Thursday, September 5, 2013

Zahrain jadi duta ke Indonesia, pejuang setia Umno dapat apa?

SEPTEMBER 05, 2013

LATEST UPDATE: SEPTEMBER 06, 2013 04:18 AM
Bekas Ahli Parlimen PKR Bayan Baru, Zahrain Hashim dilaporkan akan dilantik sebagai duta ke Indonesia. Perkara ini juga sudah pun disahkan oleh Menteri Luar, Anifah Aman petang tadi.
Zahrain adalah salah seorang pemimpin PKR yang meninggalkan parti itu selepas pilihanraya 2008 dan sejak itu beliau antara yang aktif menyerang Anwar Ibrahim dan membela Najib.
Walaupun Zahrain menafikan perlantikannya sebagai ganjaran kerana meninggalkan Anwar dan menyokong kepimpinan Najib, tetapi rata-rata kalangan dalam Umno percaya tiada ada sebab atau merit lain yang boleh dijadikan sandaran kepada perlantikannya itu melainkan sebagai upah atas pengorbanannya itu.
Selain itu, perlantikannya sebagai duta ke Indonesia juga dikhabarkan untuk mengekang pengaruh Anwar di negara tersebut memandangkan Ketua Pembangkang itu dipercayai mempunyai pengaruh serta simpati yang besar di kalangan tokoh-tokoh politik di negara tersebut. Anwar dan beberapa pemimpin PKR juga kerap berkunjung dan mengadakan pertemuan dengan pelbagai tokoh politik di Indonesia sejak beliau dipecat pada 1998 dahulu.
Malahan ketika era reformasi, beberapa penyokong setia Anwar seperti Ezam, Saifuddin Nasution dan Rahim Ghouse berada bertahun-tahun di negara itu untuk mendapatkan perlindungan dan mengelakkan daripada ditangkap oleh pihak berkuasa Malaysia.

Dengan ganjaran yang diterima Zahrain itu, beliau merupakan seorang lagi pemimpin PKR selepas Ezam Mohd Nor yang dijadikan Senator selepas turut meninggalkan PKR dan bersedia menyerang serta memaki-hamun Anwar Ibrahim. Walaupun tidak disenaraikan sebagai calon pilihanraya, Zahrain kini menerima khabar gembira sebagai duta ke Indonesia sebagai imbalan pengorbanannya selama ini.
Beberapa pemimpin PKR yang lain juga turut diberikan anugerah yang berbeza-beza atas kesediaan meninggalkan PKR dan memaki-hamun Anwar seperti Zulkifli Noordin dijadikan calon BN di Shah Alam, manakala ada pula diberikan jawatan di agensi kerajaan, sebagai pegawai khas pemimpin tertentu, diberi peluang perniagaan dan sebagainya.
Di kebanyakan peringkat dalam Umno, perlantikan Zahrain ini bukan saja dipertikaikan dari segi kemampuannya tetapi juga kewajarannya. Jika ingin mengekang pengaruh Anwar di Indonesia melalui peranan yang akan dimainkannya sebagai duta, sebenarnya Zahrain bukanlah orangnya yang tepat.
Di Malaysia, beliau tidak dikenali sebagai pembicara, pengucap atau seseorang yang ada kelebihan dari segi meyakinkan orang lain. Sebelum keluar PKR, suaranya di dalam Umno dan Parlimen dalam membahaskan isu-isu semasa tidak pernah kedengaran. Beliau hanya umpama Hang Kasturi, Hang Lekir atau Hang Lekiu saja, tidak banyak disebut keberadaannya dalam perjuangan.
Hanya setelah bertukar kiblat politik dan bersalin baju baru, barulah suaranya sesekali kedengaran. Itu pun topiknya hanyalah mengenai PKR dan Anwar, bukan isu-isu yang melibatkan rakyat atau ada nilai perjuangan.
Barangkali jika ingin menjalin hubungan politik yang lebih manis dan jernih antara Malaysia dan Indonesia, sambil dalam masa yang sama pengaruh Anwar mahu disekat, baik saja dilantik beberapa bekas menteri atau timbalan menteri yang kalah bertanding atau tidak dilantik semula selepas pilihanraya lalu.
Kalau pun tidak mahu melantik Rais Yatim, Ghani Othman, Ali Rustam atau Zulhasnan Rafique, tetapi apa kurangnya dengan dua bekas timbalan menteri Dr Puad Zarkashi dan Saifuddan Abdullah yang lebih ternampak ketokohannya. Wibawa dan keyakinan umum terhadap mereka ini juga jauh lebih tinggi berbanding Zahrain Hashim.
Bahkan ada yang bergurau, tetapi ada juga logiknya iaitu Ibrahim Ali jauh lebih bagus daripada Zahrain. Kalau mahu dikira menyerang dan memaki hamun Anwar, Ibrahim juga nyata lebih dulu berbuat demikian. Dari segi keberanian dan kepintaran berhujah juga, Presiden Perkasa itu jauh lebih menonjol.
Ramai pemimpin dan kalangan penyokong Umno yang kecewa dengan anugerah kepada Zahrain ini. Budi dan jasa Zahrain kepada Najib hanyalah setahun dua ini sahaja tetapi sebelum ini beliau adalah penentang dan ada rekod derhaka kepada parti.
Tetapi nampaknya Najib lebih menghargai hujan yang baru turun sehari dua dan melupakan sama-sekali budi cuaca panas yang berpanjangan sejak bertahun yang lalu.
Ramai pejuang-pejuang setia dalam Umno yang tidak diberi apa-apa penghargaan meskipun berjuang siang malam dan tidak pernah menderhaka kepada parti. Kadang-kadang untuk memperolehi peluang perniagaan bagi memastikan parti terus hidup dan bernyawa, ada di antaranya yang umpama pengemis memanjat dari satu pejabat ke satu pejabat menteri sambil membawa fail dan sampul surat besar untuk menemui menteri dan pegawai tinggi kerajaan.
Dalam hal ini, ternampak bahawa cara dan gaya Najib mengurus kerajaan dan memberi anugerah kepada sesiapa yang dikehendakinya umpama beliau menguruskan sebuah syarikat sendirian berhad saja. Faktor kewajaran, kemampuan, kesetiaan dan sebagainya tidak lagi menjadi perkiraan utama.
Sehingga ada pemimpin Umno yang berkata, kalau ingin jawatan dan habuan di zaman Najib ini, maki hamun Umno dan keluarkan parti serta berbaik-baiklah dengan pembangkang terlebih dahulu, kemudian kembali dan jilatlah semula apa yang diludahkan dulu. Dalam masa yang sama, sanjung dan pujilah setinggi langit Perdana Menteri dan Umno yang pernah dimaki hamun dahulu.
Tak lama selepas itu, dapatlah sesuatu. Atau kalau minta sesuatu, pasti akan diberi.
Itulah nampaknya gaya baru dalam politik Umno sekarang. Jika tidak, janganlah mengharap apa-apa dan redalah berjuang semata-mata untuk agama, bangsa dan negara. - shahbudindotcom, 5 September, 2013.

KDN kenal pasti anggota kongsi gelap sertai politik: Zahid

KOTA KINABALU: Kementerian Dalam Negeri sudah mengenal pasti individu yang mempunyai kaitan dengan kongsi gelap dan dikatakan turut bergiat dalam bidang politik di negara ini, kata menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.
"Sekiranya ahli politik ini adalah bekas anggota kongsi gelap, mungkin mereka sudah bertaubat dan tidak adillah untuk mengaitkan mereka lagi dengan kongsi gelap.
"Tapi, jika siasatan mendapati mereka masih mempunyai kaitan dengan kongsi gelap, maka kami akan dedah nama mereka dan mengambil tindakan undang-undang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Pingat Kedaulatan Negara kepada 56 anggota pasukan keselamatan.

Ahmad Zahid berkata demikian bagi mengulas pendedahan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan bahawa seorang bekas banduan yang pernah menjadi ketua kongsi gelap, kini menjadi pemimpin peringkat rendah sebuah parti politik di Pulau Pinang. - Bernama