Monday, August 26, 2013

Hati-hati dengan gadis ini

SUNGAI PETANI – Seorang gadis berusia 23 tahun dari bandar ini dikesan licik menjalankan kes penipuan berhubung pakej pelancongan kepada orang ramai sebelum membatalkan perjalanan di saat akhir setelah bayaran dibuat.

Gadis tersebut juga didakwa giat menjalankan pelbagai perniagaan dengan menawarkan khidmat menjadi ejen produk tetapi liat ketika diminta menjelaskan bayaran dengan pelbagai alasan.

Pengadu, Nor Suriani Badri, 34, berkata, dia termasuk 13 individu lain telah membuat tempahan bercuti ke Bali selama empat hari tiga malam melalui ejen berkenaan pada tarikh 11 Ogos lalu, namun perjalanan dibatalkan hanya beberapa jam sebelum bertolak.

“Empat orang sudah pun berada di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) apabila dimaklumkan jam 3 pagi bahawa perjalanan kami dibatalkan atas alasan tidak munasabah,” katanya kepada Sinar Harian.

Nor Suriani berkata, walaupun ejen terbabit sudah menjelaskan RM6,500 setelah dipaksa, tetapi mereka tetap mahu bersemuka dengan gadis berkenaan bagi mendapatkan penjelasan.

[KES 2] Mangsa, Nasrul Md Junid, 42, berkata, sebaik sahaja mengetahui perjalanan ke Bali dibatalkan saat akhir, dia bersama 22 ahli keluarga yang membuat tempahan ke Semporna, Sabah September nanti khuatir apabila mengetahui menggunakan khidmat ejen yang sama.

Nasrul berkata, sebaik sahaja mengetahui lawatan ke Bali dibatalkan, dia telah membuat pengesahan dengan syarikat penerbangan dan tempat penginapan yang didakwa sudah ditempah, namun tiada nama ahli keluarganya.

“Pada Mei lalu, kami telah membayar lebih RM8,000 untuk penerbangan dan hotel selain membuat tempahan sendiri untuk aktiviti sukan di sana lebih kurang RM3,000.

“Pada 16 Ogos lalu, gadis berkenaan telah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada salah seorang ahli keluarga mengatakan tiket penerbangan telah ditempah.

“Khuatir ditipu, kami membuat pengesahan dengan syarikat penerbangan tetapi dimaklumkan bahawa ejen hanya membayar RM440 manakala tempahan hotel juga tidak dilakukan,” katanya.

Nasrul berkata, maklumat terbaru diperoleh, tempahan untuk ahli keluarganya dibatalkan syarikat penerbangan kerana tiada bayaran sepenuhnya dibuat dalam tempoh tertentu sedangkan dia sudah membuat pembayaran sepatutnya.

Bagi mendapatkan penjelasan, ahli keluarga menghubungi ejen terbabit tetapi semua talian tidak berfungsi. Menurutnya, dia mahukan ejen pelancongan terbabit membuat tempahan semula penerbangan atau memulangkan kembali harga tiket mengikut kadar semasa memandangkan semua persiapan telah dibuat termasuk memohon cuti kesemua ahli keluarga
termasuk yang tinggal di luar daerah.

[KES 3] Mangsa, Rasinah Saad, 37, mendakwa, kegiatan gadis berkenaan dijalankan secara licik di mana modus operandi sama dilakukan melibatkan penipuan wang. “Dua tahun lalu, gadis sama telah menjadi ejen produk penapis air melibatkan kos lebih RM4,000 namun hanya membayar separuh daripadanya,” katanya.

[KES 4] Leana Ramli, 29, turut menggunakan khidmat ejen pelancongan sama ketika bercuti ke Hatyai 10 Ogos lalu bersama 30 ahli keluarganya. Menurutnya, khidmat yang diberikan tidak memuaskan selain terpaksa membuat bayaran tambahan kepada pemandu van dan bas setelah tiba di sana.

“Kebanyakan destinasi dituju tidak sama seperti dirancang termasuk pengangkutan terpaksa dibayar dengan wang sendiri,” katanya.
 
Menurut Leana, kebanyakan urusan dilakukan menerusi laman sosial Facebook dan tidak menyangka lebih ramai mangsa ditipu selepas pendedahan dibuat menerusinya.

Gadis tersebut turut dikesan melakukan penipuan kepada pelanggan yang berada di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Terengganu dan Selangor apabila masing-masing menunjukkan laporan polis dibuat menerusi laman sosial berkenaan.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian dan kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Saturday, August 24, 2013

Peguam Negara Akan Fail Rayuan Kes Altantuya - Gani Patail


KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan membebas dan melepaskan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) daripada sabitan dan hukuman mati kerana membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu, tujuh tahun lepas.
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata bukan arahan oleh hakim perbicaraan mengenai isu-isu yang dibangkitkan oleh perayu menimbulkan salah arah dan tidak memanggil DSP Musa Hj Safri membentuk alasan utama untuk mengetepikan sabitan dan hukuman.
"Sementara menghormati Mahkamah Rayuan, Jabatan Peguam Negara bagi pihak pendakwaan tidak berpuas hati dengan keputusan itu kerana bukan arahan atau salah arah oleh mahkamah itu bukan kesalahan pendakwaan," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.
"Setakat berkenaan DSP Musa Hj Safri, kami menegaskan bahawa testimoni beliau tidak relevan sama sekali kerana naratif keseluruhan kes pendakwaan itu telah berlaku pada perbicaraan itu.
"Oleh itu rayuan kepada Mahkamah Persekutuan akan difailkan," kata Abdul Gani dalam kenyataan itu yang tidak menyebut bila rayuan itu akan dikemukakan.
Cif Inspektor Azilah Hadri, 37 dan Koperal Sirul Azhar Umar, 42, disabitkan dan dikenakan hukuman mati oleh Mahkamah Tingggi Shah Alam pada 9 April, 2009 kerana membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam, antara 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober, 2006.
Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Jumaat membenarkan rayuan terhadap sabitandan hukuman oleh kedua-dua perayu itu. -BERNAMA

Gerakan Besar-Besaran Tangkap Pekerja Asing Tanpa Permit Kerja Mulai 1 September - Ahmad Zahid


BAGAN DATOH: Gerakan besar-besaran akan dilakukan mulai 1 September ini bagi menangkap pekerja asing tanpa permit kerja, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata gerakan itu membabitkan Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi penguatkuasaan yang berkaitan. "Kita tidak mahu pihak majikan menggaji pekerja asing yang tidak ada permit di tempat kerja masing-masing. Pada waktu yang sama kita mahu lihat pihak majikan memberikan kemudahan perumahan, perubatan dan juga menjaga kebajikan mereka. "Ini bagi memastikan Malaysia dianggap sebagai sebuah negara yang memerlukan pekerja asing tetapi menjaga kebajikan mereka," katanya kepada pemberita selepas Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri Parlimen Bagan Datoh di sini, Jumaat.
Katanya gerakan itu juga bagi memastikan kesemua pekerja asing yang berkerja di Malaysia mematuhi peraturan dan undang-undang di negara ini.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata PDRM sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga jika ada pihak yang mengugut untuk melancarkan perang terhadap polis berikutan tidak berpuas hati dengan tindakan pasukan keselamatan itu menembak mati lima penjenayah di Pulau Pinang, Isnin lepas.
Beliau mengulas khabar angin menyatakan beberapa kumpulan kongsi gelap akan melancarkan perang terhadap pasukan itu berikutan tindakan polis memerangi jenayah berat, khususnya yang melibatkan senjata api.
"Walaupun saya tidak campur tangan dalam urusan polis kerana saya telah memberikan kuasa sepenuhya (kepada Polis Diaraja Malaysia) untuk melancarkan gerakan besar-besaran namun saya ingatkan supaya polis lebih berhati-hati.
"Pada waktu yang sama kita minta orang ramai supaya berhati-hati kerana penjenayah adalah buta warna. Mereka tidak kenal siapakah mangsa," katanya. -BERNAMA