Wednesday, October 15, 2014

Petaka tongkat kepala naga


Butterworth: Bermodalkan dua batang tongkat yang didakwa mempunyai kesaktian tertentu, seorang lelaki yang mendakwa dirinya bomoh dan boleh mengubati pesakit yang terkena sihir bijak mempergunakan mangsa apabila mengikis wang mereka untuk menampung kehidupannya sekeluarga.
Bomoh berusia 48 tahun itu dikatakan menggunakan dua tongkat berbentuk kepala naga serta ular yang diperbuat daripada kayu dan besi.
Tongkat berkepala ular yang diperbuat daripada besi itu juga sebenarnya pedang dan kedua-dua tongkat itu turut bertatahkan batu permata di sekelilingnya.
Difahamkan, bomoh berkenaan mendakwa tongkat itu azimat yang dianugerahkan kepadanya untuk mengubati setiap pesakit dan dia kononnya menjadi insan terpilih untuk menyimpan tongkat terbabit yang didakwa diperoleh melalui mimpi.
Bagaimanapun, semua barangan itu dirampas polis dan diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) untuk tindakan selanjutnya.
Bomoh berkenaan, isterinya dan seorang lelaki yang menjadi pembantu mereka dilihat turut tampil ke pejabat JAIPP untuk diambil keterangan pada jam 10 pagi semalam.
DUA tongkat yang dirampas JAIPP.

Wednesday, June 11, 2014

Mayat wanita ditemui dalam keadaan bogel

KUALA LUMPUR - Seorang wanita tempatan berusia 22 tahun ditemui mati dalam keadaan bogel dalam sebuah bilik hotel bajet di Kelana Jaya, di sini , hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada kira-kira 4.30 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian. 

Beliau berkata mangsa dikatakan mendaftar masuk dengan teman lelakinya pada 4 petang semalam (Isnin) sebelum lelaki terbabit menghilangkan diri tengah hari tadi.

"Hasil siasatan mendapati, terdapat kesan lebam di leher mangsa dipercayai dicekik. Bagaimanapun, tiada sebarang senjata ditemui di bilik tersebut," katanya di sini hari ini.

Fadil berkata mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan setakat ini, motif pembunuhan bukan kerana samun.

Beliau berkata polis sedang mengesan teman lelaki mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama

Monday, April 28, 2014

Antara artis yang menyartai PERKASA


Artis masuk PERKASA kerana kerenah birokrasi


Beberapa orang pelakon serta penggiat drama dan filem tempatan mengumumkan penyertaan dalam NGO pendesak Melayu, PERKASA pada malam tadi.

Mereka menyertai biro kesenian dan warisan NGO tersebut, yang dipromosi sebagai wadah untuk menjaga kepentingan mereka dalam industri hiburan tanah air.

Antaranya yang hadir dalam majlis pelancaran biro tersebut ialah pengarah dan pelakon, Zulkifli M Osman yang bertindak sebagai timbalan pengerusi II biro itu.



Beliau melihat PERKASA sebagai sebagai satu platform yang mampu membawa isu dan suara anggotanya kepada perhatian menteri yang berkaitan.

Menurutnya, beberapa isu yang cuba diketengahkan golongan itu sebelum ini tidak mendapat perhatian disebabkan kerenah birokrasi.

"Kita cuba mengatasi situasi dalam industri yang tak berjaya melepasi benteng sampai ke (peringkat) atas. Melalui biro ini kita mungkin berjaya untuk sampai ke atas

"Biasanya (isu) cuma sampai kepada KSU (ketua setiausaha), KP (ketua pengarah), dan setiausaha politik sahaja – ia biasanya tak sampai ke peringkat atas.

"Kepimpinan (golongan artis) kita sebelum ini tidak cukup lantang," katanya ketika ditemui wartawan di program Malam Rintihan Penggiat Seni Tanah Air, di Kuala Lumpur.

Menurutnya, dua orang penggiat seni yang sudahpun menyertai PERKASA ialah seniwati Fauziah Nawi dan penyanyi Ebby Saiful.

Biro tersebut diketuai bekas anggota kumpulan Carefree dan pelakon era 80-an, Datuk Don@Abdullah Hussain yang sudah menjadi ahli PERKASA sejak awal penubuhannya lagi.

Selain Zulkifli dan Don, turut kelihatan hadir pada majlis semalam adalah pelakon Shaharudin Thamby, Datuk Baharuddin Omar, seniwati Ruminah Sidek, pelakon dan penerbit Datuk Yusof Haslam, serta pelakon dan pelawak Imuda.

Baharuddin Omar mengesahkan beliau merupakan anggota PERKASA sejak biro itu ditubuhkan sekitar sebulan lalu sementara Yusof Haslam pula hadir untuk memberi sokongan kepada penubuhan biro itu dan belum menjadi anggotanya.

Hadirin pada majlis malam tadi dipersembahkan dengan tayangan video berjudul 'Nasib Orang Kita' yang memaparkan penderitaan beberapa artis yang meninggal dunia akibat penyakit seperti barah dan sakit tua.

Selepas itu, seniwati Ruminah menyampaikan monolog berjudul 'Gelandangan Anak Seni' selama kira-kira 10 minit.

Acara malam tadi diakhiri dengan sesi dialog di antara wakil pekerja filem dan drama dengan anggota panel di antaranya terdiri daripada Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali, produser Yusof Haslam serta pengerusi biro kesenian dan warisan itu sendiri. - Malaysiakini