedemikian itu bukan yang memiliki sifat itu.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Janganlah banyak bicara, jika tidak mengenai zikir Allah, maka sesungguhnya banyak bicara tanpa zikir Allah itu menjadikan hati pembicaranya kesat. Sesungguhnya orang yang paling jauh dari Allah pada hari Kiamat ialah orang yang kesat hati.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Daripada Abu Darda’, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya bila ada seseorang mengutuk sesuatu maka kutukan itu naik ke langit tetapi pintu langit itu ditutup tidak mahu menerima kutukan. Kemudian kutukan itu turun ke bumi tetapi pintu bumi itu ditutup tidak mahu menerima kutukan, kemudian kutukan itu lari ke kanan dan ke kiri; apabila kutukan itu tidak mendapat tempat maka ia mencari orang yang dikutuknya, apabila orang itu patut mendapat kutukan maka ia kembali kepada orang yang mengucapkan kutukan itu.” (Hadis riwayat Abu Daud

Saturday, June 4, 2011

Kelab Taat Suami

RAWANG, 4 Jun — Kesediaan isteri untuk patuh dan memenuhi keperluan seks suami masing-masing akan membantu mengelak mereka daripada berlaku curang ataupun mencari pelacur — mesej ini yang hendak disampaikan oleh Kelab Taat Suami, yang dilancarkan hari ini untuk mengatasi masalah sosial di seluruh dunia.

Ia dilancarkan di Kelab Golf Perangsang Templer di sini dan bercadang memperluaskan sayapnya ke negara-negara lain seperti Indonesia pada 19 Jun ini.

Malah ia juga bercadang memperluaskan cawangan ke negara-negara Eropah, Britain, Perancis, Itali dan Jerman.

Kelab itu diperkenalkan oleh bekas pengikut kumpulan Al-Arqam terbuka kepada isteri-isteri semua kaum dan tidak kira kepercayaan.

Ia mendakwa mempunyai kira-kira 1,000 ahli buat masa sekarang dengan 200 daripadanya di Johor sejak dilancarkan di negeri itu 1 Mei lalu.

Baki 800 ahli datang dari seluruh negara.

Menurut kelab itu, 50 peratus ahlinya merupakan mereka daripada kalangan kelas atasan dan minda terbuka serta golongan intelek.

Ketika ditemui wartawan, naib presiden kelab itu, Dr Rohaya Mohamad (gambar, kanan) berkata, kaum wanita seringkali lupa bahawa sebagai “isteri yang baik” mereka juga perlu memenuhi keperluan suami di bilik tidur.

“Jika anda melihat di dunia sekarang, wanita dilayan sebagai objek seks ... dalam majalah, TV ... mengapa tidak mereka jadi objek seks kepada suami mereka? Ia adalah sah dan diharuskan oleh Tuhan.

“Seorang isteri yang baik adalah pekerja seks yang baik bagi suami mereka,” katanya lagi.

Pemimpin wanita sayap kanan Global Ikhwan Sdn Bhd itu juga berkata, selain menggalakkan wanita melayani suami, kelab itu juga akan mengadakan aktiviti seperti sesi kaunseling kepada ahlinya.

“Kita buka ahli kepada semua orang tidak kira bangsa dan agama. Kita akan adakan kaunseling kepada isteri, suami, dan kedua-duanya sekali,” katanya.

Selain itu, Rohaya juga menerangkan kelab itu ditubuhkan bukan semata-mata untuk memenuhi kehendak seks suami, tetapi memenuhi tuntutan agama.

Katanya, seorang isteri yang solehah perlu memenuhi empat kriteria yang digariskan dalam Islam iaitu sembahyang lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, memelihara kehormatan diri dan taat kepada suami.

“Kenapa kita tidak mahu buat apa yang disuruh oleh Tuhan? Taat kepada suami. Untuk menjadi isteri yang baik perlu memenuhi keempat-empat kriteria ini. Malah dalam hadis Nabi sendiri ada menyebut, ‘tunaikanlah walau di belakang unta’. Ini apa yang disuruh oleh Allah dan Nabi, jadi kita ikut,” katanya.

Ditanya mengenai jika isteri didera, adakah isteri masih lagi perlu mentaati suami, Rohaya berkata, seorang isteri perlu taat kepada suaminya dan juga membenarkan suaminya berpoligami kerana itu merupakan fitrah seorang suami.

“Seorang isteri perlu menjadi seorang isteri yang baik sampai bila-bila. Jika apa yang terjadi padanya sebagai contoh didera, mereka perlu memikirkan bahawa ini adalah ujian dari Allah kepada mereka.

“Setiap apa yang jadi ada hikmahnya. Seperti kisah Firaun dan Asiah. Firaun suami kepada Asiah dan dia mengaku dia itu Tuhan. Tetapi, akhirnya Asiah masuk ke syurga,” katanya.

Rohaya juga berkata, apa yang kelab ini cuba sampaikan adalah sesuatu yang telah dipraktikkan oleh ahli-ahli Global Ikhwan sendiri.

Beliau juga memberitahu, walaupun kebanyakan ahlinya berpoligami tetapi peratusan penceraian di kalangan ahli itu adalah sedikit.

Malah, ibu kepada lapan orang anak dan isteri ketiga daripada empat itu juga berkata, 30 peratus daripada ahli Kelab Taat Suami juga merupakan pasangan berpoligami dan hampir 50 peratus ahlinya juga datang daripada kalangan kelas atasan dan minda terbuka serta golongan intelek.

Sementara itu, salah seorang daripada 10 pasangan pengantin itu, Hawari Hamid, 45, yang berkahwin untuk kali kedua bersama pasangannya Nurul Asyikin Sanusi, 22, berkata, beliau menyambut baik kelab tersebut demi keharmonian rumah tangga.

Selain itu ketika ditanya adakah dengan isterinya membenarkan beliau berkahwin dua merupakan salah satu tindakan ‘taat’ seorang isteri, beliau yang juga pengurus syarikat berkata, “dalam Islam dibenarkan suami berkahwin sehingga empat orang.”

“Ini juga salah satu cara untuk isteri tunjuk taat dengan membenarkan suami berkahwin lain. Isteri saya membenarkannya dan Insya-Allah dia seorang yang taat. Dia juga yang membuat urusan perkahwinan saya ini,” katanya.

Hawari yang sudah 20 tahun mendirikan rumah tangag dan hanya dikurniakan seorang anak dengan isteri pertamanya juga berkata, tujuan beliau berkahwin adalah ingin menambah zuriat selain mengikut sunah Nabi. - TMI

Wednesday, June 1, 2011

3 cara kotor diguna Umno dalam Pilihanraya - Mat Sabu

KUALA LUMPUR: Pemimpin Pas, Mohamad Sabu berkata terdapat tiga cara utama yang sering digunakan Umno dan Barisan Nasional dalam berhadapan dengan pembangkang ketika pilihan raya.

Pertama katanya, melalui daftar pemilih di mana parti pemerintah menggunakan pegawai kerajaan untuk mendaftar pengundi melalui senarai akhir yang dikemuka sebelum pilihan raya.

“Apabila kita bantah di mahkamah seperti di Sabah, mahkamah mengiystiharkan pilihan raya Likas tidak sah kerana terbukti ada pengundi hantu, ada pendatang yang mendaftar sebagai pengundi,” ujarnya yang juga Pengerusi Badan Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi Bersih 2.0 dalam satu wawancara dalam akhbar Suara Keadilan.

Kedua katanya, taktik yang selalu digunakan Umno-BN ketika pilihan raya adalah menyalahgunakan harta kerajaan melalui penggunaan jentera milik agensi kerajaan untuk menarik pengundi menyokong BN.

“Dahulu bukan tidak pernah berlaku. Cuma sekarang ini terlalu berleluasa. Sehinggakan dalam pilihan raya Kecil Sarawak kita tidak kenal langsung yang mana satu jentera parti yang mana satu jentera kerajaan,” katanya.

Manakala ketiga, masalah media massa yang berat sebelah terhadap parti pemerintah dan tidak memberi liputan yang adil kepada parti pembangkang.

Berbeza dengan Singapura katanya, negara itu kini dilihat lebih berani membuat perubahan dari sudut kebebasan media dalam pilihan raya yang diadakan baru-baru ini.

“Sepanjang tempoh pilihan raya berlangsung sebulan lalu, pemimpin pemimpin parti yang bertanding dibenarkan berucap di televisyen dan ia disiarkan. Rapat umum diizinkan. Singapura sudah mula buat perubahan. Kita masih lagi tidak kerajaan Malaysia akan ikut jejak langkah itu atau tidak.

“Sebab itu dalam himpunan bersih 2.0 ini kita perlu sedarkan rakyat bahawa pilihan raya masih brelaku dalam keadaan tidak demokratik,” tegasnya.

Mat Sabu berkata, peranan yang dijalankan Bersih sebenarnya diketuai Datuk Ambiga Sreenevasan dan badan bukan kerajaan yang mengendalikannya.

“Saya hanya lah pemimpin parti yang ditugaskan untuk menjayakan perhimpunan Bersih 2.0, itu sahaja. Kita (Pas) hanya bekerjasama dengan NGO untuk menjayakan perhimpunan itu,” tambah beliau.

Dalam temubual tersebut, Mat Sabu turut ditanya mengenai kesediannya bertanding jawatan Timbalan Presiden Pas dan apakah akan terus menjalinkan kerjasama yang erat dengan Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sambil ketawa kecil, beliau mengakui lantang mengkritik Anwar ketika berada dalam kerajaan dan Umno satu masa dahulu.

“Sejak beliau mula menyertai Umno, sehingga lah beliau keluar dari Umno, saya lantang mengkritiknya. Tapi sekarang (dalam Pakatan Rakyat kita) bersamalah,” katanya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=14483