Tuesday, November 30, 2010

Pakatan Rakyat sepakat tubuh dana pelaburan

Wan Nik Wan Yussof

Menteri Besar dan Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat yang bersidang di Shah Alam pada 29 November 2010 telah berjaya membuat beberapa komitmen penting. Antaranya sepakat di dalam menyedari terhadap amalan Kerajaan Pusat yang semakin menghakis hak-hak negeri di sebalik pembuatan dasar-dasar yang tidak pro-rakyat; menyedari juga keterbatasan kuasa Negeri di sebalik amalan federalisme yang mendiskriminasikan Negeri, dan; menyedari ada beberapa kekangan kuasa dalam berhadapan dengan kuasa Pusat.

Demikian antara kandungan resolusi Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat yang bertemakan ‘Meneruskan Cita-cita Rakyat’ yang dibentangkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, malam tadi.

Pada persidangan yang diadakan sehari dari pagi hingga ke malam telah dihadiri oleh semua menteri besar (Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah), ahli exco dan pemimpin kanan parti-parti Pakatan Rakyat serta para pegawai kanan negeri dan GLC. Natijahnya amat positif di dalam mempertegaskan beberapa program dan amalan yang dikongsi bersama (common platform).

Menariknya persidangan kali ini ialah pengiktirafan masing-masing modal besar bagi Pakatan Rakyat iaitu memiliki kepemimpinan yang baik dari segi visi dan arah tuju dalam mentadbir Negeri. Bertolak daripada sini, dizahirkan kesepakatan untuk mewujudkan penyelarasan pelaksanaan dan perkongsian pengalaman serta pewujudan jawatankuasa bersama demi pembangunan negeri dan kemajuan rakyat.

Inilah titik keyakinan rakyat yang disebut oleh Ustaz Azizan, Menteri Besar Kedah yang menggesa pemimpin Pakatan Rakyat supaya mempertahankan keyakinan rakyat kepada kerajaan negeri yang diperintah. Ini kerana Umno BN sentiasa berusaha untuk memecahkan keyakinan itu dan perpaduan di kalangan komponen Pakatan Rakyat. Kemudian ditegas secara politik oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan, betapa hakikatnya kerja Umno atau BN selalu merangka pecah belah hubungan sesama Pakatan Rakyat yang kononnya PAS diperalat oleh DAP. Sedangkan muncul juga persoalan, adakah Umno alat MCA? Sebenarnya, bagi PAS yang membawa Islam telah dianggap berjaya memperkenalkan Islam kepada DAP!

Resolusi penting

Apa yang penting pada persidangan kali kedua itu, menjanjikan pembentukan sebuah pakatan ekonomi antara Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat, menyediakan persekitaran mesra pelaburan, tidak terlalu birokrasi dan tiada karenah pentadbiran, melaksana apa-apa dasar pembangunan yang boleh disepakati bersama terutama dalam bidang sosial, ekonomi dan politik dan meneruskan penambahbaikan pengurusan dan pentadbiran.

Justeru, Selangor atas sifat negeri yang maju bakal menjadi pemodal kepada rakan-rakan Negeri Pakatan Rakyat lain dalam aspek pelaburan projek ekonomi. Oleh itu suatu resolusi persidangan yang paling signifiken ialah memastikan pelaburan berlaku dalam projek-projek ekonomi, dengan cara Negeri Selangor menyediakan dana pemula (seed money) sebanyak RM10 juta dalam “dana kelab” (club deal).

Mengulas lanjut bagi pembentukan dana pelaburan ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid mengulas di dalam pembentangan bertajuk “Ekonomi, infrastruktur dan pelabuiran” telah membuka laluan bertindak ke arah memaju pelaburan ekonomi di Negeri Pakatan Rakyat. Dalam hal ini, Selangor sedia mengambil inisitif melalui GLC masing-masing negeri untuk mengumpul pelaburan luar menerusi “dana kelab” (club deal) untuk membiayai projek-projek di Negeri-negeri Pakatan Rakyat. Inisiatif pemulanya akan diuruskan oleh Syarikat Pelaburan Kerajaan Negeri Selangor (SSIC). Apa yang jelas, kekuatan persekitaran dimiliki Selangor dalam pelaburan ekonomi wajar dijadikan jambatan bagi mengalirkan pembangunan ekonomi yang selari ke Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang.

Atas kekuatan masing-masing Negeri (Selangor dan Pualau Pinang – sektor pembuatan dan pembinaan; Kedah dan Kelantan – sektor pertanian), maka rasionalnya dana pelaburan itu bagi memacu kerjasama ke arah mengoptimumkan kekuatan tersebut.

Semoga Negeri Selangor berupaya mencetus pembinaan rangkaian dan jaringan ekonomi utuh Negeri Pakatan Rakyat. Ambillah semangat dan misi Laksamana Cheng Ho yang berjaya merangkaikan Negara China dengan dunia antarabangsa dalam bidang ekonomi sejak kurun ke-14 lagi. Harapannya, keseimbangan pembangunan Negeri Pakatan Rakyat bakal meningkatkan keyakinan rakyat yang komited dengan akidah perjuangan untuk meneruskan cita-cita rakyat - [Harakah Daily]

Ketuanan Islam : Alternatif yang enggan difikirkan?

oleh Nasrudin Hassan
1. Seusai Kongres PKR , kini UMNO dan BN seperti mendapat peluru tembaga untuk dibidik tepat ke jantung PKR khasnya dan Pakatan Rakyat amnya. Biadab , kurang ajar , khianat , pelacur politik dan 1001 kata - kata kesat dihamburkan ekoran kenyataan dari presiden PKR Datin Seri Wan Azizah binti Dato' Wan Ismail .

2. Saya tidak sempat menghadhiri Kongres PKR kerana menerima undangan saat akhir sedang saya telah mempunyai komitmen untuk menghadhiri Hari keluarga DPP Malaysia di Pulau Pangkor . Walau bagaimana pun saya mengikuti perkembangan dan berita mengenainya . Terlebih dahulu saya ucapkan syabas kepada PKR dan AMK yang telah selesai berkongres semoga PKR dan AMK semakin utuh dan mantap selepas ini mendepani cabaran dan halangan perjuangan yang sukar ini .

3. Tidak puas - puas UMNO dan BN membelasah PKR . Sebelum dan selepas kongres , ada sahaja peluru baru yang dilepaskan oleh pelbagai agensi mereka untuk membunuh PKR dan sekaligus dilihat sebagai percubaan untuk melemahkan Pakatan rakyat. Terkini isu Ketuanan Melayu menjadi turning point UMNO dan BN untuk memperbaharui serangan ke atas Pakatan Rakyat .

4. Wartawan pula bertalli arus menghubungi saya untuk mendapatkan pandangan mengenai kenyataan tersebut dan saya tegaskan atas 3 point penting :

A. ] Sejak merdeka sehingga kini sudah lebih 50 tahun , Melayu belum menjadi tuan .

UMNO dan BN awal - awal lagi sebenarnya tidak layak pun hendak bercakap soal Ketuanan Melayu , apalagi bersilat untuk mempertahankannya . Keris panjang tidak bersarung milik UMNO selama ini tidak ubah seperti keris sisip di pinggang sang pengantin . Bukan sahaja tidak berfungsi malah sedikit pun tidak menambah keberanian sang pengantin selain hanya menurut sahaja apa yang disuruh . Disuruh bangun mereka bangun , disuruh duduk mereka duduk , disuruh senyum mereka senyum , disuruh suap mereka suap , disuruh makan mereka makan , disuruh basuh periuk belanga mereka basuh. Menurut saja apa yang disuruh walau keris tersisip dipinggang , bersampin dan bertanjak .

Sepanjang tempoh 50 tahun lebih inilah , menyaksikan melayu hilang maruah , hilang jati diri , hilang tanah , hilang kuasa , hilang upaya ekonomi dan hilang kehebatan . Malah fenomena ini diakui sendiri oleh pemimpin UMNO dan BN apabila sehari dua ini mereka selalu bertanya kemanakah hilangnya kuasa politik orang melayu ? . Walaupun soalan itu seperti mahu menyalahkan Pakatan Rakyat tetapi rakyat umumnya mengetahui bahawa Pakatan Rakyat belum sepenggal mengurus pemerintahan beberapa buah negeri yang dimandatkan oleh rakyat , sementara Kerajaan Persekutuan masih berada di bawah pemerintahan UMNO dan BN malah berkuasa penuh sejak lebih 50 tahun yang lalu . Pertanyaan itu seperti UMNO meludah ke langit dan akhirnya menimpa muka sendiri .

B. ] Tidak salah perjuangkan bangsa dan pertahankannya sebagaimana yang telah termaktub di dalam perlembagaan .

Melalui perlembagaan Malaysia yang sedia ada telah dimaktubkan hak keistemewaan orang melayu . Saya tidak prejudis mengenainya bahkan mempertahankan hak bangsa dan berbangga dengan bangsa kita melayu juga adalah adalah suatu yang tidak bertentangan dengan Islam . Sebagaimana nabi saw sendiri berbangga sebagai bangsa Arab Quraisy .Terutama majoriti penduduk negara ini ialah melayu dan mereka pula rata - ratanya masih perlu pembelaan kerana taraf hidup yang rendah angkara amalan kronisme dan dasar ekonomi yang korup oleh kerajaan UMNO dan BN sejak 53 tahun yang lalu .

[ Lantaran selama ini hanya segelintir melayu yang kaya raya dan harta negara berlegar dari kalangan pembesar dan kroni mereka. ]

Memperjuang dan mempertahankan hak bangsa yang saya maksudkan tidaklah menjadikan bangsa kita tuan dan bangsa lain pula hamba . Pertahankan hak bangsa kita malah berbangga menjadi bangsa melayu adalah suatu yang positif dan wajar namun jangan sekali - kali kita menzalimi bangsa lain serta tidak berlaku adil terhadap bangsa lain sekalipun berbeda agama justeru inilah yang dilarang.

C. ] Saya mencadangkan Ketuanan Islam menggantikan Ketuanan Melayu tajaan UMNO dan BN .

Justeru Islam adalah agama Allah tuhan yang mencipta manusia dan seluruh alam ini. Allah swt , tuhan yang namanya mahu digunakan oleh seluruh agama samawi dalam negara kita . Islam pula bukan hak orang melayu sahaja , bahkan bangsa India dan China jauh lebih awal menerima Islam . Islam adalah agama yang adil untuk semua .

Islam dirujuk kepada kitab suci al Quranul Karim yang rata - rata pemimpin Pakatan Rakyat termasuk non muslim mula memetiknya untuk berhujjah justeru ia satu pengiktirafan kepada kebenaran yang dibawa oleh Islam . Islam adalah satu agama yang lengkap merangkumi semua persoalan hidup termasuk perkara yang melibatkan hubungan sesama manusia seperti ekonomi , sosial , politik dan undang - undang , juga hubungan manusia dengan tuhan seperti ibadah .

5. Negara dan dunia serta seluruh isinya memerlukan Islam . Saya menegaskan demikian bukan bermakna Islam memaksa manusia menganutnya . Menerima bukan semestinya menganut Islam . Ahli zimmah [ non muslim yang tidak menentang Islam ] boleh menerima sistem dan dasar kepimpinan serta pemerintahan Islam sementara mereka kekal dengan agama dan kepercayaan mereka. Seperti kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menjadikan Khlaifah Umar bin Abdul Aziz sebagai idola dan contoh kepimpinannya , maka perlu difahami bahawa Khalifah umar bin Abdul Aziz menjadi hebat kerana Islam yang diyakininya - [Harakah Daily]

Kenyataan rasis: Jangan cepat hukum guru hina pelajar, kata Perkasa

Oleh Syed Mu’az Syed Putra
November 29, 2010

KUALA LUMPUR, 29 Nov – Ketua Pemuda Perkasa Arman Azha Abu Hanafiah meminta semua pemimpin supaya tidak terlalu cepat menjatuhkan hukum terhadap seorang guru yang didakwa mengeluarkan kenyataan rasis melibatkan pelajar-pelajar India dan Cina ketika mengawasi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah di Lukut, Negeri Sembilan minggu lalu.

Sebaliknya, Arman Azha mahu supaya dakwaan tersebut disiasat terlebih dahulu sebelum membuat sebaran kesimpulan.

“Kita tidak sepatutnya menjatuhkan hukuman dengan cepat, apabila perkara ini berlaku kita perlu kembali kepada pihak yang didakwa.

“Kita tidak boleh menjatuhkan hukum dengan hanya berdasarkan satu pihak sahaja, kita perlu dapatkan maklumat daripada kedua-dua belah pihak.

“Selain itu, dakwaan ini perlu disiasat dengan teliti supaya adil kepada kedua-dua pihak,” katanya pada sidang media di sini.

Parlimen hari ini menerima satu usul tergempar berkaitan melibatkan seorang guru – didakwa mengeluarkan kenyataan rasis melibatkan pelajar-pelajar India dan Cina ketika mengawasi peperiksaan SPM di sebuah sekolah di Lukut.

Usul dikemukakan oleh Ahli Parlimen Bakri Er Teck Hwa (DAP) di pejabat Speaker pagi tadi.

Dalam notisnya, Er menegaskan isu itu perlu dibahaskan di Dewan Rakyat memandangkan ia melibatkan perkara khusus, perlu disegerakan dan membabitkan kepentingan awam.

“Tindakan drastik dan efektif perlu diambil untuk mengelakkan insiden-insiden seumpama itu daripada berulang,” kata beliau.

Dalam insiden 24 November lalu, guru terbabit dari sebuah sekolah menengah di Port Dickson, didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap pelajar-pelajar Cina dan India apabila mereka tiba lewat di dewan peperiksaan bagi menduduki peperiksaan SPM.

Menurut laporan media Cina, guru berkenaan didakwa meminta pelajar-pelajar terbabit pulang ke China dan India jika mereka tidak boleh memahami arahan dalam Bahasa Malaysia.

“Sejak kebelakangan ini, kenyataan-kenyataan berbaur perkauman seperti ini yang menyinggung perasaan kita, sedangkan apa yang kita harapkan ialah perpaduan dan harmoni.

“Kenyataan-kenyataan seperti ini pernah dibuat oleh banyak pihak seperti pegawai khas kepada Perdana Menteri pada Februari lalu, seorang guru dari SMK Gajah Berang Julai lalu dan dua pengetua dari SMK Tunku Abdul Rahman Putra dan SMK Bukit Selambau pada Ogos lalu dan satu lagi insiden sekarang,” kata Er dalam notisnya.

Kata beliau, insiden-insiden itu dengan jelas tidak boleh dianggap sebagai kes-kes terpinggir memandangkan kesemuanya ada kesamaan dan merujuk kepada masyarakat Cina dan India.

Ia merupakan usul kedua membabitkan kenyataan berbaur perkauman dibawa ke Parlimen bulan ini.

Pada 13 Disember ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka akan menjawab berhubung usul isu patriotisme yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran awal bulan ini.

Zahid sebelum ini didakwa mempersoalkan semangat patriotisme orang India dan Cina negara ini, dan dilaporkan sebagai antara punca bukan Melayu kurang menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dewan Rakyat menetapkan minggu kedua untuk membahaskan usul berkenaan.

Usul itu dikemukakan oleh Kulasegaran ekoran jawapan beliau di Dewan Rakyat 9 November lalu.

Awal bulan ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata, Penolong Pengarah Biro Tatanegara Wilayah Persekutuan Hamim Husin telah digantung tugas berkuat kuasa 6 Oktober lepas selain diberikan amaran kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dalam satu majlis anjuran Puteri Umno pada 27 September lalu.

Kata Nazri, dua lagi penjawat awam turut dikenakan tindakan iaitu pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai, Johor dan pengetua Sekolah Menengah Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah berkaitan tindakan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

“Kedua-dua pegawai telah digantung daripada menjalankan tugas, dan masing-masing ditempatkan di Jabatan Pelajaran Johor dan Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Muda Kedah berkuatkuasa 23 Ogos lepas,” katanya.

Menyentuh kes pengetua di Johor, katanya prosiding tatatertib telah diambil berdasarkan peraturan-peraturan pegawai awam (kelakuan dan tatatertib) 1993 dengan surat pertuduhan telah dikemukakan kepada pengetua itu untuk membuat representasi membela diri dalam tempoh 21 hari.

“Setelah pegawai mengemukakan representasi bertulis, Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan Kumpulan Pengurusan Satu akan bersidang dan memutuskan hukuman tatatertib terhadap pegawai jika didapati bersalah,” katanya.

Nazri berkata kerajaan amat komited untuk membendung perbuatan itu dan memberi jaminan akan mengenakan siasatan dan mengambil tindakan kepada pegawai-pegawai terlibat berasaskan peruntukan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

Awal Februari lalu, Datuk Nasir Safar yang didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman pada satu seminar di Melaka dan beliau telah meletakkan jawatan sejurus selepas itu.

Sebanyak 58 laporan polis telah dibuat di seluruh negara berhubung ucapan Nasir pada Seminar 1 Malaysia di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka.

Nasir dikatakan mengeluarkan kenyataan bahawa “orang India datang ke Malaysia sebagai pengemis manakala orang Cina pula khususnya wanita untuk menjual badan mereka” ketika berucap pada Program Rapat 1 Malaysia anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas di Melaka, 2 Februari lalu - TMI