Zed Zaidi
Pengerusi Seniman Zed Zaidi
SHAH ALAM - Persatuan Seniman membuat laporan polis menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas ke atas pelakon, Patrick Teoh yang telah mengguris umat Islam menerusi satu kenyataan di laman sosial awal minggu ini.

Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Taman Melawati, semalam.

Presidennya, Zed Zaidi berkata, laporan polis itu dibuat sebagai tindak balas pihaknya terhadap tindakan ahlinya itu.

"Kami mahu pihak polis menyiasat kerana kenyataannya itu melibatkan sensitiviti Islam.

"Jadi, kami mendesak polis ambil tindakan terhadap dia (Teoh) supaya tidak berlaku lagi (kejadian yang sama)," katanya kepada Sinar Harian Online.

Zed Zaidi menyifatkan tindakan berdiam diri Teoh sebagai penakut.

"Dia (Teoh) langsung tak ada hubungi Seniman. Langsung tak ada... penakut. Berani buat berani tanggunglah," katanya.

Beliau juga mendedahkan Teoh sudah empat tahun tidak aktif sebagai ahli Seniman.

"Dia pun tidak memperbaharui keahliannya sejak 2008. Jadi, selama ini dia (berlakon) tak sah.

"Kami akan bincang dengan Jawatankuasa Seniman tentang keahliannya (sama ada akan dilucutkan keahlian atau tidak). Mereka yang akan tentukan, bukan saya," katanya.

Sementara itu, Zed Zaidi juga menegaskan supaya ahli politik tidak mempolitikkan isu agama lagi.

"Lihat apa sudah jadi. Orang bukan Islam boleh perlekehkan kita sesuka hati.

"Sepatutnya kita pertahankan. Orang dah sentuh kalimah ALLAH, soal sembahyang lima waktu dan bertudung. Selepas ini apa lagi?" katanya yang akan merujuk kes tersebut kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ekoran kenyataannya di laman sosial, Teoh telah meminta maaf kelmarin.

Kenyataan kesat Teoh disifatkan menghina Islam termasuk memperlekeh amalan solat dan menutup aurat wanita Islam.

Laporan hari ini menyebut Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin juga mahu tindakan tegas dikenakan terhadap Teoh.

Beliau berkata walaupun Teoh memohon maaf setelah menyedari kenyataannya mendapat kecaman banyak pihak, ia tidak boleh diterima begitu sahaja, tanpa ada tindakan susulan yang lebih tegas.

"Dah sampai tahap terlalu kesat, kita tak mahu lepas ini sesiapa sahaja menghina Islam kemudian minta maaf begitu sahaja. Dia patut dipanggil pihak berkaitan dan disoal siasat," katanya.

Beliau berkata tindakan pelakon yang sinonim dengan watak komedi itu telah mengguris perasaan umat Islam dan Teoh wajar dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang.