Monday, January 3, 2011

Harga minyak masak tidak naik, bekalan mencukupi

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memberikan jaminan bahawa harga minyak masak tidak akan dinaikkan buat masa ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Tan Lian Hoe, berkata jaminan itu dibuat kerana bekalan minyak masak mencukupi dan tindakan diambil termasuk menyelaras dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk mempercepatkan bekalan kepada semua kedai.

Beliau berkata, kekurangan minyak masak disebabkan pembelian panik berikutan khabar angin bahawa harga barang keperluan ini akan dinaikkan.

"Minyak memang mencukupi untuk negara kita. Saya harap pengguna jangan dengar khabar angin sebegini.

"Kabinet belum mencadangkan untuk menaikkan harga (minyak masak), jadi tidak akan ada kenaikan harga buat masa ini melainkan ditentukan oleh Kabinet," katanya kepada pemberita selepas melawat Tesco Mutiara Damansara di Petaling Jaya, hari ini.

Minyak masak adalah salah satu barang kawalan yang disenaraikan oleh kementerian itu.

Tan berkata, kementerian memantau keadaan semasa dan memberi amaran bahawa peniaga yang menaikkan harga barang ini akan menghadapi risiko untuk didakwa mengikut Akta Anti-Pencatutan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sokongan pengguna terhadap usaha mengurangkan penggunaan beg plastik adalah penting dan janganlah hanya mengadu mengenai larang itu pada setiap Sabtu.

"Adalah amat wajar kita sedar akan perlunya mengurangkan penggunaan beg plastik demi alam sekitar dan masa depan," katanya.

Katanya, secara purata Malaysia menggunakan lapan juta beg plastik setiap tahun.

"Purata, kita gunakan seliter petroleum untuk mengeluarkan satu plastik beg dan beg itu akan mengambil masa 500 tahun itu reput. Mengambil kira harga tenaga tidak diperbaharui ini, kita hendaklah mengurangkan penggunaannya," katanya.

- Bernama

Saturday, January 1, 2011

Sudah jijik undi BN

Mohamed Noor Jaafar,
Saya sebagai pengundi berdaftar dengan Suruhjaya Pilihan Raya (SPR) sudah rasa jijik untuk undi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum atau kecil kerana parti itu dibarisi ramai pemimpin yang tidak bersih, akhlak buruk, kaki rasuah, kaki betina yang boleh menjeaskan imej negara dan bolehkan menjadi negara ini bankrap.

Mereka yang menjadi bapak menteri tidak tahu penderitaan rakyat dengan kenaikan harga barang, sebaliknya mereka membazirkan wang rakyat kepada perkara perkara tidak berfaedah.

Rasa rasa terpanggil untuk merayu kepada pengundi pada pilihan raya baik pilihan raya kecil atau pilihan raya umum, supaya memberhentikan tindakan mereka mengundi BN cubalah kepada parti yang berteraskan Islam supaya kerajaan yang akan dibentuk kelak dibarisi pemimpin yang bersih, beriman, jujur, amanah dan berkahlak mulia.

Pemimpin yang dikehendaki ialah yang berperikemanusiaan, membela nasib rakyat serta tahu dosa pahala terhadap rasuah, berzina, melakukan maksiat, merogol seperti cerita yang digembar gemburkan kebelakangan ini.

Pemimpin yang dikehendaki ialah pemimpin yang tidak menggunakan wang rakyat sesuka hati seperti wangnya sendiri, sedang rakyat masih ramai yang menderita dengan dibebani pelbagai masalah, termasuk terpaksa bayar hasil, cukai, saman polis dan sebagainya.

Kalau negara ini ada pemimpin yang berakhlak mulia, alim, dan tahu dosa pahala, mereka tidak akn guna wang kerajaan dengan sewenangnya, menolak rasuah kerana tahu akibatnya dan balasan Allah terhadap seorang yang menerima rasuah.

Saya sering dengan cerita daripada bapa mentua saya yang juga penggali kubur serta selalu mengusung orang mati ke kubur di kampungnya.

Menurutnya, sepanjang hidupnya dia tidak pernah merasai jenazah seorang anngota polis yang diusungnya untuk di bawa ke tanah peberkahwin di ka,pung itu begitu berat sekali hingga terpaksa banyak kali bertukar orang yang mengusungnya.

Bapa mentua saya mengandaikan ini mungkin kerana dia menerima rasuah ketika bertugas sebagai anggota polis menyebabkan jenazahnya terlalu berat untuk diusung penduduk kampung ke kubur dan begitu juga ketika hendak menurunkan jenazah itu ke dalam kubur hingga runtuh tebing kubur yang digali itu.

Dia memberitahu dia tidak pernah berjumpa jenazah seberat itu yang diusungnya secara sukarela apabila ada penduduk kampungnya yang meninggal dunia.

Jadi beringatlah mereka yang menerima rasuah, jangan sampai perkara yang sama menimpa diri anda, rakan keluarga juga pemimpin negara dan negeri

Mengenai pengundi pilihan raya, satu ketika dulu saya pernah mengundi BN, tetapi disebabkan berlaku perkara yang tidak dingini, seperti pembunuhan, rogol, rasuah serta mementingkan kekayaan peribadi dilakukan pemimpin yang dihormati, sejak itu saya bertukar mengundi PAS iaitu sejak PAS bergabung dengan Parti Semangat 46 pada pilihan raya umum 1990.

Kalau rakyat terus mengundi BN bermakna rakyat merestui dan membiarkan gejala yang tidak sihat tadi dilakukan pemimpin yang dipilih memerintah negara.

Cubalah bertukar sekali sebagaimana rakyat Kelantan menerima baik kepemimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memerintah negeri Serambi Makkah itu. Saya juga berharap rakyat Selangor, Kedah, Pulau Pinang kekalkan pemerintah yang ada kerana terbukti sudah melakukan yang lebih baik daripada sebelumnya walaupun baru setahun memerintah.

Saya yakin kehidupan rakyat di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang akan bertambah baik jika pemimpin yang memerintah negeri berkenaan terus dikekalkan.

Mohamed Noor Jaafar,

Kuala Lumpur.

- Harakah Daily

MB Selangor dinasihat cabar kemelut SUK di mahkamah

Oleh Debra Chong
January 01, 2011

KUALA LUMPUR, 1 Jan – Seorang pakar perlembagaan berpendapat peluang terbaik yang ada pada Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim bagi menyelesaikan kemelut pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri baru ialah dengan membawa pertikaian itu ke mahkamah.

“Undang-undang, sebagaimana termaktub, memihak Menteri Besar Khalid (gambar) dan pentadbiran Pakatan Selangor,” kata Profesor A Aziz Bari kepada The Malaysian Insider hari ini.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa ini memberitahu, peruntukan berkaitan sangat jelas dalam perlembagaan kerajaan negeri.

“Di bawah perlembagaan, kuasa untuk melantik anggota ‘ex-officio’ Exco termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri terletak pada Sultan,” kata Aziz.

“Tetapi baginda (Sultan) perlu mempertimbangkan nama-nama yang dipersembahkan oleh suruhanjaya perkhidmatan yang berkaitan, dan sebelum baginda melakukannya, Sultan mesti mempertimbangkan nasihat Menteri Besar,” kata beliau lagi.

Dalam kenyataan dikeluarkan pagi tadi, Khalid berkata, beliau kesal kerana Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang didakwanya sengaja membelakangkan proses pemilihan yang telah ditetapkan bagi memilih Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

“Pemilihan Datuk Mohamad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Ketua Setiausaha Negara telah mengabaikan proses pemilihan mengikut Nota Amalan Perkhidmatan Awam yang menyatakan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri perlu mendapatkan nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam peringkat pusat dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri,” kata beliau.

Mengikut pengumuman Sidek Isnin lalu, pelantikan Khusrin berkuat kuasa hari ini dan akan mengangkat sumpah 6 Januari.

“Proses pemilihan itu memerlukan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri mengemukakan calon yang sesuai bagi mengisi jawatan berkenaan dan mendapatkan kelulusan Menteri Besar sebelum diserahkan kepada Sultan Selangor untuk diperkenan.

“Selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri memanjangkan nama calon berkenaan ke Suruhanjaya Perkhidmatan Awam peringkat pusat untuk proses dokumentasi pelantikan,” kata Khalid lagi.

Sehubungan itu tegas Khalid, kerajaan negeri Selangor telah mengambil langkah sewajarnya dengan membentuk sebuah jawatankuasa khas diketuai Speaker Dewan Negeri Selangor Datuk Teng Chang Khim untuk menemu duga kesemua lapan calon yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri.

Semalam, Aziz dan peguam veteran Karpal Singh melahirkan pendapat bahawa pelantikan kontroversi Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dilihat menuju krisis perlembagaan jika istiadat mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, yang dijadual akan berlangsung 6 Januari ini, diteruskan.

Karpal sedang menguruskan nasihat perundangan kepada Menteri Besar Selangor.

Mereka berhujah upacara Khamis depan itu sebagai “tidak sah” memandangkan perlembagaan negeri menyebut bahawa upacara seumpama itu perlu dilaksanakan di hadapan Menteri Besar, bukannya Sultan Selangor.

Kerajaan negeri Selangor sebelum ini menegaskan ia mempunyai kata putus dalam menentukan calon Setiausaha Kerajaan Negeri selepas Sultan Selangor memberi perkenan kepada nama yang disyorkan Putrajaya untuk melantik Khusrin.

Khalid yang bercadang untuk menghadap Sultan Selangor Rabu lalu tetapi terpaksa menangguhkan hasrat beliau sebab baginda bercuti sehingga awal minggu depan.

Menjelaskan lanjut, Aziz berkata, “melihat pada kontroversi yang berterusan, kemungkinan jalan terbaik bagi Menteri Besar Khalid ialah membawa perkara ini ke mahkamah dan melihat bagaimana hakim-hakim akan menari kelak, sama ada mereka ada akrobatik perundangan baru untuk tunjuk kepada kita.”

Beliau juga menyebut keputusan-keputusan mahkamah selepas pilihan raya umum 2008 yang dengan jelas menunjukkan memihak Umno, parti teras dalam Barisan Nasional (BN).

Aziz juga memberitahu, krisis semasa di Selangor adalah akibat tindakan pentadbiran Mahathir pada 1994 apabila beliau meminda Perlembagaan Persekutuan dan memperkukuh kuasa eksekutif dengan mengehadkan kuasa istana.

“Sekarang ini undang-udangnya – malah perlembagaan berkata, selepas mempertimbangkan nasihat (daripada perdana menteri atau menteri besar), Agong atau Sultan mesti menerima nasihat itu,” kata beliau lagi.

“Sekarang, Umno cuba menggunakan raja-raja untuk mensabotaj negeri-negeri diperintah Pakatan.

“Umno sudah lupa bahawa, satu hari ia akan jatuh; dan kesemua pendekatan yang ia ambil untuk memperkukuhkan kuasa kerajaan (BN) akan mengheret mereka ke bawah(jatuh),” tambah beliau.

Aziz menambah, jika mahkamah membuat keputusan memihak Umno dalam kemelutu Selangor, maka ia perlu memutuskan bahawa pindaan yang dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1994 adalah tidak sah dan melanggar perlembagaan.- The Malaysian Insider