Tuesday, September 6, 2011

Mat Sabu sedia debat dengan Muhyiddin

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu sedia berdepan dengan Timbalan Perdana Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam isu pejuang kemerdekaan dan peristiwa Bukit Kepong.

Katanya ia susulan banyak kenyataan Muhyiddin yang menyerang Mohamad supaya "bertaubat dan bertakwa" selepas ucapannya
pada 21 Ogos lalu.

"Secara peribadi (Ketua Pemuda Umno) Khairy Jamaluddin tidak banyak mengecam saya.

"Yang suruh saya bertaubat, bertakwa (adalah) timbalan presiden Umno. (Jadi) elok saya bertemu dengan dia," kata Mohamad dalam sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini.

Bahkan, tambah Mohamad, Muhyiddin juga ahli parlimen Pagoh - kawasan yang berdekatan dengan Bukit Kepong. - Malaysiakini

Lawatan Najib ke Australia - Peribadi atau rasmi

Datuk Seri Najib Razak pulang selepas memendekkan lawatan ke Australia, tetapi persoalan berhubung status dan pembiayaan terhadap lawatan itu masih kekal.

ADUN Komtar Ng Wei Aik (kanan) berkata, memang perdana menteri menemui mahasiswa Malaysia di Perth tetapi beliau juga berjalan untuk urusan peribadi yang mesti ditanggungnya sendiri.

"(Lawatan Najib) lebih daripada bertemu mahasiswa di sana. Beliau patut pergi dengan jet peribadi dan gunakan wang sendiri.

"Apabila kamu menggunakan pesawat kerajaan, kerajaan harus membayar perbelanjaan kamu...," katanya.

Ng membandingkan tindakan itu dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang menggunakan penerbangan ekonomi walaupun untuk urusan rasmi.

Tuesday, August 30, 2011

Populariti Najib merudum : Rais kata kajian tak berasas

Rais: Kajian Merdeka Center tak berasas, Najib diterima majoriti rakyat

PUTRAJAYA, 30 Ogos – Kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diterima majoriti rakyat di negara ini, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata kajian yang dijalankan oleh Jabatan Penerangan Malaysia mendapati kepimpinan Perdana Menteri amat kukuh di kalangan rakyat di negara ini terutamanya daripada segi penerimaan program pembelaan rakyat.

Sehubungan itu, beliau (gambar) menganggap laporan kajian Merdeka Centre yang mengatakan populariti Perdana Menteri semakin menurun sebagai tidak berasas.

“Mereka hanya mengambil beberapa sampel yang tidak menyentuh komuniti luar bandar, masyarakat India yang tidak menyeluruh, masyarakat yang berada di sekitar kuala Lumpur yang mempunyai sokongan kuat dan padu kepada Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Seri Perdana di sini hari ini.

Kajian terbaru Merdeka Centre mendakwa aliran populariti Najib terus mengalami penurunan daripada 72 peratus pada Mei 2010 kepada 69 peratus November lalu, 67 peratus pada Mac tahun ini dan seterusnya ke paras 65 peratus Mei lalu dan yang terbaru 59 peratus.

Bagaimanapun, kajian Jabatan Penerangan Malaysia yang melibatkan 50,000 responden yang terdiri daripada pelbagai masyarakat di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak mendapati mereka amat menerima kepimpinan Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional (BN) secara ikhlas.

Sehubungan itu, Rais dipetik Bernama Online, meragui kajian Merdeka Research Centre dan menasihatkan pusat penyelidikan itu mengambil pendekatan yang menyeluruh apabila membuat sesuatu kajian sepertimana yang dilakukan di beberapa negara barat.

“Saluran penyelidikan mereka adalah terhad dan bagi pihak yang tertentu. Jadi ia tidak berasas kepada kenyataan dan keadaan sebenarnya,” katanya.

Rais berkata peningkatan berganda bilangan orang ramai yang mengunjungi rumah terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri pada hari ini berbanding tahun lepas juga jelas menunjukkan keyakinan rakyat negara ini terhadap kepimpinan Najib sebagai pemimpin nombor satu negara. - TMI